PETALING JAYA: Sebanyak 32 tangkapan dengan nilai pelbagai rampasan berjumlah RM10.6 juta dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Op Pagar Laut.
Operasi bermula 19 April hingga semalam itu dilancarkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset laut dan udara, keanggotaan serta penguatkuasaan terutamanya di setiap titik panas seluruh negara sempena musim perayaan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, operasi tersebut tertumpu kepada semua aktiviti jenayah rentas sempadan terutama kes pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta penyeludupan barang- barang kawalan di sempadan perairan seluruh negara
Katanya, sebanyak empat kes tangkapan PATI melibatkan 16 PATI yang terdiri daripada lapan warga Kemboja dan empat masing-masing warga Indonesian dan Myanmar yang didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit perjalanan sah di perairan Selangor serta Terengganu.
“Kita turut melakukan tujuh tangkapan bot nelayan asing di perairan negara. Seramai 66 kru kesemuanya warganegara Vietnam telah ditahan dan rampasan hasil laut kira-kira RM10.5 juta turut diranpas.
“Satu lagi tangkapan dibuat atas kesalahan menyeludup 21 bungkus mercun di perairan Kelantan dengan nilai rampasan sebanyak RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Zubil, pihaknya turut menjalankan rokok yang dipercayai diseludup di perairan Semporna pada Selasa lalu dengan nilai rampasan sebanyak RM45,000 melibatkan 180 karton rokok putih jenama L3 dan 200 karton rokok di bawah Akta Kastam 1967.
Ujar beliau, turut dirampas dua plastik putih syabu dengan berat 45 gram telah dilakukan dengan nilai rampasan sebanyak RM2,475 di Labuan.
“Kita juga membuat rampasan petrol dengan jumlah 100 liter bernilai RM 205 di Sandakan dan minyak masak dengan jumlah 1,070 melibatkan jumlah nilai rampasan RM11,075 di Semporna di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Maritim Malaysia berjaya menahan empat (4) buah kapal dagang di perairan Johor Timur kerana berlabuh secara haram ,” ujar beliau.
Mohd. Zubir berkata, pihaknya tidak akan ‘mengendurkan’ kesiapsiagaan operasi pada musim perayaan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.
Sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) yang berhampiran di setiap Maritim Negeri seluruh negara. – UTUSAN











