Padah kerajaan ‘cuci tangan’ isu kenaikan harga - Utusan Malaysia

Padah kerajaan ‘cuci tangan’ isu kenaikan harga

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BEKAS Setiausaha Agung DAP, LIM GUAN ENG, 60, kelihatan lebih relaks dan banyak bercakap soal-soal rakyat ketika ditemu bual baru-baru ini.

Isu yang banyak disentuh Pengerusi DAP itu adalah soal kenaikan harga barang yang boleh menjadi modal baharu Pakatan Harapan (PH) meraih undi sekali gus merampas kembali Putrajaya, lebih-lebih lagi jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada awal Ogos ini ketika kesan paling parah peningkatan harga dirasai rakyat.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan NIZAM YATIM serta jurugambar, FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur, bekas Menteri Kewangan itu meluahkan kebimbangan Malaysia akan mengalami situasi sama seperti Sri Lanka yang berada dalam keadaan kacau-bilau jika kerajaan masih mengambil sikap ‘cuci tangan’ dan tidak mewujudkan dana kestabilan harga bagi menyerap turun naik kos barangan.

KHEMAH BESAR

UTUSAN: Bolehkah ‘khemah besar’ bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas ini diterima oleh PH?

GUAN ENG: Yang dipersetujui oleh Majlis Presiden PH ialah khemah besar dalam kalangan pembangkang. Jadi tak sebut pun daripada (parti) kerajaan. Kalau dalam kalangan parti pembangkang, baru boleh stabil. Dengan parti kerajaan nanti pula mereka main tikam belakang (sekali lagi).

Kalau tikam belakang satu kali, dia yang bersalah, tapi kalau kena tikam belakang dua kali oleh orang yang sama, kita pula yang salah. Mengapa kita bodoh macam itu?

Maksudnya akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Yakinkah akan menang?

Saya rasa masih ada peluang, sekiranya kita dapat berikan ilham dan inspirasi kepada pengundi untuk pulang mengundi. Kalau kita lihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, undi BN tak naik sangat. Yang jadi isu ialah peratusan keluar mengundi rendah, ini kena akui adalah kelemahan kita.

Mengapa kita tidak boleh berikan motivasi untuk perbanyakkan pengundi pulang, baik dari Singapura atau Kuala Lumpur supaya mereka rasa berbaloi untuk balik undi? Jadi itulah yang kita kena cari, apakah (isu).

Kita juga kena ada Akta Anti Lompat Parti bagi memulihkan keyakinan pengundi terhadap proses pilihan raya dan tiada lagi cakap-cakap apa guna sokong, awak akan lompat lagi. Kena hormati Tuhan yang buat kita manusia, bukan buat kita jadi katak.

TUN M

Ramai percaya kemenangan PH pada PRU14 disebabkan aura Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Bukan (kerana aura), ada banyak faktor. Kalau awak tanya PKR, dia cakap itu kerana usaha PH tapi kalau tanya Tun, dia cakap saya yang menyumbang. Saya rasa semua ada menyumbang. Mengenai PRU15, saya rasa perkara (penyertaan Tun) tak timbul kerana beliau cakap takkan bertanding lagi. Jadi saya rasa itu sudah lepas, kita harus lihat ke masa depan.

TOLAK MUHYIDDIN

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berjumpa dengan pemimpin pembangkang bagi mewujudkan kerjasama politik?

Saya tak pernah jumpa dia. Kalau dia nak jumpa, saya pun tak akan terima. Kita kena tikam belakang, kita jangan terperdaya lagi. Kalau dekat Parlimen, sembang-sembang tak apalah, tetapi untuk bincang isu ini bagi kerjasama, tak ada. Saya pun tak akan terima, tutup pintu.

HARGA BARANG

Apakah isu-isu yang boleh diketengahkan PH?

Sekarang kos sara hidup (meningkat), rakyat susah. Mengapa sekarang kerajaan macam tak ambil peduli. Cili sampai RM20 (sekilogram). Waktu PH memerintah, harga ayam RM5 hingga RM6 sekilogram, sekarang RM8.90 tapi yang dijual hampir RM11 dan akan naik lagi.

Ini satu isu yang realiti, sangat teruk kepada rakyat. Kita harus desak kerajaan, perlu ada satu dana kestabilan harga. Dia cakap kita nak ada kestabilan politik, tetapi kalau ada kestabilan politik tanpa kestabilan harga apa gunanya.

Tengok macam Sri Lanka, dia ada kestabilan politik. Presiden menang majoriti, tetapi kerana tak ada kestabilan harga, tengok porak-peranda, satu negara kacau-bilau.

Bukankah cadangan diwujudkan dana ini telah ditolak pakar ekonomi kerajaan?

Keadaan akan menjadi lebih meruncing kerana apabila perang antara Ukraine dan Rusia, ia akan jadi lebih teruk lagi. Kita belum lihat kesan sepenuhnya. Implikasinya akan datang antara tiga hingga enam bulan lagi, masa itu lagi teruk.

Mengapa kerajaan ‘cuci tangan’. Buatlah satu dana kestabilan harga. Kita sekurang-kurangnya sekat kenaikan, kenaikan tak boleh dihalang, tapi janganlah tinggi sangat. Itu yang paling asas sekali.

Tak payah pergi (universiti) Oxford atau Cambridge untuk tahu perkara ini. Tak payah jadi Menteri Kewangan, baru tahu perkara ini. Ini asas, tapi dia tak mahu buat kerana cakap tak ada wang.

EKONOMI MEROSOT

Ada pihak mendakwa tak ada perkembangan ekonomi membanggakan waktu PH. YB dikatakan mengusutkan keadaan dengan menguar-uarkan hutang negara tinggi sehingga Bursa Malaysia menyusut teruk?

Berbanding sekarang, waktu PH jauh lebih baik. Sekarang saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kecil daripada tahun terakhir PH memerintah. Masa itu mana ada kita dipintas oleh Vietnam dari segi KDNK. Sekarang Vietnam pula memintas kita.

Masa saya jadi Menteri Kewangan, saya kurangkan kos. Saya (jangka) dapat jimatkan RM50 bilion. Kena tunggu sampai tahun keempat atau kelima, baru kita boleh lihat penjimatan dan masa itu, baru saya akan gunakan untuk hapuskan tol Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) sama sekali. Macam itu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita jimatkan RM22 bilion.

Bagaimanapun, bukan semua yang kita buat itu berjayalah. Kita tentu ada kekurangan, itu saya akui. Mana ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan saja yang sempurna. Sekurang-kurangnya kita akui kelemahan itu dan kita cuba cari jalan untuk betulkannya.

Macam Plus, kita akui nak hapuskan (tol) tapi tak sempat. Tapi kita telah mulakan peringkat pertama, kurangkan (tol) 18 peratus. Bagi saya tak adil untuk dihukum PH (berdasarkan) apa yang kita buat dalam 22 bulan, bila kita sepatutnya ada 60 bulan.

DAP menyifatkan Pas yang diterajui Abdul Hadi Awang tidak boleh dipercayai kerana selalu berdolak-dalik.

KERJASAMA PAS

Hubungan DAP dengan Pas ‘sekejap ada, sekejap tidak ada’?

Pas semasa Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tak ada masalah. Dia seorang pemimpin sederhana, adil dan alim yang betul-betul menjaga hati semua pihak. Nik Abdul Aziz betul-betul seorang pemimpin Islam untuk semua.

Kita boleh berbeza pandangan. Tetapi dia tidak akan kerana pandangan berbeza ini, membuat komen-komen yang ekstremis dan keterlaluan, macam Pas sekarang.

Sukarlah (bekerjasama) di bawah Tok Guru (Tan Sri) Abdul Hadi Awang. Pertama, beliau seorang pemimpin yang bukan sahaja keluarkan kenyataan yang kita rasa agak sinis tetapi macam nak bermusuhan dengan orang bukan Islam.

Kedua, beliau bukan seorang pemimpin yang boleh dipercayai kerana hari ini cakap macam itu, hari esok dia cakap lain, jadi selalu berdolak-dalik. Satu ketika dia cakap kita nak buat sesuatu tetapi kerana ada DAP (dalam Pakatan Rakyat), tak boleh buat.

Tapi sekarang DAP tak ada (dalam PN), dia pun tak buat. Ada satu defisit (kekurangan) kepercayaan yang agak tinggilah. Jadi sukar untuk kerjasama dengan Pas sekarang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×