KANABIS atau ganja merupakan sejenis tumbuhan herba yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga spesies utama iaitu sativa, indica dan ruderalis. Sativa merupakan spesies yang paling banyak dijumpai dan di tanam di serata dunia. Tumbuhan ini mengandungi sekurang-kurangnya 540 jenis alkaloid dan paling utama ialah delta-9-tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD).
THC bertindak memberikan kesan kepada otak dan minda (psikoaktif) penggunanya. CBD pula tidak, malah dikatakan mempunyai manfaat perubatan dan kesihatan. Kandungan CBD dikatakan mempunyai risiko penyalahgunaan yang rendah.
Istilah ‘ganja’ atau ‘marijuana’ merujuk kepada tumbuhan mempunyai kandungan THC yang tinggi manakala ‘hemp’ sebaliknya.
Umumnya, kanabis merupakan antara bahan psikoaktif yang banyak digunakan selepas tembakau dan alkohol. Di Malaysia, statistik penggunaan dadah pada 2018 hingga 2020 menunjukkan ganja hanya direkodkan di antara tiga hingga lima peratus berbanding tembakau. Seperti ganja, tembakau dipercayai menjadi bahan pendorong kepada dadah lebih berbahaya yang lain.
KETAGIHAN DAN RISIKO
Ketagihan dan kebergantungan terhadap kanabis boleh berlaku walaupun ada yang mendakwa ia tidak seberapa. Bagi penghisap ganja pula, ketagihan dan kebergantungan boleh berlaku dalam masa setahun penggunaannya. Lagipun, pengambilan ganja boleh meningkatkan risiko kemalangan jalan raya disebabkan gangguan kawalan pergerakan. Selain itu, boleh menyebabkan gangguan psikologi dan meningkatkan risiko untuk mendapat psikosis dan kemurungan.
Memandangkan ganja boleh mengganggu fungsi otak, ia berupaya membawa risiko kehilangan pekerjaan dan keciciran dalam pembelajaran terutama bagi golongan remaja. Kajian mendapati penggunaan ganja dalam kalangan remaja meningkatkan risiko kemurungan dan cubaan membunuh diri.
Pelbagai kajian lain yang dilakukan untuk menilai kesan jangka panjang penggunaan kanabis menunjukkan berlaku masalah sistem pernafasan seperti batuk kronik, peningkatan penghasilan kahak, radang paru-paru, sakit dada dan penurunan fungsi paru-paru. Jangkitan paru-paru juga ada dilaporkan. Seperti tembakau, penggunaan kanabis yang tinggi dan asap terhasil menerusi tabiat menghisap ganja boleh menjadi penyebab kanser.
KEBERKESANAN UNTUK PERUBATAN?
Baru-baru ini, masyarakat digemparkan dengan kes seorang artis tempatan yang didakwa menanam ganja untuk rawatan masalah gangguan mental dialaminya. Dalam hal ini, penggunaan ganja atau bahan psikoaktifnya sebagai ‘ubat’ telah dipersoalkan dari segi tahap keberkesanan dan keselamatannya. Bukti kukuh berdasarkan kajian masih tidak mencukupi untuk menunjukkan ia mempunyai kesan antipsikotik untuk rawatan pesakit skizofrenia.
Sebaliknya, bukti kajian mengesahkan penggunaan ganja boleh meningkatkan risiko gangguan psikotik. Pengambilan ganja boleh menyebabkan kesan mudarat kepada jantung terutama golongan berusia dan mempunyai sejarah penyakit jantung. Pengguna ganja juga mengalami peningkatan risiko sebanyak 4.8 peratus untuk mendapat serangan jantung dalam tempoh satu jam pertama selepas menghisap.
Tambahan, tiada bukti bahawa bahan cannabinoid terkandung di dalamnya berkesan bagi rawatan gangguan tingkah laku atau gejala demensia lain. Namun, bagi pesakit otot-saraf multiple sclerosis (MS), penggunaan ganja dilaporkan membantu mengurangkan masalah kekejangan dan kesakitan berkaitan dengannya. Ubat-ubatan berasaskan ganja didapati berguna untuk merawat loya dan muntah yang disebabkan oleh kemoterapi atau rawatan kanser.
Walaupun ada beberapa kajian mendakwa THC dan CBD boleh menurunkan risiko kanser tetapi buktinya masih belum kukuh. Begitu juga kajian keberkesanan ganja bagi mengurangkan kesakitan berkaitan penyakit kanser.
Setakat ini, sebanyak 44 negara membenarkan penggunaan bagi tujuan perubatan termasuk Thailand, satu-satunya negara di Asia Tenggara yang membenarkan minyak kanabis digunakan. Pengguna dibenarkan memiliki minyak kanabis mengandungi THC dalam jumlah tidak melebihi 0.2 peratus bagi tujuan perubatan dan hendaklah memiliki preskripsi atau sijil yang diiktiraf.
Lesen penghasilan dan penjualan produk kanabis masih dikawal ketat oleh kerajaan. Baru-baru ini, kerajaan Thailand secara rasmi mengeluarkan kanabis dan hemp daripada Kategori 5 senarai narkotik yang dikawal. Berikutan itu, semua bahagian pokok kanabis termasuk bunga dan biji benih dibenarkan untuk pengguna di Thailand.
PERUNDANGAN
Di Malaysia, undang-undang ketat masih dikenakan terhadap semua kesalahan berkaitan kanabis termasuk hukuman mati mandatori sekiranya seseorang memilikinya lebih 200 gram seperti tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Penggunaan kanabis bagi tujuan rekreasi dan perubatan masih belum dibenarkan di Malaysia sungguhpun usaha ke arah itu telah mula dibincangkan oleh Kabinet sejak 2018 lagi.
Dalam hal ini, penilaian risiko dan perancangan tambahan dalam penguatkuasaan undang-undang diperlukan untuk memastikan penyalahgunaan tidak meningkat apabila penggunaan ganja untuk tujuan perubatan diluluskan. Pun begitu, anehnya, jika dibandingkan dengan rokok dan produk tembakau lain, tembakau terbukti tiada apa-apa manfaat kesihatan yang ditunjukkan.
Apa yang amat jelas, ia meningkatkan beban ekonomi akibat pelbagai penyakit dan kematian. Ringkasnya, secara umum kesan dan penggunaan rokok dan produk tembakau lain yang bebas serta meluas tidak kurang membimbangkan. Apatah lagi telah difatwakan haram di Malaysia sejak Mac 1995 dan dikawal mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983.
Sebagai kesimpulan, dalam menegaskan kesan kanabis dan ganja yang boleh membawa pelbagai kemudaratan, kesan sama berkaitan rokok dan tembakau tidak boleh diketepikan sahaja. Apalagi edaran serta penjualannya secara komersial yang cukup meluas.
Yang jelas, ratusan ribu penggunaan bahan tembakau terutama rokok, mati setiap tahun tetapi kawalannya tidak seketat yang dikenakan kepada penggunaan dan penanam ganja di negara ini. Masanya sudah sampai untuk hal ini dikaji secara lebih mendalam dan saintifik supaya tidak mengelirukan, sekali gus kesihatan rakyat terpelihara dengan lebih rapi serta menyeluruh. – UTUSAN
DR. Nor Ilyani Mohamed Nazar ialah Ahli Kumpulan Penyelidikan Masalah Penyalahgunaan Bahan (SUD) yang terdiri daripada lapan pensyarah dari Kulliyyah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











