PETALING JAYA: Selepas terbeban dengan peningkatan harga barang keperluan, pengguna kini terpaksa pula berdepan kenaikan harga tiket bas ekspres menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang naik antara 10 hingga 20 peratus.
Kenaikan tersebut berkuatkuasa sepanjang tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang bermula 29 April hingga 8 Mei ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, kerajaan sudah menetapkan kadar tambang bagi bas ekspres RM0.10 setiap kilometer ke atas tambang sedia ada sepanjang tempoh itu.
Katanya, kenaikan harga dalam lingkungan 10 peratus itu untuk menampung kos pekerja dan perjalanan ketika Hari Raya Aidilfitri serta digunakan untuk insurans bas baharu.
“Sebanyak 4,700 bas ekspres akan beroperasi sepanjang tempoh tersebut membawa 141,000 penumpang ke destinasi seluruh negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Peningkatan tersebut menyaksikan harga tiket bas misalnya dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan berharga RM46.20 naik RM4 kepada RM50.20 manakala ke Larkin, Johor berlaku peningkatan RM30 kepada RM35 iaitu antara RM5 ke RM8.
Semakan di laman sesawang redbus.my, aplikasi tempahan tiket bas secara dalam talian juga menunjukkan perjalanan sehala dari TBS ke Ipoh naik RM4 daripada RM20 sebelum ini.
Perjalanan dari TBS ke Terminal Bas Larkin, Johor pula dalam tempoh sama, turut berlaku peningkatan RM30 kepada RM35 iaitu antara RM5 ke RM8.
Sementara itu, Mohamad Ashfar berkata, pihaknya tiada perancangan untuk menambah kuantiti bas menjelang Aidilfitiri ini.
“Disebabkan terdapat jangkaan bahawa permintaan tiket bas meningkat dan dikhuatiri menambah potensi risiko jangkitan Covid-19, saya ingin berpesan kepada penumpang supaya hadir 30 minit awal bagi memastikan pematuhan SOP.
“Untuk kita tambah kuantiti bas, penumpang perlu melakukan tempahan bas dua minggu lebih awal dari hari perayaan supaya kami dapat menyediakan lebih banyak bas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Pengangkutan Awam Darat, Kamarudin Hussain menyambut baik peningkatan tersebut berharap masyarakat turut menerima kenyataan tersebut.
“Kalau kerajaan sudah menaikkan kadar tambang, saya rasa itu adalah satu pendekatan baik dari mereka sebab kita tengok hari ini alat ganti dan pelbagai barangan lain untuk melancarkan perjalanan meningkat dengan drastik.
“Jadi kenaikan tersebut secara tidak langsung boleh menampung kos operasi syarikat-syarikat bas ekspres.” – UTUSAN











