Lebaran yang dinanti kian menghampiri. Pasti ramai yang teruja menantikan kedatangan lebaran kali ini kerana tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti dua tahun lalu.
Kemeriahan pasti terasa apabila dapat berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara. Sudah tentu, persiapan rapi perlu dibuat, bukan?
Selain daripada baju dan kuih raya, persiapan rumah juga penting untuk menerima kunjungan tetamu pada hari raya nanti.
Minggu ini, Seri cadangkan hiasan rumah ala Maghribi bagi mereka yang gemarkan tema dari negara Afrika Utara itu.
Tema atau hiasan rumah bertemakan Maghribi sangat sesuai bagi mereka yang menyukai konsep elegan dan penuh perincian.
Gaya tersebut juga sering dikaitkan dengan gaya oriental, mewah dan klasik bagi pemilihan kusyen, perkakas dapur dan yang paling utama, permaidani.
Ia berperanan penting menghidupkan suasana berkenaan. Pilih jenis warna-warna hangat, jalur atau bercorak.
Untuk mencipta gaya Maghribi, perincian perlulah diberikan dalam pemilihan warna-warna dan corak yang menonjol dan berani.
Biarpun penggunaan warna-warna terang dianggap agak keterlaluan bagi hiasan satu-satu ruang terutamanya pada sofa atau sarung kusyen, namun jika diseimbangkan dengan motif atau corak sederhana pada karpet, ia akan menghasilkan gaya eksklusif bagaikan berada di Maghribi.
Pilih bantal atau sarung kusyen yang berwarna terang dengan gabungan warna jalur biru, ungu dan merah jambu yang sememangnya wajib bagi mencipta gaya Magribi.
Selain itu, nilai estetika Maghribi juga boleh diterapkan dalam aksesori dekorasi seperti lampu geometrik, perkakas dapur seperti pinggan dan jag air.
Hiasan tema ini sememangnya sinonim dengan penggunaan material tembaga.
Boleh letakkan dulang atau jag air tembaga bersama cawan bercorak klasik di atas meja kopi sebagai hiasan tambahan.
Antara yang menawarkan konsep hiasan Maghribi adalah gedung beli-belah peralatan rumah, IKEA.
Daripada sarung kusyen, bekas hidangan , jag air serta karpet daripada siri HEMBJUDEN bermotifkan konsep maghribi yang sesuai untuk melengkapkan konsep maghribi di kediaman anda.










