Kadar inflasi Malaysia masih terkawal

Kadar inflasi Malaysia masih terkawal

Kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat dan perang Russia-Ukraine yang masih belum berkesudahan, telah meningkatkan kebimbangan mengenai bekalan makanan global, sekali gus meningkatkan inflasi terutama produk makanan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, kadar inflasi Malaysia masih lagi terkawal walaupun telah meningkat 2.2 peratus kepada 125.6 pada Mac lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar inflasi Malaysia masih terkawal kerana dasar kerajaan yang berkaitan dengan subsidi serta kawalan harga bagi barangan tertentu telah banyak membantu.

“Kesan kenaikan inflasi yang tinggi akan mengurangkan kuasa beli rakyat disebabkan wang diterima menjadi lebih sedikit nilainya apabila harga barang meningkat.

“Oleh itu, ia perlu ditangani sebelum menjadi lebih teruk. Bagi pihak kerajaan, perlu memastikan barangan makanan mencukupi serta subsidi yang sedia ada dikekalkan. Ia adalah pen­ting bagi memastikan masalah inflasi itu dapat distabilkan.

“Selain itu, pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada juga penting bagi memastikan para peniaga telus dan adil apabila menjalankan perniagaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi pengguna, jelasnya, perbelanjaan yang berhemah amat digalakkan supaya tidak terjerumus dalam hutang yang tinggi.

Selain itu, ujarnya, pengguna juga harus sentiasa mencari barangan yang berdiskaun atau yang ada tawaran menarik supaya dapat membeli barangan dengan harga yang murah.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya subsidi itu ditarik balik atau dikurangkan oleh kerajaan, kadar inflasi akan menjadi tidak terkawal kerana ia akan menjadi lebih teruk dengan kenaikan kos pengangkutan dan logistik.

“Meskipun kerajaan telah berbelanja besar untuk mengawal kenaikan kadar inflasi, harga barangan yang diimport dan tidak dibawah kawalan harga pula yang terus naik.

“Keadaan itu turut berjangkit kerana sekiranya barang yang diimport itu bahan mentah produk yang dihasilkan di Malaysia ia tetap akan menaikkan harga barang.

“Penguatkuasaan oleh agensi-agensi kerajaan telah banyak ditingkatkan untuk mengawasi kenaikan harga barang terutamanya barang-barang kawalan, namun kuasa pasaran iaitu bekalan dan permintaan tetap menjadi faktor utama kepada perubahan harga.

“Kekangan kakitangan penguatkuasa turut menjadi penghalang untuk kejayaan sepenuhnya. Selain itu, penyalahgunaan subsidi juga telah berleluasa di mana terdapat pengusaha-pengusaha kilang yang sepatutnya membeli diesel dan LPG pada harga komersial telah membeli dari stesen-stesen minyak yang diperuntukkan untuk sektor runcit sahaja,” katanya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 4/2022 berkata, indikator ekonomi bagi tiga bulan pertama 2022 menunjukkan prospek ekonomi Malaysia yang positif dalam masa terdekat.

Menurut beliau, mobiliti yang tinggi dijangka berlaku dengan pembukaan sempadan antarabangsa serta ditambah pula dengan sambutan Aidilfitri.

“Lanjutan itu, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini dilihat akan meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan yang seterusnya akan merangsang ekonomi. Namun begitu, senario global yang berterusan akan mening­katkan harga komoditi yang mendorong kepada jangkaan inflasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×