Import kurma bernilai RM48.1 juta pada Februari 2022

Malaysia import kurma RM48.1 juta

SEORANG pelanggan memilih kurma dijual di sebuah premis perniagaan yang menawarkan pelbagai jenis buah itu sempena Ramadan. – GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengimport kurma bernilai RM48.1 juta pada Februari lalu, sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan semasa Ramadan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pulau Pinang mencatatkan import kurma tertinggi bernilai RM20.3 juta atau 42.2 peratus, diikuti Selangor (RM15 juta /31.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM6.9 juta/14.4 peratus).

Jelasnya, ketiga-tiga negeri terbabit kekal sebagai pengimport utama kurma sejak Februari 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Malaysia merekodkan jumlah dagangan bernilai RM184.8 bilion, peningkatan 17.5 peratus tahun ke tahun pada Februari lalu dengan eksport berjumlah RM102.3 bilion (meningkat 16.8 peratus) dan import berjumlah RM82.5 bilion (meningkat 18.4 peratus).

Kata beliau, import mengikut negeri juga merekodkan peningkatan sebanyak 18.4 peratus kepada RM12.8 bilion, berbanding bulan sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang (+RM3.1 bilion), Selangor (+RM2.7 bilion), Johor (+RM1.7 bilion), Kedah (+RM1.5 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM972.5 juta), Pahang (+RM806.6 juta), Terengganu (+RM578.3 juta), Negeri Sembilan (+RM449.2 juta), Sabah (+RM273.5 juta) dan Perlis (+RM18.2 juta).

Walau bagaimanapun, import menurun di Melaka (-RM563.5 juta), Perak (-RM452.4 juta), Kelantan (-RM57.0 juta) dan W.P. Labuan (-RM5.6 juta).

“Antara lima negeri pengimport utama, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (23.1%), Johor (20.2%), W.P. Kuala Lumpur (7.1%) dan Kedah (6.2%).

“Sementara itu, bagi eksport, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.6 peratus, diikuti oleh Selangor (19.3%), Johor (18.7%), Sarawak (8.2%) dan Kedah (4.8%),” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, eksport mengikut negeri pada bulan dilaporkan turut meningkat sebanyak 16.8 peratus kepada RM14.7 bilion berbandimg bulan sama tahun sebelumnya.

Kata beliau, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5.7 bilion), Sarawak (+RM3.0 bilion), Kedah (+RM2.2 bilion), W.P. Labuan (+RM1.6 bilion), Selangor (+RM1.5 bilion), Sabah (+RM1.2 bilion), Johor (+RM1.1 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM1.0 bilion), Pahang (+RM103.8 juta) dan Perlis (+RM23.9 juta).

Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Melaka (-RM1.2 bilion), Perak (-RM1.1 bilion), Terengganu (-RM320.2 juta), Kelantan (-RM199.5 juta) dan Negeri Sembilan (-RM31.7 juta), jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×