KUALA LUMPUR: Pelaburan MARA Berhad (PMB) terus menyusun strategi bagi memantapkan prestasi kewangan kumpulan dengan pelancaran dua dana unit amanah baharu PMB Investment Berhad.
Selain itu, PMB turut mewujudkan jalinan perniagaan dengan syarikat teknologi hijau, selain menambah jumlah pembiayaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengarah Eksekutif Kumpulan Interim PMB, Datuk Zulkikri Osman berkata, PMB akan terus berusaha mencari peluang perniagaan agar dapat mencapai sasaran pulangan Kumpulan sebanyak RM52 juta pada tahun ini.
Beliau berkata, PMB Investment juga bakal melancarkan dana pertama tahun ini pada bulan hadapan dengan fokus kepada dana peringkat ‘regional’ dan dana kedua memberi fokus kepada saham Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di suku ketiga.
“Dana-dana ini akan menjadi dana ke-19 dan ke-20 yang diuruskan oleh PMB Investment. Dengan dua dana baharu ini akan memberi peluang kepada pelabur untuk meneroka pasaran di luar Malaysia dan syarikat yang berlandaskan ESG.
“Kami berpendapat masyarakat pelabur semakin bijak menilai pelaburan yang bersesuaian dengan tahap risiko masing-masing dan dengan adanya produk-produk baru ini, mereka mempunyai pilihan yang lebih luas daripada melabur ke dalam pasaran tempatan sahaja. Ini akan menjadi aspek penting dalam membuat keputusan pelaburan arus utama,” katanya di Majlis Iftar anjuran Kumpulan Mara Corporation, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Norati Ibrahim dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Pelaburan Mara, Mohd. Adzhar Abdul Hamed.
PMB Investment menguruskan 18 dana saham amanah syariah dan telah melancarkan dua dana pada 2021 iaitu PMB An-Nur Waqf Income Fund dan PMB Shariah Global Equity Fund.
Prestasi dana-dana yang diuruskan telah merekodkan pencapaian prestasi yang memberangsangkan di mana PMB Shariah Equity Fund merekodkan pulangan bagi tempoh tiga tahun sebanyak 93 peratus sehingga Mac 2022. PMB Shariah Growth Fund pula merekodkan pulangan sebanyak 74 peratus bagi tempoh yang sama.
Selain itu, PMB Investment turut menerima pengiktifaran untuk PMB Dana Mutiara, iaitu anugerah Refinitiv Lipper Fund Awards 2022 sebagai Dana Ekuiti Pendapatan Terbaik Malaysia (Islamik) untuk tempoh 3 tahun bagi tahun berakhir 31 Disember 2021.
PMB turut terlibat dalam pembiayaan kewangan syariah khusus sektor PKS, menerusi anak syarikatnya, PMB Tijari Berhad.
Zulfikri berkata, PMB Tijari kini mempunyai 150 pelanggan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM280 juta dan pada tahun ini PMB Tijari mensasarkan pembiayaan kepada 50 usahawan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM80 juta.
“PMB Tijari akan terus menyediakan perkhidmatan secara ‘personalised’ dengan perkhidmatan sokongan seperti khidmat nasihat perniagaan selain menjadikan usahawan sebagai ‘rakan niaga’ dan tidak sekadar pelanggan semata-mata.
“Kami mahu bersama-sama dengan usahawan yang dibiayai membangunkan perniagaan dengan memastikan mereka mendapat bimbingan nasihat pakar dan bukan sahaja menyediakan pembiayaan kewangan. Niat kami adalah untuk membantu ramai usahawan terutama bumiputera berjaya dalam peniagaan yang diceburi,” kata beliau. – UTUSAN










