TANPA disedari, Ramadan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Terasa begitu cepat sekali masa berlalu meninggalkan kita. Bagai sekelip mata sahaja, hampir 30 hari kita meraikan bulan penuh barakah ini.
Alhamdulillah, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang semakin dilonggarkan, kita dapat berjemaah di masjid dan surau dengan saf dirapatkan. Suasana di surau berhampiran rumah saya begitu ceria dan meriah sekali pada Ramadan tahun ini. Setelah dua tahun kita diikat dengan SOP ketat, akhirnya para jemaah bukan hanya dapat kembali bertarawih dan berqiamullail seperti dahulu, malah berbuka puasa dan menikmati moreh bersama-sama.
Amat membanggakan apabila melihat semakin ramai kanak-kanak begitu seronok berada di surau serta aktif menunaikan solat fardu berjemaah. Malah ada yang turut mengajak rakan-rakan lain untuk hadir berjemaah bersama-sama. Walaupun ada ketikanya mengaminkan doa lebih awal daripada imam, namun mereka begitu bersungguh-sungguh mengerjakan solat.
Di sisi lain, kita melihat warga emas komited berjemaah di surau walaupun terpaksa bertongkat. Malah ada yang terpaksa berjalan agak jauh serta naik turun tangga setiap kali pergi dan pulang dari surau. Melihat suasana yang hampir kembali seperti kehidupan normal membuat saya terharu dan bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita hamba-Nya.
COVID-19
Selama dua tahun negara dilanda penularan wabak Covid-19. Akibatnya ramai yang begitu teruk terkesan. Tidak kurang juga yang kehilangan beberapa ahli keluarga, seorang demi seorang dalam sela waktu amat singkat. Cara hidup kita berubah sekelip mata. Kita terpaksa hidup dalam ketakutan dan tidak dapat membayangkan sampai bila ujian ini akan berterusan. Dalam tempoh itu, kita bermunajat kepada Allah memohon agar wabak ini cepat berlalu.
Bagi saya, dugaan ini juga adalah satu peringatan daripada Allah agar kita sentiasa meminta keampunan, mohon dilindungi serta ditunjukkan jalan yang lurus. Kita mesti sentiasa bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri menjadi insan lebih baik. Sering kali kita lupa diri dan tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan selama ini.
Namun apabila ditarik balik, kita terus melenting dan menuding jari menyalahkan orang lain.
Melihat ahli kariah yang tetap istiqamah ke surau terutama mereka yang telah mencapai umur 80, 90 tahun, membuatkan saya rasa malu kepada diri sendiri. Hal ini saya jadikan sebagai motivasi untuk berusaha lebih kuat dan lebih kerap agar dapat berjemaah di masjid dan surau. Bagi saya, inilah maksud kemenangan yang disambut setiap 1 Syawal, iaitu enjadikan diri kita seorang hamba Allah yang lebih baik. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










