ADAKAH kita tahu apakah sebenarnya yang dinamakan kadar tukaran asing? Bagi mata wang Malaysia, kita merujuk kepada kadar tukaran ringgit, yakni nilai ringgit yang disebut dalam nilai mata wang negara lain atau dalam sekelompok mata wang tertentu.
Biasanya, ringgit disebut dalam dolar Amerika Syarikat (AS), euro, yen, dolar Singapura, yuan dan sebagainya. Justeru, kadar tukaran ringgit adalah harga ringgit dalam sebutan mata wang lain, maka harganya ditentukan oleh permintaan dan penawaran mata wang-mata wang tersebut yang diperdagangkan sebagai komoditi di dalam pasaran kadar tukaran asing atau forex (foreign exchange market).
Kadar tukaran ringgit naik ke paras yang tinggi, RM4.335 per dolar AS, menandakan ringgit jatuh ke paras terendah dalam tahun ini berbanding dolar AS (jatuh 3.8 peratus) dan lain-lain mata wang asing, yakni ringgit menjadi mata wang paling teruk terkesan berbanding mata wang serantau lain. Ini merisaukan kita, apa akan terjadi kepada ekonomi Malaysia amnya dan kepada rakyat khasnya. Bolehkah kita campur tangan dalam pasaran tukaran ringgit?
Kadar tukaran mata wang sesebuah negara termasuk ringgit ditentukan oleh persepsi dan faktor sebenar ekonomi yang mana kedua-duanya tidak semestinya bergerak selari. Yakni, persepsi yang baik dalam kalangan pelabur mata wang tidak semestinya mencerminkan ekonomi sebenar yang baik, begitulah juga sebaliknya.
Namun persepsi pelabur mata wang boleh berubah dalam jangka pendek dan lebih mudah diurus, lantas kita berusaha memperbaikinya dengan menjadikan mereka tertarik dengan ringgit walaupun ekonomi sebenar tidak seindah mana pun. Fenomena yang sedang berlaku dalam kejatuhan kadar tukaran ringgit adalah berpunca daripada langkah yang bakal diambil oleh AS untuk menaikkan kadar bunganya agar inflasi di negara tersebut terbendung.
Jangkaan ini menyebabkan permintaan kepada dolar AS meningkat dan kadar tukaran mata wang Asia termasuk ringgit, merosot. Cuma apa yang membimbangkan kita ialah reaksi negatif terhadap ringgit agak keterlaluan walaupun fundamental (asas) ekonomi Malaysia seperti antara lain imbangan dagangannya yang masih kukuh, harga minyak mentah dunia yang tinggi dan penggunaan swasta yang masih utuh.
Oleh yang demikian, ringgit dijangka memantul ke paras keseimbangannya dalam masa terdekat. Apa sebenarnya yang merisaukan kita dengan fenomena kejatuhan ringgit ini?
Tahap kesejahteraan rakyat sedia ada agak membimbangkan ekoran daripada pendapatan isi rumah yang rendah, dijangka bertambah serius oleh trend kenaikan harga umum dalam tempoh endemik Covid-19 ini.
Kemerosotan kadar tukaran ringgit akan menambah tekanan inflasi apabila import kini menjadi lebih mahal (tekanan inflasi import akan lebih menyerlah).
BOP
Kita bergantung kuat kepada import untuk mencukupkan bekalan makanan terutama yang permintaannya tidak mudah digantikan dengan bekalan tempatan. Tambahan lagi, tekanan inflasi lebih terkesan kepada barangan makanan dan minuman yang dibelanjakan dalam nisbah kepada pendapatan isi rumah yang tinggi dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.
Tetapi akaun dagangan kita dalam Imbangan Pembayaran (BOP) masih kukuh dengan lebihan yang disumbangkan oleh kekukuhan komoditi terutama minyak mentah. Kewangan kerajaan, bagaimanapun akan terasa lega sedikit ekoran daripada kenaikan harga minyak mentah yang menyumbang agak besar kepada kewangan Kerajaan Persekutuan.
Selain harga minyak mentah yang tinggi, kekukuhan dolar AS akan menjadikan eksport lebih menarik berbanding import yang akan menambah lebar lagi lebihan dalam akaun dagangan dalam imbangan pembayaran. Pengaliran masuk pelancong asing ke dalam negara juga dijangka menjadi lebih kukuh.
Namun seperti ditegaskan tadi, nilai mata wang ini akan terus diasak yang menjadikan ia mengalami perubahan turun naik yang agak liar. Nilai mata wang sebenar akan ditetapkan oleh kekukuhan sebenar ekonomi yang dipengaruhi oleh faktor-faktor asas ekonomi dan bukan ekonomi (termasuklah tadbir urus institusi, rasuah, kehakiman dan sebagainya).
Justeru, nilai mata wang (kadar tukaran asing) adalah cerminan tahap produktiviti. Misalnya, ramai orang bertanya, adakah ringgit boleh paksakan nilai kadar tukarannya sama dengan dolar Singapura, RM1 sama dengan S$1? Tentu sekali ia tidak mungkin akan berlaku sekiranya kita tidak dapat menyamakan tahap produktiviti Malaysia sama dengan yang terdapat di Singapura. Begitulah hal yang sama dengan ringgit-dolar AS, ringgit-euro, ringgit-yuan.
Kalaupun kita samakan ringgit dengan mata wang negara tersebut secara administratif, yakni dengan cara inflate atau revalue yang mana ia tidak mungkin akan dilaksanakan oleh akal yang waras, kesannya kepada ekonomi Malaysia akan menuju kepada pemusnahan. Kelegaan dalam fiskal ini boleh digunakan untuk melunakkan sedikit kewangan rakyat melalui pemberian subsidi.
Namun, kita difahamkan kerajaan sedang melihat kembali peranan subsidi, mengurangkan yang tidak kritikal demi untuk meningkatkan produktiviti. Pemberian subsidi yang berlarutan dikatakan telah menghambat pertumbuhan produktiviti (daya pengeluaran) dan competitiveness (daya saing) ekonomi negara.
Ringkasnya, untuk mempunyai nilai ringgit yang mapan, kita perlu mengurus fundamental ekonomi kita terlebih dahulu, sedang mengurus persepsi pelabur mata wang itu dilakukan hanya untuk melunakkan turun naik yang melampau dalam kadar tukaran asing. Justeru, satu dasar yang cermat harus diperkenalkan dalam menangani fenomena kejatuhan kadar tukaran ringgit ini, yakni di samping mengurus sentimen pelabur mata wang agar perubahan kadar ini tidak terlalu liar, kita juga perlu mewujudkan satu langkah berkekalan dalam meningkatkan produktiviti negara. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid ialah bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).










