Raihan: 26 tahun dan kekal relevan

Raihan: 26 tahun dan kekal relevan

raihan
Album istimewa sempena ramadan memuatkan enam lagu kumpulan Raihan yang dinyanyikan semula Alif Satar & The Locos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI dalam kalangan kita yang membesar dengan lagu-lagu yang didendangkan kumpulan nasyid tersohor ini.

Puji-Pujian, Sesungguhnya, Iman Adalah Mutiara, 25 Rasul, Syukur dan banyak lagi. Karya Raihan terus mengharum, seperti namanya yang membawa maksud haruman syurga.

Kehebatan Raihan diperakui. Sehingga hari ini, kumpulan ini masih kekal bertahan meskipun selepas 26 tahun berada di dalam industri hiburan tempatan.

Ketiga-tiga anggota Raihan, Che Amran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim baru-baru ini hadir ke majlis pelancaran album istimewa sempena Ramadan yang memuatkan enam lagu kumpulan ini, dinyanyikan semula bersama penyanyi dan pengacara terkenal, Alif Satar & The Locos.

Antara soalan yang dilayangkan kepada Raihan ketika sesi bersama media adalah tentang rahsia mereka bertahan dan kekal relevan sehingga kini.

Kata Che Amran, kewujudan Raihan sehingga ke hari ini adalah atas kehendak Yang Maha Esa.

Akuinya, mereka tidak pernah menyangka kehadiran Raihan dalam industri akan diterima baik dengan cukup baik, bukan sahaja peminat tanah air malah luar negara.

“Ini semua atas kehendak Allah SWT. Masa awal tubuhkan Raihan, kami tidak menyangka akan menjadi fenomena dan mampu bertahan sampai sekarang.

“Semua ini, bukan semata-mata hiburan. Ia lebih kepada dakwah menerusi platform hiburan.

Dan dakwah cara ini kena dan tepat dengan masyarakat,” katanya.

Kata Che Amran, perjuangan Raihan tidak akan berakhir kerana mereka percaya dakwah yang mereka sampaikan menerusi lagu akan terus hidup.

“Manusia akan mencari sesuatu untuk diri dan hati dia pada saat-saat yang dia perlukan. Jadi lagu-lagu Raihan menjadi salah satu penawar. Dan akan sentiasa ada.

“Kami percaya ini adalah satu bentuk amal jariah juga. Bukan buat semata-mata mencari populariti.

“Walaupun kami sudah tiada nanti, kami harap agar lagu-lagu Raihan terus hidup dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Lagu baharu? Tengok kesesuaian
Satu soalan yang mungkin bermain dalam benak fikiran peminat. Bila agaknya kumpulan Raihan akan keluar dengan lagu baharu?

Bukan sudah jemu dengan lagu-lagu mereka yang sedia ada. Tetapi, pastinya peminat juga menantikan ‘buah tangan’ baharu daripada kumpulan nasyid bertaraf legenda ini.

Che Amran, ketika menjawab soalan itu, memaklumkan bahawa Raihan sudah lama mengumpul material untuk menghasilkan lagu baru.

Namun, katanya dia dan anggota Raihan yang lain pada ketika ini mengutamakan dan memberi laluan terlebih dahulu kepada projek yang lebih berimpak tinggi.

“Kami sebenarnya sudah ada material. Tetapi, tengok pada kesesuaian. Kita tengok, mana peluang dan idea yang lebih memberi kesan dan impak yang lebih bagus.

“Idea untuk single baharu sudah ada sejak tahun 2019 lagi. Tetapi kami gerakkan kolaborasi bersama Alif dan The Locos terlebih dahulu. Kami rasakan, kerjasama ini adalah peluang yang bagus.

“Apa yang ada sekarang kita ‘layankan’ dahulu. Insya-Allah, mudah-mudahan kalau diizinkan Allah SWT, kita buat single baharu. Mungkin bukan pada bulan Ramadan, Insya-Allah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Abu Bakar bersyukur kerana lagu-lagu Raihan masih bernyawa sehingga ke hari ini dan menjadi kesinambungan dakwah yang berterusan.

“Kami yakin, ini semua dari Allah. Dia yang menjadikan lagu-lagu kami terus berkembang dan dakwah kami terus berjalan.

“Dari tahun 1996 sehinggalah 2022. Lagu-lagu ini terus bernyawa. Sebenarnya, semua ini Allah yang tentukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×