PETALING JAYA: Penghantaran komputer peribadi (PC) global turun 7.3 peratus tahun ke tahun (yoy) kepada 77.5 juta unit pada suku pertama 2022 (1S22).
Menurut firma perunding dan teknologi Gartner Inc, penurunan mendadak dalam jualan Chromebook dengan ketara menyumbang kepada penurunan pasaran keseluruhan.
Pengarah Penyelidikan Gartner, Mikako Kitagawa berkata, selepas lonjakan Chromebook yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 2020 dan awal 2021 yang didorong oleh permintaan daripada pasaran pendidikan AS, pertumbuhan Chromebook telah terjejas.
“Ia merupakan suku yang mencabar bagi pasaran PC dan Chromebook untuk mencapai pertumbuhan kerana pada tahun lalu pasaran PC mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh beberapa dekad,” katanya dalam kenyataan.
Firma perunding dan teknologi itu berkata, tidak termasuk Chromebook, pasaran PC di seluruh dunia berkembang dengan sederhana pada kadar 3.3 peratus tahun ke tahun.
Katanya, selain jualan Chromebook yang lemah, permintaan pengguna yang perlahan menyumbang kepada aliran menurun pasaran apabila perbelanjaan beralih daripada peranti.
Bagaimanapun, PC perniagaan merekodkan pertumbuhan pada 1Q22 disebabkan kerja hibrid dan kembali ke pejabat mewujudkan permintaan untuk peranti desktop.
Jelasnya, tiga vendor teratas dalam pasaran PC seluruh dunia kekal tidak berubah pada 1Q22, dengan Lenovo mengekalkan di tempat teratas dalam penghantaran dengan 23.6 peratus bahagian pasaran.
“Lenovo dan HP, kedua-duanya mengalami kesan ketara daripada penurunan jualan Chromebook pada suku pertama,” jelas firma berkenaan.
Tambah Gartner, jualan Lenovo terjejas disebabkan ualan Chromebook AS yang perlahan, namun penurunan itu disederhanakan oleh pertumbuhannya di Amerika Latin dan Asia-Pasifik.
HP pula katanya, mengutamakan Chromebook dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi mengurangkan tumpuan kepada Chromebook pada separuh kedua 2021, membawa kepada penurunan ketara dalam penghantaran keseluruhan pada suku pertama tahun ini.
Sementara itu, Dell mencapai pertumbuhan penghantaran tahun keenam berturut-turut pada suku dilaporkan walaupun terdapat kekangan bekalan yang berterusan. Pertumbuhan Dell dicapai sebahagiannya disebabkan kehadiran syarikat dalam segmen Chromebook dan PC pengguna yang semakin berkurangan.
Apple pula meneruskan momentumnya pada tahun ini, diterajui oleh populariti M1 Mac. Pada suku pertama, Apple memperkenalkan Mac Studio, model desktop premium berasaskan M1, memacu jualan dalam kalangan pengguna PC yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi.
Info:
Syarikat: Penghantaran 1Q22 (‘000): Penguasaan pasaran (%):
Lenovo 18,258 23.6
HP Inc 15,863 20.5
Dell 13,739 17.7
Apple 7,005 9.0
ASUS 5,594 7.2
ACER 5,531 7.1
Lain2 11,503 14.8
——
JUMLAH 77,494 100
Sumber: Gartner (April 2022) – UTUSAN










