PETALING JAYA: Langkah Indonesia menyekat eksport minyak sawit boleh memberi kesan besar kepada keseimbangan permintaan dan penawaran minyak dan lemak dunia.
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), langkah itu juga mampu melonjakkan harga minyak sawit dan minyak pesaing lain di pasaran antarabangsa.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, berdasarkan sumbangan besar Indonesia dalam pasaran minyak dan lemak dunia, langkah drastik yang diambil oleh Indonesia itu pastinya akan memberi kesan besar terhadap negara-negara lain di dunia terutamanya kepada negara-negara pengimport utama minyak sawit seperti China, India dan Kesatuan Eropah.
“Bagi Malaysia, sebagai negara pengeluaran dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, langkah yang diambil oleh Indonesia itu akan meningkatkan permintaan eksport minyak sawit Malaysia.
“Bagaimanapun, berikutan masalah pengeluaran minyak sawit yang dihadapi Malaysia pada ketika ini susulan isu kekurangan tenaga buruh, Malaysia dilihat tidak mampu menampung keseluruhan permintaan eksport yang tinggi yang ditinggalkan oleh Indonesia.
“Justeru, ketidakseimbangan permintaan dan penawaran itu dijangka akan menyebabkan harga minyak sawit dan minyak-minyak pesaing lain melonjak ke paras yang lebih tinggi.
“Peningkatan harga itu dilihat mampu memberi manfaat kepada sektor perladangan dan sektor pemprosesan sawit di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun begitu, katanya, peningkatan permintaan eksport itu dijangka akan memberi cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia memandangkan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah minyak sawit kini menjadi semakin sengit.
Bagaimanapun, jelasnya, dasar cukai eksport minyak sawit mentah (MSM), minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung sawit proses (RBDPKO) yang sedia ada dilihat mampu berperanan memastikan industri hiliran tempatan mendapatkan bekalan bahan mentah minyak sawit yang secukupnya pada harga yang kompetitif.
Mengulas mengenai amalan buruh paksa dalam sektor perladangan sawit, Ahmad Parveez berkata, kebergantungan terhadap pekerja asing yang tinggi merupakan salah satu punca utama sektor perladangan sawit di Malaysia sering dikaitkan dengan amalan buruh paksa.
“Isu itu merupakan isu struktural di mana kerjasama secara menyeluruh di mana penglibatan pelbagai kementerian dan agensi diperlukan supaya perkara itu tidak berulang lagi,” katanya.
Jumaat lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengumumkan bahawa negaranya akan menghentikan eksport minyak masak dan minyak sawit mentah ke luar negara bermula 28 April ini bertujuan memastikan bekalan dan harga mampu beli minyak masak di pasaran domestik. – UTUSAN










