“Semasa saya kehilangan dua kaki, saya merasakan tidak lagi apa-apa yang boleh saya lakukan lagi di dalam dunia ni, tetapi sejak berada di sini cikgu-cikgu mengajar bagaimana untuk berjalan kembali, menggunakan kaki palsu dan kembali ke alam pekerjaan,” ujar seorang Orang Berinsurans (OB) di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (TRRC).
Suhairi Adam, 39, yang kehilangan dua belah kakinya disebabkan penyakit diabetes mengucapkan kata syukur apabila sejak menjalani proses rehabilitasi di TRRC ia banyak mengubah dirinya.
“Pada November 2020, saya kehilangan kaki kedua. Kaki kiri saya dipotong pada 2017 akibat diabetes. Sebagai anak yatim piatu, saya terpaksa buat semuanya sendiri. Hanya adik beradik memberi sokongan kepada saya sebab itu saya kena pulih cepat dan berjalan kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TRRC bagaikan rumah kedua buat dirinya memulihkan diri dan semangat.
“Saya syorkan pada mereka senasib dengan saya untuk jalani proses pemulihan. Pelbagai kemudahan tersedia di sini. Malah kita akan dapat bertemu kawan-kawan baharu dan senasib untuk bangkit kembali.
TRRC memberi harapan baharu kepada lebih 9 juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendapatkan suntikan semula selepas ditimpa kemalangan.
Bagi OB yang ditimpa kemalangan, keupayaan melakukan aktiviti harian akan berkurangan selepas sesuatu kecederaan atau penyakit tertentu.
Sebagai contoh, serangan angin ahmar yang boleh mengakibatkan kehidupan individu berubah secara total. Malah memungkinkan diberhentikan kerja, yang sekali gus memberi impak kepada ekonomi keluarga.
Jadi, adalah amat mustahak sekiranya pusat rehabilitasi diwujudkan sebagai suatu proses untuk membantu seorang pesakit pulih seperti sedia kala dan mampu menempah masuk kembali ke dalam alam pekerjaan.
Proses tersebut merangkumi pelbagai aspek. Dan tidak hanya fokus kepada satu sudut sahaja, bagi memastikan penjagaan, rawatan serta sokongan yang diperlukan pesakit sampai kepada mereka bagi membolehkannya mencapai tahap keberdikarian maksima.
“MAMPU BERJALAN SENDIRI”
Jamil Endan, 40 antara OB mampu tersenyum riang apabila dia mampu berjalan sendiri selepas melalui lebih empat bulan rawatan di TRRC.
Beliau yang menderita penyakit angin ahmar sejak Mac 2020 menjelaskan rawatan diterima memberi impak dalam hidupnya apabila mampu untuk berjalan sendiri menggunakan bantuan tongkat.
“Daripada tidak boleh berjalan langsung, saya boleh berjalan pakai tongkat. Alhamdulillah, banyak perkembangan positif saya alami di TRRC,” katanya.
Bapa kepada empat orang anak berusia antara dua tahun hingga 15 tahun ini menyarankan pencarum yang tidak tahu mengenai kewujudan TRRC ini, untuk merujuk Perkeso kerana sesiapapun tidak tahu bila malang menimpa kita, hanya tuhan yang tahu.
“Bila kita sakit serta tidak mempunyai insuran kita mahu ke mana? Kalau di Perkeso ni banyak kelebihannya, kita boleh pulih seperti biasa tak kira apa sakit potong kaki ke apa kerana pelbagai kemudahan ada dekat sini,” katanya.
‘Pencarum perlu tahu hak mereka’
Besar manapun manfaat pusat itu, masih ramai yang belum benar-benar mengetahui mengenai pusat berkenaan.
Ini diakui Ketua Pegawai Eksekutif TRRC, Datuk Dr. Hafez Hussain.
“Jika memerlukan rawatan program rehabilitasi yang komprehensif bagi memulihkan mereka kembali fungsi seperti biasa rujuklah kepada kami,” katanya.
Hingga kini ada enam pusat rehabilitasi lain dibawah naungan TRRC iaitu pusat rehabilitasi di Ara Damansara, Quill City Mall, Kuala Terengganu dan Johor Bharu.
Ada juga pusat rehabilitasi yang mendapat kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) di untuk program rehabilitasi di Hospital Kubang Kerian serta Hospital Bertam, Pulau Penang.
“Pusat rehabilitasi ini, menggunakan kerjasama ataupun perkhidmatan daripada pengurus kes yang berada di seluruh Malaysia. Ada seramai 300 pegawai pengurus kes dan 200 pegawai penempatan kerja yang boleh membantu OB merujuk ke pusat rehabilitasi tertentu.
“Mereka boleh terus ke mana-mana 54 pejabat Perkeso seluruh negara supaya mereka boleh mendaftarkan diri.
“Kita juga menggunakan laman sesawang atau portal Inspire, di mana dalam portal tersebut bila-bila masa sahaja pesakit yang pergi ke bahagian kecemasan atau mana-mana hospital dan klinik, mereka boleh menghubungi Perkeso terus untuk mendapatkan apa saja rawatan serta peralatan bantuan secara serta merta,” katanya.
Jelasnya, terdapat kira-kira 20 jabatan di TRRC untuk melihat kepada penyampaian perkhidmatan yang baik kepada program rehabilitasi bakal diberikan.
“Di sini, seluruh kakitangan TRRC adalah mereka mempunyai motivasi untuk menjadi guru yang sentiasa mendidik dan selalu menyampaikan terbaik kepada pesakit dari segi membantu mereka boleh berdikari semula,” ujarnya.
Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak (TRRC):
» Mula beroperasi sejak Oktober 2014.
» Ia bermatlamat membantu individu mengalami hilang upaya agar dapat dipulihkan secara optimum sekali gus dapat kembali bekerja.
» Pusat rehabilitasi bertaraf antarabangsa ini diiktiraf sebagai antara pusat terbaik di rantau Asia Pasifik. Ia dilengkapi pelbagai kemudahan selain turut menyediakan program rawatan
rehabilitasi perubatan serta vokasional kepada OB PERKESO.
» Ada kemudahan melakukan senaman seperti gelanggang badminton dan dinding untuk melakukan aktiviti memanjat.
» Turut mengadakan program pemulangan ke alam pekerjaan dengan menyediakan latihan semula vokasional dengan tujuan membantu OB kembali bekerja selepas beransur pulih.
» Antara modul ditawarkan ialah jahitan, bakeri dan masakan; elektrik dan elektronik; reka bentuk grafik dan percetakan; kemahiran pengurusan pejabat dan komputer; dadan rambut dan
pelbagai program mengikut peredaran masa dan permintaan.










