Murung, pernah tidak peduli anak - Utusan Malaysia

Murung, pernah tidak peduli anak

rebecca
Nur Shahida dan suami Aliff Syukri bergambar bersama anak-anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEJAM celik pejam celik, tinggal beberapa hari lagi Syawal. Dua tahun penantian untuk beraya bersama seisi keluarga kini menjadi kenyataan. Yang mana sibuk mencari baju, kuih raya, juadah raya masih mencuci mata atau sudah disiapkan awal?

Persiapan saat-saat akhir atau last minute memang menjadi pilihan Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid.

“Persiapan untuk baju raya biasanya hujung-hujung nak raya baru beli. Biasa saya yang akan buat keputusan pemilihan baju. Kami tak beria sangat beli baju raya cukup sepasang untuk dipakai di pagi raya,” tutur isteri usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman kepada Seri.

Tambah Nur Shahida atau mesra disapa Shahida, 37, sama seperti orang lain, mereka sekeluarga memilih bergaya sedondon.

“Baju raya sebelum ini memang jarang sedondon, baru empat tahun kebelakangan ini kami pilih sedondon. Mungkin sebab anak-anak dah mula membesar, jadi pemilihan baju raya lebih senang. Sedondon tampak menarik apabila semua memakai satu warna,” katanya.

Mereka sekeluarga akan pulang beraya pada raya pertama di Batang Kali, Selangor iaitu rumah ibu Aliff Syukri, Rozita Ibrahim dan raya kedua di sebelah keluarga Shahida di Kedah.
Kongsi Shahida, walaupun anak-anak kian membesar, baginya tidak mudah untuk menguruskan anak ramai di pagi raya.

Lima anak, lima ragam
Cabaran perlu dilalui ibu anak ramai menjadikan persiapan raya lebih manis.

Kata Shida, paling sukar dikawal ialah anak-anak lelaki, terutama Yusoff Al Qardawi yang sangat hyper.

Jika terlepas pandang dan hilang fokus, pasti dia akan hilang sekelip mata.

“Menjaga dia seorang memang tidak boleh lalai walaupun sesaat. Yang lain-lain pula ada perangainya masing-masing. Jika seorang mood baik, yang seorang lagi tiba-tiba tantrum. Di sinilah menguji kesabaran seorang ibu untuk mengawal dan mententeramkan keadaan. Biasanya anak-anak akan mendengar kata jika saya menaikkan suara sedikit dan bertukar karakter agak garang,” katanya yang tegas, tetapi penyayang.

Beraya dengan anak ramai memang seronok dan gembira kerana sudah tentu rumah menjadi meriah dengan telatah mereka namun adakalanya tertekan juga.

“Lebih-lebih lagi saya memang suka jika ada baby atau anak-anak kecil di rumah. Stres memang ada tetapi lebih banyak perkara yang menggembirakan apabila anak membesar depan mata. Raya pula setahun sekali sahaja. Ketika inilah kita dapat beramah-mesra, bermain bunga api atau mercun bersama-sama. Jika masing-masing sudah besar, pasti rindu pula keriuhan mereka.

“Bagi saya, masa sekarang bukan lagi untuk berehat sebab tugas menguruskan, menjaga dan mendidik anak-anak sampai bila-bila pun tidak pernah habis. Tetapi itulah pengorbanan seorang ibu. Jadi, kendalikan stres mengikut situasi dan cara yang berlainan setiap anak,” katanya tersenyum.

Bagi dirinya, sesibuk manapun menguruskan perniagaan dan urusan lain, beliau tetap akan memastikan anak-anak lengkap dengan keperluan diperlukan.

“Walaupun mempunyai pembantu rumah, tetapi saya tetap akan memasak setiap hari dan pastikan anak-anak melakukan rutin mereka.

“Saya dan suami sibuk namun kami perlu bertolak-ansur dalam membahagikan masa untuk anak-anak,” katanya.

Anak perlu baik akhlak
Ramai wanita dan ibu berdepan tekanan untuk memastikan anak berjaya dalam masa sama berbahagi masa dengan anak-anak dan mengejar kerjaya.

“Sejujurnya, saya sangat stres jika inginkan kesemua anak-anak berjaya. Tapi, saya percaya tidak semua anak dikurniakan kepandaian akademik. Jadi, bagi saya memadai jika anak-anak saya mempunyai akhlak yang baik.

“Kalau memiliki anak yang berjaya dan pandai itu satu kelebihan, tetapi akhlak baik akan bawa ke mati. Kadang-kadang anak remaja makin membesar kelakuan mereka jauh beza dari masa kecil. Itu satu cabaran untuk kita memahami mereka.

“Untuk memastikan saya boleh seimbangkan masa antara bekerja dan anak-anak adalah banyak berkomunikasi atau bersembang dengan orang yang ada pengalaman lebih daripada kita. Ini memberi pengetahuan dan pelajaran baharu kepada saya untuk lebih matang dalam menguruskan mereka,” katanya.

Pantang 30 hari
Bekas anggota kumpulan nasyid Solehah ini merupakan seorang yang suka bekerja dan tidak boleh duduk diam serta tidak biasa terperuk di rumah.
Sungguhpun orang melihat kejayaan mereka suami isteri hari ini memuncak dan menganggap Shahida sudah memiliki segala-galanya namun ia bukanlah tiket untuknya goyang kaki.
“Otak saya tepu jika berkurung di rumah tanpa bekerja. Bila keluar bekerja, saya peroleh banyak ilmu serta idea-idea baharu selepas dapat berjumpa dengan ramai orang.
“Begitu juga ketika berpantang. Saya hanya berpantang 30 hari sahaja dan akan terus masuk bekerja. Saya tidak boleh berpantang lama-lama namun masih menjaga kesihatan badan sebab nak ‘guna lama’,” katanya.

‘Saya dan Aliff garang’
Mengakui dirinya dan suami garang dengan anak-anak tetapi ia dilakukan demi kebaikan permata hati mereka juga supaya tidak mudah lupa diri.

“Dua-dua garang. Tapi masing-masing perlu pandai memainkan peranan. Kalau suami tengah marahkan anak, saya akan redakan dan begitu sebaliknya. Tetapi kami tidaklah sampai mengangkat tangan. Segarang manapun saya, anak-anak lebih manja dengan saya.

“Kami juga tidak mengajar anak bermewah-mewah dan goyang kaki sahaja. Semua anak diajar berdikari. Mereka kena buat kerja rumah. Bimbang juga jika masing-masing tidak pandai bawa diri sebab sudah terbiasa hidup senang,” katanya.

MURUNG dek KONTROVERSI
Berpenampilan hebat namun Shahida memiliki sekeping hati yang sangat sensitif. Dia mudah mengalirkan air mata.

Setiap kali berlaku kontroversi melibatkan Aliff Syukri, pasti dirinya turut terpalit.

Situasi itu membuatkan dirinya sangat stres sehingga menyebabkan pola kehidupannya menjadi berubah, sama ada daripada segi masa tidur, makan mahupun perhatian diberikan pada keluarga dan anak-anak.

“Saya selalu stres dan kadang-kadang kemurungan dengan apa yang berlaku. Namun saya jarang berkongsi di media sosial tentang perasaan saya.

“Saya pernah tidak makan langsung dan tidak peduli dengan anak-anak kerana terlalu memikirkan hal itu. Tapi apabila semakin berumur saya semakin matang uruskan diri. Saya lebih memikirkan tentang keadaan mental dan fizikal saya serta keburukan jika diri saya terus begitu.

“Jadi, saya ambil pendekatan untuk tidak membaca apa-apa komen buruk di media sosial. Saya tahu ramai yang bercakap, saya seperti tidak tahu menjaga suami dan bermacam-macam lagi. Pada saya hanya Allah SWT lebih mengetahui apa juga yang saya alami dan rasai,” katanya.

WANITA PERLU BERDUIT
Sebagai seorang wanita berkerjaya, Shahida memandang serius isu wanita dikhianati suami.

Nasihat Shahida wanita mempersiapkan diri dengan mempunyai wang simpanan dan membina kerjaya sendiri.

“Kkita perlu ada duit dan simpanan sendiri termasuk kerjaya atau apa-apa pekerjaan sekalipun untuk tidak bergantung 100 peratus kepada suami.

“Kita tidak tahu apa akan jadi dalam kehidupan pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya kita telah bersiap-sedia dalam apa jua keadaan sama ada ditinggalkan, dicurangi atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×