Selesa jadi diri sendiri - Scha Alyahya - Utusan Malaysia

Selesa jadi diri sendiri – Scha Alyahya

Scha Alyahya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH melihat laman sosial sebagai keutamaan buat kerjaya seninya, ketika ini ada pandangan berbeza yang mahu dikongsi selebriti cantik ini. Mengakui dia tidak teragak-agak menutup terus aplikasi laman sosial pada suatu ketika, katanya, ini bagi membuktikan kesungguhan dirinya untuk tidak lagi bergantung kepada idea yang diwujudkan sesetengah pihak mengenai laman sosial.
Menolak mahu menafikan kekuatan laman sosial kepada kerjaya seninya, bagi pelakon dan pengacara, Scha Alyahya, sudah sampai masanya dia meletakkan limitasi dalam setiap perkongsian diri.
“Laman sosial adalah penyumbang terbesar kepada stres. Jadi dengan memiliki aplikasi ini, kita perlu bersedia dengan pelbagai risiko. Sebagai selebriti, saya akui laman sosial digunakan sebagai pengukur populariti dan dalam masa sama seperti mewujudkan identiti seorang selebriti.

“Satu ketika memang saya turut berada dalam idea apabila perlu mengikut kehendak itu untuk kekal relevan. Lama kelamaan wujud rasa penat berhadapan dengan situasi ini dan mengambil keputusan untuk tidak lagi mengutamakan laman sosial,” katanya yang mempunyai hampir enam juta pengikut di Instagram.
Beberapa minggu lalu, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir mengejutkan peminatnya dengan menutup Instagramnya. Walaupun mengakui ada kesalahan teknikal yang berlaku, namun pelakon Bikin Filem ini memberitahu bukan mustahil untuknya tidak aktif sebagai pengguna laman sosial kelak.
“Melalui fasa awal kehamilan kedua ini memang saya sudah suarakan hasrat kepada suami untuk menutup terus laman sosial. Ketika itu ada suatu perasaan yang membuatkan saya tidak mahu mempunyai sebarang aplikasi.
“Namun ketika itu suami berpendapat saya melalui fasa alahan dan mungkin akan kembali okay selepas beberapa ketika. Selepas masuk enam bulan kehamilan yang dalam tempoh ini emosi saya sudah stabil, tetapi perasaan itu masih sama.
“Walaupun tidak mengambil keputusan untuk menutup terus, kali ini saya mengambil pendekatan berbeza. Jika dahulu saya wajibkan diri memuat naik tiga perkongsian sehari, kebelakangan ini saya hanya gunakan laman sosial mengikut kesesuaian sahaja,” kongsi isteri kepada pengacara terkenal, Awal Ashaari ini lagi.

Masih Relevan

Masih mengekalkan kedudukan sebagai antara selebriti pilihan ramai, tidak dinafikan nama Scha menjadi antara yang cukup dekat dengan peminat. Tidak mempunyai sebab untuk soal itu, jelas wanita tinggi lampai ini, dia sentiasa mengamalkan pilihan untuk tidak terlalu mencuba dalam semua aspek.
“Alhamdulillah, mungkin klise untuk menjawab semua ini rezeki. Namun dalam suatu sudut, apa yang boleh dikongsi, saya tidak pernah cuba menjadi sesuatu yang berbeza dengan diri saya sendiri.
“Senang menjadi diri sendiri sahaja. Paling penting sentiasa berada pada landasan yang sama. Saya juga tidak mengamalkan sikap terlalu mencuba, sebab akhirnya apa yang sudah ditulis itu memang akan menjadi hak kita,”katanya.

Tidak tumpu populariti anak kedua

BAKAL melahirkan anak keduanya pada Februari depan, akui pelakon cantik ini ada cabaran berbeza yang dihadapinya berbanding kehamilan pertama. Mengalami tempoh alahan yang lebih panjang serta paranoia akibat pandemik Covid-19, ketika ini akui selebriti berusia 37 tahun ini, dia lebih senang berada di rumah sahaja.
“Semasa mengandungkan Lara saya hanya mengalami alahan untuk fasa pertama kehamilan. Kali ini tidak, malah sehingga kini juga masih terdapat alahan.
“Selain itu dengan keadaan pandemik yang melanda dunia, sebagai seorang wanita mengandung memang saya paranoid untuk berada di luar ketika ini. Sebab kita tidak tahu keadaan sesuatu lokasi macam mana,
“Soal kerja masih sama cuma mengandung kali ini stamina agak kurang, selain memilih dalam tawaran. Kalau boleh saya memang mengelak bekerja dengan produksi yang membabitkan ramai krew dalam tempoh Covid-19 ini,” katanya yang kini sedang sarat mengandung anak keduanya.
Sama seperti pasangan lain, selepas tiga tahun mencuba, kehadiran anak kedua ini cukup mendebarkan. Walaupun masih belum mengetahui jantina bakal ahli keluarga baharu ini, kongsi Scha sebagai seorang ibu, doanya agar kandungannya sentiasa sihat sehingga dilahirkan.
“Sebagai seorang ibu fokus saya hanya mahu melahirkan seorang bayi yang sihat tidak kisah apa juga jantina sebab kami tahu kasih sayang itu sama sahaja,” katanya yang akan berpindah ke kediaman baru tidak lama lagi.
Bercakap mengenai populariti anak pertamanya, Lara Alana yang kini berusia enam tahun, kali ini dia dan Awal sudah mengambil keputusan untuk tidak melalui pengalaman yang sama untuk anak keduanya.
“Kami setuju kelahiran kali ini ada yang berbeza, lebih penting banyak perkara yang membuatkan kami belajar untuk tidak terlalu gopoh. Jadi sama ada anak kedua ini akan ada Instagram sendiri atau tidak, kami belum ada jawapannya.
“Ketika ini kita sudah tidak tumpukan kepada populariti Lara dalam laman sosial. Pada umurnya kini dia sendiri sudah mempunyai tanggungjawab dan rutin berbeza,” jelasnya lagi.- Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×