TERDAPAT beberapa pihak baik kerajaan mahupun pembangkang, kini mula mempertikaikan kebolehlangsungan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021. Perkembangan baharu ini timbul kerana kerajaan dikatakan akan gagal menunaikan janji yang dibuat olehnya untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Anti Lompat Parti dalam sidang khas Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 April ini.
Ada juga dakwaan lain yang menyatakan kemungkinan wujudnya pembelot dalam kerajaan cuba mensabotaj RUU ini sehingga mengakibatkan mesyuarat Kabinet pada 6 April lalu bersetuju menangguhkan pembentangan.
Berpeluang mengikuti dari dekat proses penggubalan RUU dan sesi libat urus yang dilangsungkan selama ini, saya cukup kagum dengan komitmen diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pasukan beliau.
Setelah kaji selidik awam dan penyediaan kertas kajian awal dasar dilakukan, sesi libat urus bermula dengan pengedaran draf awal RUU kepada parti-parti komponen pada 24 Disember 2021 serta pembentangan draf RUU dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada 25 Januari lalu.
Seterusnya, pelbagai sesi libat urus telah Wan Junaidi bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) lakukan bersama ahli-ahli Parlimen serta Majlis Tertinggi (MT) parti-parti komponen pada 8 dan 9 Februari serta 2, 7 dan 8 Mac lalu.
Paling mutakhir, sesi libat urus bersama MT Barisan Nasional (BN) pada 30 Mac dan MT Perikatan Nasional (PN) pada 5 April lalu.
Berbeza dengan sangkaan bahawa pemimpin BN, khususnya UMNO akan membangkang RUU ini kerana sekarang adalah musim lompatan ke arah UMNO, mereka yang diketuai oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan sokongan penuh kepadanya.
Pemimpin PN pula walaupun bersetuju secara prinsipnya dengan RUU ini, bagaimanapun mahu ia dibincangkan dengan lebih halus dan terperinci lagi termasuk cadangan peruntukan bahawa ahli Parlimen akan terlucut jawatan jika dipecat dari sesebuah parti politik.
RUU ini dalam bentuknya yang asal dikatakan akan memberi kuasa penuh kepada sesebuah parti politik termasuk untuk memecat seorang Perdana Menteri dari parti yang sekali gus menyebabkan beliau akan terlucut jawatan sebagai ahli Parlimen.
Ada juga maklum balas yang mahukan supaya undang-undang antilompat parti dibuat dalam bentuk akta dan bukannya bentuk pindaan perlembagaan yang sifatnya terlalu umum dan akan menjadi sukar untuk dipinda pada kemudian hari disebabkan memerlukan dua pertiga majoriti.
Dihujahkan juga bahawa jika undang-undang antilompat parti ini dibuat dalam bentuk akta, maka lebih banyak perincian boleh dibuat dari segi takrifan, pengecualian dan ilustrasi kes-kes tertentu yang boleh dan tidak boleh dimasukkan ke dalam kategori lompat parti.
KELUARGA MALAYSIA
Disebabkan hujah-hujah yang diberikan dalam sesi-sesi libat urus inilah, maka mesyuarat Kabinet pada 6 April lalu bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan dahulu untuk membenarkan hak membentuk persatuan dihadkan oleh undang-undang Persekutuan pada 11 dan 12 April ini.
Mengikut RUU yang dinamakan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang bakal dibentangkan ini, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda dengan memasukkan fasal baharu (3A) ke dalam Perkara 10 yang berkait dengan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Kemasukan fasal baharu (3A) ini bertujuan membolehkan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berhubungan dengan keahlian dalam parti ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh juga dikenakan oleh undang-undang Persekutuan.
Sesungguhnya penat lelah Wan Junaidi bersama-sama BHEUU dan AGC selama ini tidaklah sia-sia malah ia membuktikan betapa kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri amat terbuka kepada pandangan berbeza dari dalam kerajaan sendiri.
Jika RUU ini dalam bentuknya yang asal tetap dibentangkan dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April ini, seperti telahan pengamal politik tertentu, mungkin masih boleh memperoleh sokongan dua pertiga majoriti walaupun dibangkang oleh sesetengah ahli Parlimen dari blok kerajaan.
Begitupun, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mengandungi prinsip-prinsip keterangkuman dan kebersamaan serta selaras dengan pendekatan akomodatif Ismail Sabri sendiri, maka pilihan untuk mencapai konsensus adalah terpuji demi pengekalan kestabilan politik.
Apatah lagi bila dalam kenyataan bersama Wan Junaidi dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu MoU, terkandung persetujuan kedua-dua pihak untuk memberi sokongan kepadanya, menjadikan pertikaian ke atas MoU tidak lagi relevan.
Adalah diyakini RUU yang akan memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan ke atas ahli Dewan Rakyat dan ADUN untuk bertukar parti ini akan diluluskan diikuti kelulusan akta baharu dalam satu lagi sidang khas Parlimen.
Tidak syak lagi, kesemua langkah yang diambil ini adalah dalam semangat untuk merealisasikan titah nasihat raja-raja Melayu sewaktu ia mula ditubuhkan, khususnya mengenai pendekatan baharu kerjasama dwipartisan untuk kestabilan politik negara. – UTUSAN
DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).










