Mitsubishi Xpander sesuai sebagai kenderaan ‘rasmi’ untuk balik kampung

Mitsubishi Xpander semakin popular

Mitsubishi Xpander
Mitsubishi Xpander kenderaan pelbagai guna untuk seisi keluarga. ­– UTUSAN/ANUAR NORICK SABARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kenderaan pelbagai guna atau MPV (Multi Purpose Vehicle), kini tidak asing lagi di jalan raya tempatan. Pelbagai jenama te­lah dipasarkan untuk segmen ini termasuk daripada dua pembuat dan pembekal kereta nasional kita. Melalui peluang pilihan yang luas untuk para pelanggan memilih dalam pasaran, apakah tarikan yang ada pada MPV Mitsubishi Xpander ini? Ayuh kita kupas sebaik mungkin.

PENAMPILAN

Mengapakah saya mengete­ngahkan kenderaan pelbagai fungsi daripada Mitsubishi ini? Ini kerana jenama dan model ini dinobatkan sebagai jenama pa­ling laris di luar daripada MPV nasional. Mitsubishi Xpander sebenarnya bukanlah model yang baru diperkenalkan dalam pasaran tempatan malah ia mula meniti di bibir peminat-peminat MPV hampir dua tahun lalu. Dipasang di Pekan, Pahang, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga selain Indonesia dan Vietnam yang menghasilkan kenderaan kegemaran ramai ini.

Menampilkan rupa bentuk yang agak sporty dengan bum­per hadapan yang begitu ‘ekstrim’ rekaannya, lampu hadapan waktu siang yang agak prominen, serta lampu belakang LED penuh yang melengkapkan imej keseluruhan Xpander ini seperti sebuah kenderaan ‘serius’. Saiz keseluruhan Xpan­der ini dari luaran juga tampak teguh, malah tidak keterlaluan saya katakan, agak hampir sama teguh dengan MPV ‘kayangan’ seperti Alphard/Velfire. Hanya dengan penampilan luaran ini sahaja, ia mampu menarik minat bakal pembeli.

Logo Mitsubishi yang terpampang berserta dengan logo MIVEC sudah tentu mengusik peminat-peminat jenama ini dan memberikan imej kebo­lehan enjin yang padu. Ternyata, kempen pemasaran Mitsubishi yang mengaitkan jenama mereka de­ngan perlumbaan-perlumbaan di peringkat antarabangsa, ter­nyata sudah menampakkan faktor ‘penguat’ untuk membuat keputusan kepemilikan.
Masuk ke ruang dalam Xpander ini, anda ‘disambut’ dengan kusyen kulit jenis quilted berwarna hitam, unit skrin sentuh berukuran 9.0inci lengkap dengan kebolehan mengendali aplikasi Apple Carplay dan Android Auto, sistem kamera 360 darjah serta dashcam yang hanya khas untuk versi tempatan. Xpander juga dilengkapi dengan sistem penghidup enjin tanpa kunci, skrin meter berwarna, 6 speaker audio serta ruang hawa dingin di bahagian bumbung untuk penumpang belakang.

Ruang dalaman Xpander yang agak luas memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang.

PEMANDUAN

Xpander ini dipacu oleh jentera MIVEC 1.5 liter (naturally aspirated), penggunaan bahan api petrol ini menghasilkan 105PS dan 141nm pada kuasa torknya. Pacuan dengan roda hadapan melalui 4 kelajuan kotak gear automatik sebagai pa­cuan utama MPV ini. Bagi saya, di sinilah kekurangan Xpander. Memiliki ‘tubuh badan’ yang agak besar dan kebolehan untuk membawa sehingga ke 7 penumpang, kuasa yang dibekalkan agak tidak mencukupi. Ngauman bunyi enjin ketika beberapa kali percubaan untuk meningkatkan kelajuan dengan hanya menekan pendikit atau pedal minyak, ternya­ta agak melemahkan mood pemanduan. Sepatutnya Xpander dibekalkan dengan sistem soft turbo seperti yang dipunyai oleh Proton Exora. Keperluan untuk peningkatan pecutan, ter­utamanya ketika ingin memotong kenderaan-kenderaan lain. Kuasa tujahan yang diperlukan untuk membolehkan Xpander berupaya membawa berat ke­seluruhannya (dengan kapasiti maksimum penumpang) ter­nyata seperti terlepas pandang di sini. Kemungkinan tumpuan Mitsubishi untuk membolehkan harga pasarannya di bawah lingkungan RM100,000, maka sistem turbo tidak disertakan untuk model ini.

Apabila anda berada di dalam kabin, pemandangan terhadap papan pemuka hadapannya terasa seperti ‘dejavu’. Maksud saya, ia seperti pemandangan yang pernah anda lihat sebelum ini. Untuk lebih menyeluruh, anda terasa seperti dalam kenderaan Proton. Terutama apabila pandangan pada tombol-tombol pelaran sistem hawa dingin kenderaan. Mungkin inilah akibatnya daripada usahasama Mitsubishi-Proton yang telah berpuluh tahun berlaku dalam negara kita, sehinggakan produk-produk daripada kedua-dua jenama kenderaan ini memberikan feel atau perasaan yang sama dalam seni reka dalama­nnya.

Sungguhpun begitu, sistem suspensi Xpander agak baik dan selesa untuk kegunaan harian. Selain kebolehan menyerap gegaran dan hentakan, kestabilan yang diberikan terhadap keseluruhan perasaan pemanduan menambah keyakinan pemandunya. Ditambah pula dengan kusyen empuk yang disertakan sistem hiburan jenis skrin sesentuh ternyata memberikan perasaan tenang dalam pemanduan. Enam corong bunyi yang menghasilkan kualiti audio yang agak bassy juga turut menambah keceriaan dalam pemanduan.

Turut menampilkan dua beg udara di hadapan, ABS, pe­nguasaan kestabilan, bantuan permulaan pendakian serta ruang meletak kerusi bayi dilihat percubaan Mitsubishi untuk menghasilkan sebuah kende­raan lengkap untuk keluarga.

Pemanduan MPV sudah tentu melibatkan penumpang yang ramai daripada ahli keluarga anda. Maka itu, Mitsubishi Xpander lebih menumpukan ciri-ciri keselamatan daripada terlalu fokus kepada kelebihan keupayaan enjin. Namun tidak dapat tidak, sekiranya sedikit penambahan kuasa pada sistem enjin, ia turut mampu memberikan pemanduan yang lebih sempurna.

Xpander dilengkapi skrin meter berwarna dan enam speaker audio.

KESIMPULAN

Mitsubishi Xpander jelas ditumpukan kepada pemandu yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang sederhana. Sememangnya inilah tujuan sebenar mana-mana kenderaan pelbagai guna direka dan dipasarkan, namun, Xpander jelas berusaha keras untuk menarik perhatian pasaran dengan menumpukan sepenuhnya pada gaya, penampilan dan rekaan luaran.

Tidak dapat disangkal, rupanya agak ‘menggugat keimanan’ sesiapa sahaja. Selain fungsi utamanya sebagai pengangkutan utama keluarga, ianya tidak perlu dilihat buruk atau seolah-olah seperti ‘kepala kereta api’. Jika diukur daripada nilai-nilai estetika ini, Mitsubishi Xpander jelas mempunyai kebolehan ini. Bagi pemandu yang lebih mementingkan kuasa, terutama pada kebolehan memecut daripada kelajuan rendah, keupayaan enjin Xpander agak sedikit mengecewakan. Begitupun, tidak semua pemandu sama, dan tidak semua daripada golongan pencinta kelajuan. Pemanduan yang selesa, selamat dan juga ‘tenang’ mungkin merupakan faktor tarikan utama untuk anda. Sekiranya benar, Xpander amat sesuai untuk golongan-golongan ini.

Terlanjur kita dalam musim perayaan, Mitsubishi Xpander jelas sangat sesuai sebagai kenderaan ‘rasmi’ anda untuk balik kampung!!! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×