Iqwan kecewa kena tipu, bangkit dengan semangat baharu - Utusan Malaysia

Iqwan kecewa kena tipu, bangkit dengan semangat baharu

Iqwan Alif tampil dengan single baharu berjudul Wow yang juga menjadi runut bunyi (OST) untuk drama bersiri Cinta Amnesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA penyanyi Iqwan Alif pernah menjadi perhatian khalayak. Begitu pun, tidak lama selepas single pertama Cemburu Buta pada 2016 keluar, namanya tenggelam dalam kehadiran pendatang baharu lain.

Kini penyanyi yang berusia 26 itu tampil dengan single baharu berjudul Wow yang juga menjadi runut bunyi (OST) untuk drama bersiri Cinta Amnesia yang ditayangkan di saluran TV3 pada pertengahan Mac lalu.

“Seperti baru semalam sahaja merakam lagu ini. Selepas mendengar demo lagu ini saya terus ambil peluang. Perasaannya, macam jatuh cinta dan ada aura yang baik, bahkan segar serta berentak rancak dan catchy.

“Tambah pula, dapat tahu individu yang hasilkan lagu Wow ini berbakat besar. Iqwan memang sudah lama menantikan untuk bekerjasama dengan individu kreatif seperti mereka.

“Jadi bila dapat tawaran untuk merakamkan lagu Wow ini, saya rasa rugi kalau lepaskan sebab karya sebegini sangat dekat dengan jiwa muda dan lagu ini juga berbentuk nasihat tetapi dalam bentuk muzik yang moden,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kongsi penyanyi yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan AH Entertainment itu, antara individu bertanggungjawab yang menjayakan lagu Wow seperti, Iqie Hugh (WP Entertaiment), Firdaus Rahmat (WP Entertaiment) dan John Jeeves (Faithful Music).

Menyelami perasaan anak jati kelahiran Ipoh, Perak itu mengenai single terbaharu selepas lima tahun, dia bersujud syukur dengan rezeki dan peluang yang hadir menyapa hidupnya.

“Tidak dinafikan saya rasa sangat gembira, teruja dan bersyukur kerana masih ada peluang untuk menyanyi.

“Saya akui memang agak lambat untuk tampil dengan single baharu. Tetapi saya anggap rezeki tak pernah salah alamat.

“Jadi selagi ada peluang depan mata, saya ambil selagi minat dan suka, mengapa tidak?,” luahnya.

Dalam masa sama lagu Wow turut memberi semangat baru untuk Iqwan.

“Bagi saya ini akan menjadi langkah baharu untuk keluar dengan muzik yang segar dan moden begini,” katanya.

Pernah hilang arah tuju
Mengimbas ruang lima tahun lalu apa yang sebenarnya terjadi kepada dirinya?. Iqwan terbuka berkongsi pahit manis dalam usahanya untuk mencari tapak dalam industri seni hiburan tempatan.

“Saya pernah hilang arah tuju dan hampir putus asa untuk menyanyi. Ketika itu saya freelance secara sendiri, jumpa klien dan urus sendiri.

“Pahitnya bila ditipu selepas buat persembahan, penganjur senyap dan sesen pun tidak dapat sampai ke sudah.

“Hal itu yang sangat saya kesalkan. Mungkin pada masa itu saya pun masih mentah dalam membawa diri, jadi orang pun senang nak pijak kepala. Sejujurnya saya sangat kecewa dan mula tukar bidang demi mencari rezeki untuk tampung hidup,” katanya.

Tambah Iqwan, selepas kejadian malang itu dia bekerja seperti orang lain dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. Namun pada Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 dia diberhentikan kerja disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

Dalam kekecewaan, selain tampil dengan single terbaharu, Iqwan bangkit dengan semangat, nafas dan langkah baharu dengan berniaga produk penggayaan rambut untuk lelaki jenama sendiri iaitu, pomade @tdkwiabyIA, hasil duit pampasan kerja.

“Semasa PKP saya banyak berfikir untuk menggunakan wang pampasan akibat diberhentikan kerja itu untuk comeback dan buat lagu.

“Jadi saya percaya selepas PKP lalu, kini adalah nafas, langkah yang baru untuk mengejar apa yang tertangguh.

“Tapi saya memutuskan untuk menggunakan wang simpanan itu untuk mula berniaga produk jenama sendiri dan dalam masa sama menyambung pengajian di peringkat Ijazah dalam jurusan Pengurusan Seni di Aswara,” ujarnya.

Tambah penyanyi yang peramah dan pemurah dengan senyuman itu, keputusannya menyambung pengajian dalam bidang seni tersebut kerana mahu menimba ilmu supaya dapat melestari hidup sebagai anak seni.

“Saya juga berhajat untuk membuka sebuah syarikat seni sendiri sebab ada beberapa buah lagu yang telah ditulis dan dicipta.

“Mungkin saya boleh keluarkan untuk diri sendiri satu per satu dan memberi peluang untuk bakat baharu lain membawa karya saya.

“Jadi untuk tahun ini adalah langkah baharu untuk terus mengejar cita-cita,” ujarnya yang kini berada di tahun akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×