Rapid Bus uji penggunaan bas elektrik

Rapid Bus uji penggunaan bas elektrik

Pengguna berpeluang menggunakan perkhidmatan bas elektrik oleh Rapid KL dan memberi maklum balas untuk meningkatkan perkhidmatannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL, sedang melakukan percubaan penggunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan basnya di beberapa laluan bas terpilih.

Menurut Rapid Bus, percubaan itu melibatkan empat bas elektrik, dan akan berlangsung selama tiga bulan sehingga 13 Jun 2022.

Dua laluan percubaan yang terlibat adalah Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang, dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni.

Percubaan penggunaan bas elektrik itu adalah selari dengan pelan transformasi syarikat melalui Program Elektrifikasi Bas yang mana bas diesel sedia ada akan digantikan dengan bas elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohammad Yazurin Sallij berkata, inisiatif itu juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050.

“Saya berharap sepanjang tempoh percubaan ini berlangsung, penumpang atau penduduk di sepanjang laluan-laluan terlibat tidak melepaskan peluang untuk mencuba perkhidmatan bas elektrik ini dan memberikan maklum balas tentang bagaimana perkhidmatan ini dapat dipertingkatkan lagi,” katanya dalam kenyataan.

Rapid Bus sudah mula menggunakan bas elektrik sejak 2015 bagi koridor BRT Sunway dalam usaha mewujudkan persekitaran yang terkawal.

Sebanyak 15 bas elektrik telah digerakkan dengan jumlah perjalanan lebih dari 659,000 kilometer menggunakan kaedah “overnight charging” atau pengecasan semalaman.

Para penumpang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi perkhidmatan bas Rapid KL di laman media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE di telefon pintar masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×