Mewarisi kemahiran tenunan Pua Kumbu daripada nenek dan ibunya sejak berusia 10 tahun lagi, Josefine Midong, 63, dari Kapit, Sarawak kini bergelar penenun dan usahawan kraftangan berasaskan tenunan yang mempunyai kelas tersendiri.
Menjalankan perusahaannya tenunan Pua Kumbu Masyarakat Iban selama 30 tahun sejak 1992, pembuatan Pua Kumbu bukannya satu kerja yang mudah.
Ini kerana ia memerlukan ketelitian dan kemahiran menenun. Malah prosesnya juga rumit dan memakan masa.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di premis perniagaannya di Bangunan Arked Mara di Sibu, Josefine memberitahu Pua Kumbu adalah satu karya eksklusif serta mempunyai daya tarikannya tersendiri di Sarawak dan di mata pelanggannya.
“Pua kumbu ini pada asalnya merupakan penghasilan masyarakat Iban di Sarawak dan mempunyai banyak keunikan dserta kelebihannya tersendiri. Lebih-lebih lagi kami orang kaum Iban dan bangsa lain juga yang percayakan hasil seni tangan ini. Proses pembuatan memang rumit.
“Proses menenunnya boleh mengambil masa yang lama mengikut ukiran dan motif berbeza. Penenun perlu melalui banyak proses seperti mengikat, mewarna, menegang benang sebelum ditenun bagi memastikan kain pua berkualiti dan tahan lama terutamanya terhadap permintaan pelanggan,” katanya.

Proses menenun dan menghasilkannya perlu mengikuti banyak proses dan pada masa yang sama boleh mengelirukan.
Antaranya dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng di permukaan alat tenun, benang karat butang kemudiannya digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang.
“Benang kapas yang hendak ditenun turut diikat pada beberapa bahagian tertentu terlebih dahulu, bertujuan menahan pewarna daripada meresapi bahagia tersebut.
“Ikatan dibuat mengikut corak dikehendaki dan kadang-kadang proses ini dibuat beberapa kali mengikut corak dan warna permintaan pelanggan.
“Warna sering digunakan adalah coklat tua, biru kehitaman dan merah bata. Apabila proses mewarna sudah selesai, benang-benang kapas itu dikeringkan.
“Setelah benang betul-betul kering barulah ikatan-ikatannya dibuka, kemudian benang itu ditenun. Tenunan dibuat secara kosong tanpa menyelang-nyelikan benang bagi menghasilkan corak, maka proses ikat yang betul akan menghasilkan corak yang diingini,” katanya.
WARNA DARI ALAM
Istimewa kain ini kerana ia dihasilkan daripada warna bersumberkan alam yang tidak mudah luntur dan bertahan untuk tempoh yang lama.
Contohnya warna dari kayu kayan, kulit kayu, akar kayu, seperti akar mengkudu, daun engkerebai, daun rengat, daun tarum dan juga kami menggunakan kulit sebangki, kulit babai.
“Penggunaan bahan turut mempengaruhi keaslian Pua Kumbu. Pemilihan benang bagi perlu dilakukan secara teliti agar ketahanan pada penghasilan Pua Kumbu itu nanti dapat dikekalkan sehingga tempoh yang lama,” katanya.
Menyentuh mengenai aspek pantang larang, Josefine berkata, ia bergantung kepada kepercayaan kaum masing-masing.
“Suatu ketika dahulu, Pua Kumbu dianggap sebagai pertandingan dalam kalangan wanita Iban terutamanya di rumah panjang. Oleh itu, sebelum tenunan Pua Kumbu dimulakan, ritual Miring akan diadakan terlebih dahulu bagi melindungi si penenun daripada sebarang malapetaka atau penyakit,” tambahnya.

Begitupun dalam kalangan generasi muda masyarakat Iban, mereka tidak lagi mengamalkannya berikutan majoriti etniknya menganut agama Kristian dan sesetengah upacara berkemungkinan tidak lagi dilakukan.
“Sesetengah penenun berpendapatan pembuatan Pua Kumbu tidak perlu lagi menggunakan ritual tradisional. Mereka menganggap ia harus dihasilkan dengan cara yang mudah dan cepat serta mudah dibeli,” katanya.
Apa pun alasan diberikan, selama hampir 30 tahun menjalankan penghasilan Pua Kumbu Sarawak, dia selesa mengamalkan ritual berkenaan.
Berkongsi rezeki dengan penduduk kampung
Sambutan menggalakkan terhadap Pua Kumbu mendorong Josefine mengundang penduduk di kampungnya untuk turut sama mengusahakan seni warisan bangsa itu.
Produk yang siap dihasilkan akan dibawa ke premis perniagaannya untuk dipasarkan sebagai usaha membantu penduduk di rumah panjang menjana pendapatan.

“Kalau ada banyak tempahan, saya akan memberitahu kepada penduduk di kampung rumah panjang saya (Kampung Nanga Entawau Baleh, Kapit) terutamanya isi rumah yang telah terlatih dengan Perbadanan Kraftangan Sarawak.
“Keutamaan diberikan kepada mereka yang telah terlatih, jumlah keseluruhan yang telah mengikuti latihan sebelum ini dibawah program Perbadanan Kemajuan Kraftangan Sarawak lebih daripada 30 orang,” katanya.
Tidak mahu warisan tenunan Pua Kumbu suku kaum Iban ditelan zaman, Josefine berharap agar pihak kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak latihan serta ilmu pengetahuan kepada generasi muda sekali gus memasarkan produk kraftangan Sarawak di persada dunia.










