LONDON: Rangkaian fesyen terkenal, H&M mengumumkan akan menutup kira-kira 240 cawangan di seluruh dunia berikutan jualan yang merosot.
Memetik laporan Mirror, peruncit fesyen kedua terbesar dunia itu memaklumkan cawangan berkenaan akan ditutup pada tahun ini.
Bagaimanapun, H&M tidak memperincikan lokasi dan cawangan yang terlibat dengan penutupan tersebut.
Selain itu, H&M turut menyatakan akan membuka sebanyak 95 cawangan baharu.
“Penutupan itu terutamanya membabitkan cawangan di pasaran berdaya maju manakala pembukaan kedai baharu pula di pasaran yang berkembang pesat,” jelas peruncit dari Sweden itu.
Dilaporkan, H&M mempunyai lebih 5,000 cawangan di seluruh dunia termasuk lebih 40 cawangan di Malaysia.
Kira-kira 185 cawangan H&M di Rusia ditutup berikutan insiden pencerobohan Moscow ke atas Ukraine termasuk jualan dalam talian ke negara itu.
Dalam pada itu, H&M menyatakan Rusia merupakan pasaran keenam terbesarnya dengan mewakili empat peratus jualan.
“Jualan meningkat sebanyak enam peratus dalam mata wang tempatan Mac lalu berbanding 23 peratus pertumbuhan dicatatkan dalam tempoh tiga bulan hingga Februari.
“Namun, jumlah ini menurun 11 peratus daripada dua tahun sebelumnya, sebelum pandemik Covid-19 melanda,” jelas H&M.
Sebelum ini, H&M Group mengesahkan untuk menutup 250 cawangan di seluruh dunia pada musim panas lalu.
Jelasnya, ia merupakan sebahagian strategi pemulihan rangkaian tersebut akibat pandemik Covid-19.
Berdasarkan laporan kewangan yang dikemas kini, syarikat itu merekodkan jualan bersih berjumlah 392 juta pound (RM2.155 bilion), manakala keuntungan meningkat kepada 303 juta pound (RM1.67 bilion) pada suku kedua.
H&M setakat ini tidak memberi sebarang kenyataan mengenai laporan tersebut. – AGENSI










