“Dalam sebuah perlumbaaan berjarak 30 meter, para pelumba akan melajukan langkah pada 10 meter terakhir untuk segera sampai ke garisan penamat”.
Setelah mencecah langkah akhir garisan, momentum pecutan pelumba masih dirasai beberapa langkah ke hadapan. Jika pelumba terus berlari anak dalam trek lumba, dia boleh mencecah tempat mula perlumbaan tanpa sedar! Itulah harapan daripada sekolah Ramadan yang mahu kita bawa ke bulan mendatang.”
Syukur Allah SWT masih memberi nafas kepada kita sehingga hari ini, 25 Ramadan. Terus panjatkan doa agar nyawa kita terus dikandung badan sehingga ‘puluhan’ Ramadan akan datang.
Peluang bernafas dalam Ramadan mencari malam al-Qadar sewajibnya disyukuri kerana ia seumpama seorang pencari khazanah berharga pahala malam al-Qadar yang masih belum ditendang keluar dari liga pertandingan.
Buruan mencari malam al-Qadar seumpama perlumbaan yang memerlukan pecutan akhir. Walaupun berjaya sampai ke garisan penamat, momentum pecutan masih dimiliki pelari. Momentum ini yang mengandungi sifat takwa, puasa jasad dan jiwa, cinta membaca al-Quran, suka memberi orang makan, suka bersedekah dan sebagainya tidak seharusnya dihentikan begitu sahaja.
Sebaliknya diteruskan dengan berlari-lari anak mengelilingi trek perlumbaaan melepasi bulan lain seperti Syawal, Zulkaedah sehinggalah Ramadan akan datang.
Ini juga sebabnya mengapa puasa Ramadan perlu dilanjutkan dengan puasa enam hari Syawal, puasa sunat mingguan Isnin Khamis, puasa sunat bulanan ‘hari putih’ ketika bulan mengambang dan puasa Nabi Daud a.s.
Tidak lain, Allah mahu agar momentum kawalan diri merangkumi; nafsu suka makan, nafsu berkelamin, nafsu bercakap tanpa audit, nafsu pandang yang haram, nafsu bakhil dan sebagainya kekal dikekang dengan puasa.
Ini bertepatan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Solat lima waktu, (ibadat antara) Jumaat ke Jumaat, (ibadat antara) Ramadan ke Ramadan menjadi penghapus dosa yang berlaku antara keduanya, selagimana dosa besar dijauhi. (Sahih Muslim, 344).
Berikut dicadangkan beberapa langkah mengekal momentum positif sehingga Ramadan akan datang:
Menambah ilmu pengetahuan berkaitan agama. Ilmu yang dituntut tentang Islam perlu berevolusi daripada amalan ritual kosong kepada amalan yang disulam logik dan hikmah kerana Islam adalah agama ilmu.
Muslim terbaik adalah Muslim yang ilmunya sentiasa meningkat. Ini kerana kebanyakan Muslim sangat berkira jika kondisi kewangan mereka statik selepas bertahun bekerja tetapi tetap selesa jika kondisi rohani dan ilmu Islam mereka statik walaupun sudah berpuluh tahun bergelar Muslim.
Melanjutkan ibadat puasa sunat seawal puasa enam bulan Syawal. Jika mampu, lakukan semua puasa sunat yang disarankan Nabi SAW.
Pengisian hidup setahun dengan berbagai puasa sunat seumpama melanjutkan aliran deras takwa dan kawalan diri si pelaku puasa sepanjang masa.
Teruskan tadarus dan tadabbur al-Quran walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti selepas Ramadan. Memahami dan mengamalkan isi al-Quran umpama mengukuhkan antibodi iman agar tidak dijangkiti pelbagai penyakit jiwa dalam dunia serba mencabar kini.
Suka saya bawa hadis tentang tuntutan sentiasa berdamping dengan al-Quran sepanjang usia yang bermaksud: Ibn Abbas r.a menceritakan seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, apa amalan yang paling Allah cintai?” Baginda menjawab: “Orang yang singgah dan pergi (berterusan perjalanannya).” Lelaki itu bertanya: “Apa maksud orang yang singgah dan pergi?” Baginda menjawab: “Orang yang membaca al-Quran dari awal al-Quran (al-Fatihah) sehingga akhirnya. Setiap kali selesai (khatam) dia meneruskan bacaan (dari awal al-Quran). (Sunan al-Tirmidzi, 2872). (Dinilai lemah oleh Imam al-Tirmidzi).
Walaupun hadis ini dinilai lemah, maksudnya benar kerana disokong hadis lain iaitu: Aisyah r.ha menceritakan Nabi SAW pernah ditanya apakah amalan yang paling dicintai Allah? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya. (Sahih Muslim, 1303).
Meneruskan solat berjemaah di masjid sebagaimana rancaknya ibadah sepanjang Ramadan. Muslim yang berdamping dengan surau, masjid sepanjang Ramadan dan selepasnya amat beruntung kerana sudah masuk kelab sahabat malaikat.
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: Sesungguhnya bagi masjid itu ada ‘tiang serinya’, mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman (semasjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid) para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka. (Mustadrak al-Hakim).
Meninggalkan solat jemaah di surau dan masjid seumpama meninggalkan kelab elit yang didambakan semua. Aduhai ruginya!
Meneruskan amalan bersedekah kerana ia seumpama minyak pelincir yang akan melancarkan kehidupan kita selepas Ramadan. Sedekah berterusan akan menyuburkan harta dan jiwa.
Ia juga sentiasa menjamin berbagai gantian dari Allah sama ada gantian pahala yang sangat diperlukan di negeri akhirat, atau gantian kehidupan yang lain seperti hidup yang tenang serta rezeki yang melimpah ruah. Ia seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dia-lah sebaik-baik Pemberi rezeki”. (Saba’: 39)
Usaha mengekalkan momentum Ramadan selepas ia berakhir termasuk daripada tanda penerimaan ibadat Ramadan kita. Ini yang dijelaskan Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif iaitu: “Kebiasaan puasa selepas puasa Ramadhan menjadi tanda penerimaan puasa Ramadhan kerana apabila Allah menerima amalan hamba-Nya, akan digerakkannya untuk beramal soleh.”
Kesimpulannya, lanjutkan pecutan garisan akhir Ramadan ini dengan larian anak di trek kehidupan sebagai Muslim sehingga kita bertemu Ramadan akan datang.
Semoga larian anak kita dengan berbagai ibadat selepas Ramadan akan menambah stamina rohani kita saban tahun untuk berhadapan dengan dugaan hidup yang semakin mencabar. Insya-Allah! – UTUSAN
- Penulis ialah Timbalan Pengarah, Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.











