Sisi kehidupan di media sosial

Sisi kehidupan di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN sebenar adalah sebiji epal merah yang satu sisinya elok dan satu lagi sudah tersisa dimakan manusia atau haiwan. Walaupun semua mengimpikan keindahan dan kesempurnaan, tetapi kehidupan ada kedua-duanya sebagai pelengkap antara satu dengan lain.

Tidak ada kehidupan sesempurna epal merah yang tidak tersisa. Kehidupan yang nyata adalah sulam seli hitam dan putih, tinggi dan rendah serta jatuh dan bangun.

Semua yang bertentangan itu menjadikan kehidupan penuh kepelbagaian warna dan suasana.

Kehidupan nyata bukan seperti terpapar di iklan-iklan televisyen hingga kita menerima sebagai benar. Bagaimanapun, ini sangat mempengaruhi secara tanpa sedar.

Lihatlah bagaimana iklan membentuk persepsi bahawa wanita cantik itu mesti putih dan tinggi lampai.

Di luar dunia iklan, ini diterima sebagai satu tanda aras atau definisi kecantikan. Maka ia membuka peluang kepada pengeluar krim pemutih. Selepas media konvensional seperti televisyen mengalami penurunan, kini media sosial mengambil peranan itu.

Media sosial juga seperti iklan di televisyen suatu waktu dahulu yang mempengaruhi tanpa sedar. Kemudian membentuk persepsi bahawa kehidupan adalah yang sempurna, bahagia dan dikelilingi nilai-nilai kebendaan. Inilah isi kandungan di media sosial.

Terlalu sedikit yang memaparkan kegagalan, kemiskinan dan kekurangan di media sosial. Ini pelantar sosial untuk kelihatan bergaya walaupun tidak seperti dalam kehidupan nyata. Maka berlumba-lumbalah memperagakan kehidupan yang pada tanggapan mereka membawa makna bahagia.

Sebahagian besar warga maya penagih perhatian dan memperagakan kesempurnaan hidup untuk mendapat pujian. Tambahan pula hal ini sama dengan budaya hidup di media sosial – mengangkat diri sendiri supaya kelihatan lebih berbanding yang lain.

Dalam banyak diskusi, media sosial hanya dilihat sebagai rangkaian hubungan sosial. Bagaimanapun, jauh lebih besar daripada itu adalah mencipta sebuah ilusi kehidupan yang penuh kebendaan. Masing-masing memperagakan kebendaan supaya kelihatan hidup mewah dan sempurna.

Oleh hal yang demikian, tidak semua yang terpantul di media sosial mewakili kehidupan sebenar yang penuh berwarna-warni. Secara psikologi, pengaruh media sosial sudah membentuk definisi dan wajah kehidupan yang tersendiri – setidak-tidaknya dalam kalangan warga maya.

Tanpa sedar, media sosial telah menulis semula tata cara dan prasyarat kehidupan yang menepati definisinya. Masa yang sama, di situlah ruang eskapisme untuk melarikan daripada kenyataan hidup yang mungkin tidak seindah diimpikan. Di media sosial, impian itu dijelma dan dihidupkan dengan memperagakan kegembiraan, kemewahan dan kebahagiaan.

Hal ini berlaku kerana di media sosial, pengguna dipaksa melihat kehidupan orang lain yang secara terancang pula berpaksi kebendaan. Pengguna media sosial hampir terlupa hakikat diri sendiri kerana pantulan cerita orang lain yang lebih memukau, malah hampir tidak ada cerita duka dan sengsara.

BULAN

Bagaimanapun, penyair dan pemikir, Khalil Gibran mengingatkan, “Ketika kita melihat indahnya bulan yang bercahaya, sedang hakikatnya pada detik yang sama di sisi yang satu lagi gelap gelita dan langsung tiada indahnya.” Maksudnya, kehidupan yang sebenar didukung oleh dua sisi rasa dan warna berbeza.

Ketika media sosial giat mempertontonkan sisi epal merah yang sempurna, jangan lupa sisi satu lagi. Di sebalik pengguna media sosial mengangkat kehidupan yang indah-indah, makan yang enak-enak dan segala keperluan kebendaan tersedia, hakikatnya di sisi lain bergelut untuk hidup. Sisi itu tidak dipertontonkan kerana bertentangan dengan budaya media sosial. Di sana hanya yang indah-indah yang mampu membuatkan orang terpegun dan kagum.

Kehidupan dipaparkan di media sosial dengan yang nyata di luarnya sangat berbeza antara satu dengan lain. Bagaimanapun, media sosial ada kemilau yang luar biasa untuk memagut perhatian dan keterpesonaan. Ibarat sebutir lampu di tengah gelap malam yang menyihir kelkatu mengerumuninya.

Oleh yang demikian, untuk melihat atau memahami kehidupan nyata, jangan sama sekali mencari di media sosial. Hal ini kerana media sosial mempunyai tara cara kehidupannya yang tersendiri dan tidak mewakili kehidupan nyata di luar tabir lingkungannya.

Suatu hakikat yang tidak boleh dilupakan adalah kehidupan ini tidak semuanya penuh dengan keindahan. Walaupun keindahan itu yang menjadi impian tetapi dalam kehidupan yang nyata, kita tidak mendapat semua. Kita mendapat sebahagian yang indah dan selebihnya tidak indah.

Apabila kemodenan menyapa di pintu kehidupan kita, tanpa disedari bersama-samanya akan ada konsumerisme. Nilai-nilai moden yang sangat menyihirkan itu memahatkan sedikit demi sedikit rasa kebendaan yang mengunjur mengatasi nilai-nilai lainnya.

Media sosial cenderung mendesak kita mengukur kehidupan daripada pembaris yang digunakan oleh orang lain. Memaksa tanpa sedar supaya menjadi seperti individu terpapar yang bahagia dan amat mewah kehidupan mereka. Malah tanpa sedar juga membentuk pengertian bahawa kebendaan menjadi keutamaan untuk memaknakan hidup.

Kalau kita kerap merenung kehidupan nyata di luar media sosial yang bergilir silih berganti di depan mata, sudah pasti mengakui ketenangan hidup dan kebahagiaan itu amat abstrak. Tidak ada tanda aras kebendaan untuk menyukat kebahagiaan.

Kalau kebendaan boleh membeli kebahagiaan, sudah tentu semua mereka yang kaya raya hidup bahagia. Tetapi banyak juga yang terus tidak ada bahagia walaupun pendapatan sehari sama dengan gaji seumur hidup golongan berpendapatan rendah (B40). Cuma orang yang melihat sahaja membuat kesimpulan sendiri bahawa kebendaan itu kebahagiaan.

Maka berhentilah melihat hidup dari sudut pandang di media sosial. Jangan terpedaya dengan epal merah di media sosial kerana masa yang sama memadam sisi satu lagi yang mungkin tidak sempurna. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×