MUKADIMAH
KETIKA ditemu bual pada Khamis lalu, Setiausaha Agung PKR, DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL berkali-kali mengingatkan kami pertembungan beliau melawan Naib Presiden, Mohd. Rafizi Ramli bagi merebut jawatan timbalan presiden harus dilihat dari segi idea melawan idea dan bukan bersifat serangan peribadi.
Beliau yang banyak melakukan kerja-kerja orang nombor dua parti itu sejak penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat PKR dua tahun lalu turut menyangkal dakwaan penganalisis politik akan berlaku perpecahan kerana kedua-duanya bersahabat baik sehingga wujud ungkapan satu ketika dahulu “di mana ada Saifuddin, di situ ada Mohd. Rafizi.”
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu ini itu juga sempat berseloroh kepada wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan NIZAM YATIM serta jurugambar SHIDDIEQIIN ZON di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, jika rakyat Malaysia dibenarkan mengundi beliau sebenarnya sudah kalah dan hilang deposit berikutan ‘populariti menggunung’ Mohd. Rafizi dengan sokongan pimpinan muda lain parti itu.
UTUSAN: Terdapat cakap-cakap Datuk Seri ialah ‘orang pilihan’ pucuk pimpinan untuk jawatan timbalan presiden berdasarkan pengalaman dan kesetiaan terhadap PKR?
SAIFUDDIN: Pemilihan parti ini sebenarnya yang mengundi dan memilih nanti adalah anggota parti, jadi fokus saya adalah kepada mereka. Orang awam itu datang nombor dua, kemudian. Sebagai orang yang menawarkan diri, pertama sudah tentulah saya kena tunjukkan credential (bukti kelayakan) dan sumbangan saya kepada parti.
Saya menjadi setiausaha agung sejak 2010 mengganti Datuk Salehuddin Hashim. Sampai sekarang maknanya sudah hampir 12 tahun. Parti ini umurnya 23 tahun, saya menjadi setiausaha agung selama separuh daripada umur parti Keadilan (PKR). Jadi bukti kelayakan harus dilihat dari segi saya menyumbang kepada membina organisasi parti sehingga hari ini (cabang berdaftar) telah lengkap bertapak di 222 kawasan Parlimen.
Kedua, penyertaan saya seawal penubuhan parti sampai sekarang. Saya membawa bersama pengalaman yang tak boleh dapat di mana-mana dewan kuliah. Misalnya, bagaimana menguruskan pendekatan politik gabungan. Seawal 1999 lagi, membina pengalaman bersama Barisan Alternatif yang bertahan sampai 2004. Kemudian kita wujudkan pula Pakatan Rakyat dan diikuti dengan Pakatan Harapan (PH).
Ketiga, dari segi ketaatan kepada parti pada masa kalah, 1999 kalah teruk, 2004 langsung menjunam. Jadi dengan umur sekarang 58 tahun, saya fikir jawatan yang saya anggap boleh memberikan impak kepada parti adalah pada posisi nombor dua.
Pendirian saya juga tidak berubah iaitu saya menghormati apa juga keputusan anggota parti, kalau mereka memilih, saya tunaikan amanah sedaya mungkin, jika tidak terpilih saya tidak akan pernah berundur daripada parti apalagi mengisi borang cuti, saya tidak akan buat begitu.
Saya pernah kalah pada pemilihan 2014 dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin bagi jawatan timbalan presiden. Saya dapat nombor tiga dan saya kekal dalam parti.
Apakah pengalaman berharga dalam mengurus pendekatan politik gabungan?
Ini memberikan saya pengalaman bagaimana menguruskan prinsip dan dasar-dasar parti sehingga ia boleh menjadi suatu konsensus ataupun dipersetujui dengan parti-parti lain. Sebab dia berkaitan dengan membina manifesto, pembahagian kerusi, menyusun strategi pilihan raya, memuktamadkan kepimpinan, siapa pengerusi dan siapa nak dinamakan sebagai Perdana Menteri.
Menguruskan politik gabungan bukan mudah. Itu semua memerlukan satu seni berpolitik yang unik sebab kadang-kadang kita terpaksa mengorbankan kepentingan kita untuk menjaga kepentingan bersama. Tetapi cita-cita perjuangan Keadilan, keadilan untuk semua dan agenda reform (pembaharuan) mesti kekal, pendekatan boleh berubah, prinsip dan dasar tidak.
Ini merupakan satu pengalaman yang saya anggap boleh membantu parti, terutama sekarang ini politik negara berada dalam keadaan di mana tidak ada satu parti yang boleh menjanjikan dominasi tunggal untuk menang dan memerintah negara.
SAHABAT BAIK
Bagaimanakah hubungan Datuk Seri dengan Mohd. Rafizi?
Ya masih berinteraksi. Akhir sekali bulan 12 tahun lepas. Saya pergi ke pejabat dia makan tengah hari dengan dia jamu saya nasi padang. Kena ingat dalam saingan dengan Mohamed Azmin dulu, saya satu bakul dalam Rafizi punya ini (pasukan). Jadi seluruh rangkaian dia itu adalah kawan-kawan dan sahabat-sahabat saya.
Masa saya pegang timbalan ketua pemuda pada awal 2000, sewaktu Ezam ( Datuk Ezam Mohd. Noor) dalam penjara, Mohd. Rafizi masa itu Exco pemuda saya. Kerjasama kami bermula pada tahun berkenaan.
Kami juga rapat sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen Machang dan banyak input perbahasan saya dalam Parlimen itu beliau bantu sediakan. Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor (2009 – 2012) hubungan kerja kami menjadi semakin dekat, sangat erat dan baik terutama dalam perkara tentang polisi parti.
AYUH MALAYSIA
Adakah kempen Ayuh Malaysia yang dilancar Mohd. Rafizi bagi menarik pengundi atas pagar mengundi PKR/PH pada 26 Mac lalu yang dibuat tanpa melalui saluran rasmi parti melanggar prinsip kerja berpasukan?
Sebab itu tadi saya sebut, bahawa yang paling penting dalam konteks kita sekarang ini adalah kerjasama berpasukan. Parti ini sebagai sebuah organisasi mempunyai platform-platform membuat keputusan. Yang paling tinggi adalah kongres tahunan, nombor dua mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat tiap-tiap bulan dan diikuti dengan mesyuarat biro politik.
Dalam pada itu, kami juga banyak menjalankan retreat (permukiman) yang kita sebut temu rapat. Jadi di sinilah forum di mana idea dan formula dibincang, dibahas, dicanai, diulas dan segala macam. Akhirnya diterima bersama sebagai keputusan kolektif untuk dilaksanakan oleh parti.
Kalau polisi kita itu hanya diterima kita, tetapi regu kita dalam PH memerlukan kita memberi penjelasan, kita buat pula temu rapat PH. Ini cara Keadilan bergerak selama 23 tahun ini.
Jadi sebagai seorang yang mempunyai banyak idea, sudah tentu idea Mohd. Rafizi itu ada tempatnya sebab sebagai parti politik bersifat terbuka yang dipimpin oleh manusia bernama Anwar, kamu datanglah dengan idea apa, kamu bentang dan bahaslah seluas-luasnya menggunakan setiap platform parti.
HERO
Banyak juga formula Mohd. Rafizi yang gagal seperti Langkah Kajang pada 2014?
Menang pilihan raya bukan kerja seorang, bukan kerja seorang hero atau seorang superman, tak ada. Menang pilihan raya mesti merupakan usaha bersama, dia bukan soal strategi atau formula Saifuddin, dia formula parti Keadilan dan PH.
Jadi saya berpegang kepada pendekatan kerjasama berpasukan, setiap anggota parti kami yang berjumlah 1.2 juta di luar sana, sudah pasti tampil dengan pelbagai kebolehan dan kepakaran. Inilah yang menjadikan parti Keadilan unik.
Ada orang tanya saya, kenapa tidak respons kepada Ayuh Malaysia, saya kata dalam temu rapat kami ini dokumen-dokumen yang tunggu masa untuk dilaksanakan itu sudah sangat kompleks. Masalah dan penyelesaian sangat komprehensif. Itu sudah tersedia. Tunggu nak buat sahaja. Jadi itu bukan idea saya, tetapi idea kolektif kepimpinan parti melalui siri-siri temu rapat diadakan.

REALISTIK
Apakah perbezaan idea antara Datuk Seri dan Mohd. Rafizi?
Saya tengok kenyataan Mohd. Rafizi yang menyebut Keadilan dan PH mesti realistik pada pilihan raya akan datang, jangan ada sindrom penafian dan pada pilihan raya akan datang ini tak usah mimpi jadi kerajaan.
Sudah tentu saya berbeza pendapat kerana pada saya realistik boleh tetapi harus juga dilihat bahawa kesan kenyataan kita itu terhadap psikologi anggota parti ketika beberapa bulan sahaja lagi kita hendak berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Kenyataan sedemikian boleh menjadikan anggota parti kita berasa cepat kalah kerana kalau sudah pemimpin kita kata macam itu, buat apa kita nak kerja kuat.
MATI AKAL
Boleh komen kenyataan Mohd. Rafizi pada 15 Mac lalu yang menyebut “… seolah-olah keseluruhan pimpinan PH sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat”?
Saya tidak akan memperlekehkan parti lain, apa lagi parti sahabat walaupun kita kalah dan kalah termasuk yang terakhir di Johor.
Dikatakan kita beku dan tak ada idea baharu. Kalau kita raikan kerjasama berpasukan, saya tidak akan menyerang parti sahabat begitu sekali secara khalayak (ramai). Kenyataan itu membina rasional, kenapa aku patut masuk balik dan terjun ke gelanggang (politik), untuk menyelamatkan.
Dakwaan Anwar tidak relevan sudah lama
Boleh komen kenyataan Mohd. Rafizi baru-baru ini bahawa kajian pihaknya mendapati rakyat menolak bulat-bulat lima calon Perdana Menteri termasuk Anwar?
Ini pun bagi kesan kepada anggota parti. Pertama, di satu sisi disebut ini semua rakyat sudah tolak. Di sisi lain, dikeluar kenyataan juga oleh orang yang sama bahawa Anwar masih lagi calon Perdana Menteri terbaik. Jadi yang mana satu.
Kedua, kita ini bukan pemilihan langsung (yang memerlu pandangan rakyat) bagi memilih Perdana Menteri macam Indonesia yang ada pemilihan umum (Pemilu) Presiden dan dia juga ada Pemilu yang memilih parti.
Kalau you hanya untuk berdepan dengan pemilihan parti dan bukan mod kempen PRU kata Presiden parti tak ada (dalam senarai), rakyat sudah tolak jadi Perdana Menteri. Mesej apa kita nak sampaikan? Jadi saya fikir itu antara paradoks (sesuatu yang bertentangan) yang sedang berlaku.
Sebab itu saya suka menyeru supaya penilaian dibuat dalam pemilihan parti ini, tengok dari segi rekod khidmat, idea dan sumbangan serta terima hakikat bahawa parti ini bersifat terbuka dan menerima semua bakat.
KALAH TERUK
Ada cakap-cakap Anwar wajar bersara dan sudah tidak relevan kerana karisma semakin pudar dan pemikiran sudah tidak setajam dahulu?
Dalam tempoh 23 tahun, kami kalah teruk ini adalah PRU 1999 hanya menang lima kerusi Parlimen. PRU 2004 tinggal satu kerusi di Parlimen Permatang Pauh. Ayat Anwar tidak relevan bukan sekarang, masa itu lagi. Kalau tidak relevan Anwar itu diukur dari segi sokongan rakyat kepada partinya, ayat itu sudah berkumandang tahun 1999 lagi, tahun 2004 juga begitu.
Waktu itu Anwar tak ada dah, tak relevan dah, parti Keadilan ini tutup kedailah, sebab dia ditubuhkan hanya untuk bebaskan Anwar.
Tetapi pada PRU 2008, Keadilan menang 32 kerusi Parlimen, jadi kerajaan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Waktu itu senyap sekejap orang kata tak relevan. Parti Keadilan jadi pembangkang dan Anwar jadi Ketua Pembangkang. Ayat itu berulang sekarang setelah kalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor. Jadi biasalah itu.
Ayat Anwar tidak relevan terhenti setakat itu dan tidak pernah dihabisi dengan sepatutnya si A mengambil (alih), tak ada. Orang Kedah kata kami sudah mangli (lali) dengan ayat-ayat macam itu.-UTUSAN










