Positif, negatif buka pintu sempadan

Positif, negatif buka pintu sempadan

SELEPAS 744 hari, pintu sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka semula pada 1 April lalu. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUKAAN semula sempadan darat Malaysia-Singapura di Johor sejak 1 April lalu melegakan banyak pihak. Baik seorang ibu yang menanti kepulangan anak, isteri yang tidak sabar memeluk suami akibat terpisah lama atau sesiapa sahaja yang melalui kisah suka duka sepanjang dua tahun.

Kini, selepas 744 hari sejak 18 Mac 2020, khabar gembira itu ibarat hadiah bulan puasa kepada sebahagian besar daripada ratusan ribu pengembara apabila berpeluang menyambut awal Ramadan bersama keluarga masing-masing.

Jika sebelum ini hanya panggilan video menjadi pengubat rindu namun ketika ini, hujung minggu menjadi detik ditunggu-tunggu mereka untuk membawa keluarga beriadah, makan di luar atau berkunjung ke bazar Ramadan.

Semua itu antara ‘senarai semak’ dilakukan mereka yang terpaksa bermastautin sementara di Kota Singa itu sebelum ini setelah tidak dapat berulang-alik secara harian dari Johor Bahru ke Singapura sama ada melalui Tambak Johor atau Linkedua.

Elemen kekeluargaan menjadi penanda positif kepada rakyat negara ini apabila dapat bersatu semula apatah lagi kurang 30 hari lagi untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Malah, faktor ekonomi rakyat negeri ini terutama para peniaga juga secara tidak langsung meningkat kembali apabila ramai rakyat Singapura mula menyeberangi sempadan untuk berbelanja di Johor.

Pakaian untuk berhari raya, kuih-muih, kerepek dan makanan tradisional rakyat Johor antara yang menjadi pilihan kerana mereka juga memiliki ramai ahli keluarga serta sanak saudara di sini. Banyak juga tempat pelancongan menarik mahu dilawati rakyat republik itu selepas dua tahun tidak bercuti di negara ini pada hujung minggu sekali gus mengurangkan pelanggan kepada pengusaha atau peniaga kecil.

PANDU MELULU, RON95

Tidak dinafikan berita gembira itu antara langkah atau impak positif diterima susulan pemimpin kedua-dua negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong bersetuju untuk melonggarkan sekatan kepada penerima vaksin lengkap.

Namun, di sebalik positif, terdapat juga sedikit unsur negatif ekoran pembukaan semula sempadan darat itu yang sememangnya ‘masalah’ biasa sejak sebelum pandemik Covid-19 melanda. Isu kenderaan plat Singapura mengisi petrol RON95 bukan perkara baharu. Sering kali masalah itu dilaporkan akhbar serta dikongsikan warganet yang terserempak mereka yang menuang minyak dari nozel berwarna kuning.

Kini, ia kembali diperkatakan apabila beberapa keping gambar tular di media sosial yang menunjukkan aksi-aksi pemandu republik itu yang selamba membeli petrol RON95 di stesen-stesen minyak berhampiran sempadan. Tiada apa yang boleh dilakukan terhadap mereka kecuali tindakan tegas kepada pengusaha stesen minyak mengikut peraturan ditetapkan kerajaan kerana petrol RON95 adalah barangan kawalan yang diberikan subsidi.

Seperkara lagi yang menjadi igauan rakyat negara ini adalah sikap sesetengah pemandu negara tersebut yang gemar ‘melepaskan gian’ di lebuh raya atau jalan utama di negara ini. Mereka seakan-akan tidak menghormati undang-undang trafik yang ada termasuk baru-baru ini kejadian sebuah kereta dipandu melulu di persimpangan lampu isyarat Felda Gugusan Adela, Kota Tinggi.

Video tular berdurasi 41 saat yang memaparkan sebuah kereta berpendaftaran Singapura berwarna emas dipandu dalam keadaan berbahaya dengan cara memotong kenderaan lain secara melulu dari sebelah kiri.

Maka, sewajarnya kini penguatkuasaan terhadap dua perkara itu perlu dipertingkatkan agar impak positif pembukaan semula sempadan tidak diatasi dengan insiden atau kejadian negatif yang boleh menggugat kesejahteraan bersama.

Bak kata seorang pemimpin tertinggi Johor sebelum ini, hanya Johor mengenali dan memahami Singapura. Kita mampu mengubahnya. – UTUSAN

Penulis ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×