Melayu tidak taati bahasa sendiri?

Melayu tidak taati bahasa sendiri?

ADA pihak menyindir usaha kerajaan memperkasakan bahasa Melayu dengan mencadangkan penghantaran pelajar ke luar negara dihentikan sebaliknya melanjutkan pengajian di universiti tempatan sahaja. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA untuk memperkasa kedudukan bahasa Melayu selaku bahasa negara khususnya sebagai bahasa rasmi terus diselar beberapa pihak termasuklah etnik Melayu sendiri. Langkah yang diambil kerajaan itu bukan sahaja dibantah keras sebagai satu kemunduran, ia juga diperlekeh habis-habisan sehingga ke bentuk penghinaan peribadi terhadap pihak tertentu.

Sesungguhnya usaha kerajaan ini bukan sekadar bersifat proaktif, ia iltizam politik, yakni kesungguhan melakukan perubahan dasar untuk menyelesaikan masalah genting negara. Ini kerana selama ini usaha pemerkasaan bahasa negara rata-ratanya bersifat acuh tidak acuh, iaitu amat kurang keghairahan dan keazamanya secara konsisten sehingga kesan positifnya tidak kelihatan langsung.

Kini melalui usaha yang bertekad baharu ini, ia ingin dilakukan dengan cara lebih jitu yang sepatutnya sudah lama dilakukan semenjak sekian lama kita menubuh negara ini. Sebenarnya usaha pemerkasaan bahasa negara ini tidak sesekali menidakkan peranan bahasa Inggeris di Malaysia. Ia tetap bahasa kedua penting dalam dasar kebahasaan negara.

Oleh itu, tidak boleh timbul sama sekali prasangka bahawa ia usaha untuk mengetepikan bahasa Inggeris bagi memberi laluan kepada bahasa Melayu. Kedua-dua bahasa ini sebetulnya saling melengkapi dengan bahasa Melayu penting untuk urusan nasionalisme, yakni kedaulatan negara manakala bahasa Inggeris ikut mustahak bagi ehwal nasionisme, iaitu kemajuan negara.

Dengan ini, masing-masing mempunyai tempat sewajarnya yang terpisah sifatnya berdasarkan peranan berlainan itu. Pada masa sama, dua bahasa ini ikut bergandingan untuk mendukung fenomena kedwibahasaan dalam membangunkan negara.

Dalam membantah dan menghina itu, ternyata pihak terbabit tidak arif tentang perkara yang mereka sendiri utarakan sebagai hujah. Selain memperlihat kebebalan pada diri sendiri, ia boleh mengelirukan rakyat jelata. Antaranya, kegagalan Malaysia menduduki tempat memuaskan untuk Programme for International Student Assessment (PISA) yang disabitkan dengan penguasaan bahasa Inggeris pelajar kita yang lemah.

Dalam hal ini, soalan PISA memang disediakan dalam bahasa Inggeris tetapi diterjemahkan ke dalam bahasa pengantar pelajar. Justeru, tidak timbul dakwaan bahawa prestasi layu kita semata-mata disebabkan faktor kelemahan bahasa Inggeris pelajar.

Begitu juga dengan sindiran sinis agar kita berhenti daripada menghantar ribuan anak bangsa ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bahasa pengantar lain.

Sebaliknya mereka menerima sahaja pendidikan lanjutan itu di Malaysia dalam bahasa Melayu.

Bagi terus mengejek, mereka berkata, ini dapat menjimatkan banyak wang kerajaan untuk selanjutnya memperkasa bahasa Melayu. Kelihatan sangat rasa tidak suka mereka ini begitu membuak-buak terhadap bahasa Melayu apabila ia mahu diperkasa peranannya secara praktikal dan tidak lagi semata-mata secara simbolik. Lanjutan ini, amat malang kita mempunyai warganegara sedemikian yang terang-terangan tidak ada rasa keterikatan apa-apa jua kepada negara dalam konteks kebahasaan ini.

MOTIVASI

Sejujurnya kita harus mengakui kita gagal dalam sesetengah aspek pembentukan negara bangsa yakni dalam melahirkan rakyat yang nasionaliti Malaysia mereka kuat.

Oleh itu, sangat penting untuk kita membentuk semula mereka yang terpesong daripada pegangan kenegaraan yang asas ini, iaitu perasaan nasional sebagai kebanggaan kepada negara.

Dalam pada menyelar langkah memperkasa bahasa Melayu, mereka ini tidak pula mengatakan bahawa Jepun, Korea dan China di rantau ini serta banyak negara lain di dunia, keterbelakangan apabila menggunakan bahasa negara sendiri sebagai alat kemajuan utama. Adakah semua negara ini tidak bijak kerana menganjurkan nasionalisme masing-masing dengan berbahasa negara sendiri untuk urusan rasmi termasuklah ehwal antarabangsa?

Kita harus bijak untuk tidak mencampuradukkan masalah sebenar yang dihadapi tentang penguasaan bahasa Inggeris yang lemah. Ia ada kaitan rapat dengan pedagogi, iaitu kaedah dan amalan pengajaran selain motivasi pembelajaran, yakni unsur psikologi untuk memperoleh kejayaan pada pelajar.

Sebetulnya ia tidak sesekali disebabkan sistem pendidikan negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Jika sistem begini bermasalah, bagaimanakah Vietnam boleh menyentap ego kita menerusi prestasi PISA yang lebih cemerlang?

Etnik Melayu selaku penutur jati bahasa Melayu tidak patut sesekali membantah, apatah lagi mempertikai langkah untuk memperkasa bahasa Melayu, iaitu bahasa ibunda, etnik dan leluhur mereka yang diangkat menjadi bahasa negara ini. Dengan berbuat demikian, walaupun oleh seorang, ia bukan sahaja boleh terus memadamkan seluruh sejarah etnik Melayu, lebih teruk lagi ia akan membangkitkan persoalan maruah sama ada etnik Melayu memiliki warisan atau tidak untuk dibanggakan sepanjang zaman dan diperturun kepada setiap generasi dengan penuh kehormatan, kecekalan dan kemegahan.

Sepatutnya semua etnik Melayu menyedari malah menginsafi bahawa bahasa Melayu yang walaupun sederhana pangkatnya, masih mempunyai kepentingan serta keunggulan agam kepada mereka pada masa ini dan seterusnya pada waktu mendatang, baik dari segi sosiobudaya, sosioekonomi mahupun sosiopolitik. Oleh itu, etnik Melayu bukan sahaja harus mempunyai jati diri, malah perlu mempamerkannya pada setiap masa dalam bentuk nilai, kepercayaan, perwatakan dan segala macam pernyataan jelas lagi tegas yang dapat menunjukkan keteguhan hati dan kekuatan jiwa mereka sebagai etnik Melayu sejati yang amat mentaati bahasa mereka. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×