AEON-Jovian lancar kerjasama terbaharu untuk Koleksi AEON Raya 2022

AEON, Jovian lancar kerjasama koleksi Raya 2022

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) melancarkan kerjasama terbaharu untuk Koleksi AEON Raya 2022 dengan pereka fesyen dan usahawan terkemuka, Datuk Jovian Mandagie menerusi koleksi Nusantara.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pemasaran AEON, Low Ngai Yuen berkata, kerjasama julung kali bersama Jovian itu bukan sahaja menyediakan koleksi eksklusif Nusantara untuk wanita tetapi termasuk pakaian raya bagi seisi keluarga termasuk lelaki dan kanak-kanak.

Katanya, kesemua koleksi itu boleh didapati di tujuh kedai AEON fizikal di Shah Alam, Selangor; Wangsa Maju, Taman Maluri dan Mid Valley di Kuala Lumpur; Queensbay, Pulau Pinang; Kota Bharu, Kelantan dan Tebrau City, Johor Bahru.

“Sejak 15 April lalu, koleksi ini tersedia secara eksklusif di tujuh kedai AEON fizikal serta dalam talian kepada semua, untuk pra-pesanan di AEON Lifestyle di https://lifestyle.myaeon.com.my/special-campaign/jovian-collection-1.

“Selain itu, koleksi eksklusif ini juga termasuk topeng tiga lapis dan topeng KF94 unggulan Jovian Mandagie dalam reka bentuk baharu yang sesuai digayakan dengan pakaian hari raya,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Koleksi AEON x Jovian Nusantara di AEON Mall di sini hari ini.

Sementara itu, Jovian ketika ditanya signifikan memilih AEON bagi kolaborasi itu memberitahu, pasaran koleksi keluarannya adalah bagi golongan pertengahan dan ia bertepatan dengan pengunjung yang datang ke pasar raya yang cukup gah di negara ini.

Malah ujarnya, sebagai anak kacukan Malaysia-Indonesia (Mal-Indo), koleksi Nusantara premium itu menggabungkan banyak unsur budaya kedua-duanya terutama dari segi potongan baju.

“Fabrik yang digunakan merupakan jenis campuran poliester, sejuk dan sesuai dengan perubahan cuaca di negara ini.

“Dijual pada harga antara RM179 hingga RM199 (pakaian dewasa) dan RM139 (kanak-kanak), ia mampu milik, selesa dan boleh dicuci dengan tangan tanpa perlu dihantar ke cucian kering,” ujarnya.

Setiap Koleksi AEON x Jovian Nusantara menampilkan 12 jenis corak dan dijual sehingga 200 helai bagi setiap corak bagi mengekalkan ciri eksklusif koleksi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×