BANDAR BAHARU: Kebanyakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Relau di sini memberi alasan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati terhadap pengurusan depot termasuk tidak memberi ubat kepada tahanan sakit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk di Kampung Relau berdekatan depoh berkenaan, Syamsuddin Che Adni, 29, berkata, perkara itu disuarakan mereka ketika dia bertanyakan punca tindakan melarikan diri dari pusat tahanan tersebut.
Menurutnya, dia pada mulanya terkejut apabila terdengar suasana bising sebelum melihat ratusan PATI kebanyakannya Rohingya berbaris keluar tanpa dikawal anggota Imigresen.
“PATI terbabit keluar dari kawasan depoh tersebut sambil membawa kanak-kanak dan sebahagian daripada mereka hanya berkaki ayam.
“Ketika saya tanya, mereka mendakwa bertindak melarikan kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan depot termasuk tidak memberi ubat kepada tahanan yang sakit.
“Saya dan penduduk kampung sempat menahan 14 orang daripada mereka yang tertinggal di kumpulan belakang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam lebih 500 pelarian Rohingya termasuk kanak-kanak meloloskan diri dari Depoh Imigresen Sementara Relau di sini melalui pintu pagar pusat tersebut.
Mereka kemudian terus berjalan sejauh 14 kilometer (km) sehingga ke Sungai Kechil Ilir berdekatan Lebuh Raya Utara-Selatan di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Setakat pukul 4 petang semalam, sebanyak 362 tahanan berkenaan berjaya ditahan semula di beberapa kawasan.
Dalam pada itu, menurut Syamsuddin, kumpulan PATI terbabit kemudian berpecah apabila terserempak dengan pihak berkuasa di kawasan Sungai Ilir dan sebahagian bertindak memasuki laluan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Bagaimanapun enam daripadanya maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika cuba melintas lebuh raya di Kilometer 165 pada pukul 6.30 pagi. Mereka terdiri masing-masing dua lelaki, wanita dan kanak-kanak yang maut di tempat kejadian.
“Selepas kemalangan itu, sekumpulan PATI yang terselamat kemudian melarikan diri ke arah selatan lebuh raya sebelum ditemukan dalam keadaan keletihan kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.
“Pihak berkuasa kemudian menahan PATI terbabit dan beberapa PATI lagi diberkas pihak berkuasa dan penduduk kampung di beberapa kawasan lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad menyifatkan tahanan yang melarikan diri terbabit berbahaya kepada orang awam.
Katanya, mereka terbabit dikhuatiri bertindak menceroboh rumah penduduk dan melakukan tindakan di luar kawalan.
“Polis melancarkan Op Cantas yang turut membabitkan kontinjen Pulau Pinang untuk memburu tahanan yang masih bebas. Tahanan yang bebas kebanyakannya berkaki ayam dan mereka mudah dikenal pasti berdasarkan pakaian yang dipakai,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Dalam pada itu, Wan Hassan memberitahu, pihaknya masih menyiasat punca kesemua PATI terbabit melarikan diri dari pusat tahanan tersebut yang ketika kejadian dikawal 23 anggota Imigresen. – UTUSAN










