Badan kecil, semangat Nuraini besar

Badan kecil, semangat Nuraini besar

NURAINI Abdul Rashid bersama rakan-rakan sepasukannya di kelab Liga England, East Grinstead HC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


MEMILIKI ketinggian 152 senti­meter, Nuraini Abdul Rashid tidak pernah melihat tubuh yang kecil sebagai halangan untuk ‘terbang’ tinggi di Eropah ketika zaman kegemilangannya sebagai pemain hoki kebangsaan.

Kemahiran serta kehebatan dimiliki pemain yang berasal dari Pahang itu membolehkannya berdiri sama tinggi dengan bintang-bintang Eropah sepanjang beraksi dalam liga di Itali dan England.

Nuraini juga tidak pernah melihat tubuh kecil sebagai satu kelemahan, sebaliknya keupayaan yang ditunjukkan di atas padang membolehkan dia sering tersenarai dalam skuad utama pasukan.

“Di sana (Eropah), jurulatih akan membuat penilaian setiap minggu perlawanan, jadi saya perlu menampilkan perhatian penuh untuk terpilih membarisi skuad.

“Jurulatih bersifat terbuka untuk pemain memberi pendapat. Bagi saya, setiap latihan yang kami jalani semuanya memberikan hasil berkualiti kerana ada komunikasi dua hala antara jurulatih dan pemain dalam meningkatkan pencapaian pasukan,” katanya.

NURAINI Abdul Rashid bersama rakan-rakan sepasukannya di kelab Liga England, East Grinstead HC.

Pada Mei 2020, Nuraini yang terkenal sebagai pakar pukulan sudut penalti bersama rakan senegara, Fatin Ayuni Yahya melakar sejarah hoki apabila menjadi pemain Malaysia pertama beraksi dalam Liga Hoki Eropah (EHL) bersama kelab England, East Grinstead HC.

Sejak EHL diperkenalkan pada 2007, belum pernah ada pemain Malaysia menjejakkan kaki ke pentas elit itu.

Biarpun beberapa pemain negara seperti Chua Boon Huat, S. Selvaraju, Ismail Abu, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil dan Faizal Saari pernah bermain di Eropah sejak dekad lalu, namun mereka tidak pernah membawa pasukan masing-masing ke EHL.

Mula beraksi di Eropah bersama Butterfly Roma di Itali pada 2018, kelincahan Nuraini menggelecek bola dan dinobat sebagai penjaring terbanyak liga berjaya memancing pasukan dari England untuk mendapatkan khidmatnya.

SKIL yang dimiliki membolehkan Nuraini berdepan lawan yang bertubuh besar.

Pada 2019, kecemerlangan yang ditunjukkan dalam Siri Hoki Dunia di Ireland mendorong kelab Liga Premier England, East Grinstead HC menghubungi jurulatih kebangsaan ketika itu, Dharma Raj Abdullah untuk melamarnya beraksi bersama mereka.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman bermain di luar negara, kata wanita berusia 33 tahun itu, persediaan yang paling ditekankannya sebelum berhijrah ke sana adalah pakaian sejuk dan makanan.

“Pada tahun pertama, memang ada kesukaran terutama untuk mendapatkan makanan tetapi pada tahun berikutnya, selepas menjumpai tempat-tempat bekalan makanan dan halal, saya semakin mudah mengurus kehidupan di sana,” katanya.

BERGAMBAR bersama rakan sepasukan. – IHSAN FB NURAINI

Selain bergelar pemain hoki sepenuh masa, Nuraini yang gemar memasak dan membuat roti serta kek (bakeri) memberi bayangan untuk kekal bersama skuad sebagai jurulatih atau pengurus kedai barangan sukan terkemuka pada 10 tahun lagi.

“Kemahiran memasak saya hanya di peringkat pemula (beginner) tetapi saya puas apabila dapat melakukan aktiviti ini.

“Begitupun kalau ditanya mengenai masa depan 10 tahun lagi, saya masih mahu bersama pasukan hoki, namun bukan lagi sebagai pemain, mungkin jurulatih atau mungkin seorang pengurus di Decathlon,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×