PADA awalnya saya sekadar memandang sinis saranan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Mana tidaknya, seruan seperti ini telah pun kedengaran sejak dari dahulu lagi. Akhirnya ia dilihat sekadar sandiwara politik dalam menarik sokongan orang Melayu.
Namun kali ini cukup berbeza, kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri ini disusuli pula dengan keputusan Wisma Putra menghantar surat rasmi ke negara-negara asing dalam bahasa Melayu.
Begitu juga kerajaan mula menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam mesyuarat antarabangsa seperti di Sidang Kemuncak ASEAN dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia sudah pun dimulakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sewaktu menyampaikan ucapan di Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC) pada November lalu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Bahasa Melayu sememangnya begitu luas dipertuturkan kira-kira 300 juta orang dalam kehidupan seharian mereka. Bahkan terdapat beberapa negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti Malaysia, Brunei dan Singapura.
MEKAH
Itu belum lagi kalau ke Mekah dan Madinah, mungkin tidak keterlaluan kalau saya katakan bahasa Melayu sudah pun menjadi bahasa kedua. Ramai peniaga Arab boleh menegur jemaah haji kita dengan bahasa Melayu. Kalau dahulu kedengaran aneh tetapi sekarang sudah jadi biasa.
Cabaran getir untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN sudah pasti datangnya dari Indonesia. Baru sahaja mencadangkan, sudah pun diprotes. Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim secara terang-terangan menolak usul menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.
Penolakan ini sama sekali tidak mengejutkan memandangkan kita sendiri tahu betapa patriotiknya Indonesia terhadap bahasa dan budaya mereka dan ini telah pun terbukti. Kelas bahasa Indonesia di mana-mana sahaja dan orang asing yang berkunjung ke negara itu sudah mampu bertutur bahasa Indonesia secara fasih dalam tempoh singkat.
Persoalan saya, adakah kita benar-benar bersedia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN? Bukankah ramai dalam kalangan rakyat kita yang masih gagal bertutur dalam bahasa kebangsaan?
Bagaimana pula dengan nama-nama jalan, rumah penginapan atau premis yang diberi nama dalam bahasa Inggeris? Ramai dalam kalangan rakan-rakan warga asing saya dengan berani mengatakan tidak perlu belajar bahasa Melayu memandangkan rakyat Malaysia rata-ratanya bercakap dalam bahasa Inggeris. Ada juga yang sudah duduk hampir 20 tahun tinggal di sini pun masih tidak tahu cakap bahasa kita.
Persoalan-persoalan yang saya lontarkan ini penting untuk diambil perhatian kerana ia menggambarkan mereka yang terlibat ini tiada perasaan cintakan negara.
Apa pun, saya menyokong penuh usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Oleh itu, saya menyeru mereka yang mengaku sebagai warganegara termasuk ahli-ahli politik untuk menyokong usul ini. – UTUSAN
PENULIS ialah penyelidik isu tempatan dan antarabangsa.










