Kita bantu tak kira warna kulit

Kita bantu tak kira warna kulit

MALINI Lakshmi Bai (kiri) menenangkan mangsa ragut yang sedang dirawat oleh paramedik pada November 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS berdepan cabaran pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, mulai semalam, kita masuk ke fasa peralihan endemik sebagai persiapan menuju kehidupan normal.

Tempoh dua tahun lalu memang penuh cabaran dan dugaan kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu sambil melawan virus yang tidak diketahui ciri-cirinya secara tepat dan khusus.

Saya dan rakan-rakan berbual tentang pengalaman sepanjang tempoh dua tahun lalu dengan cuba memberi tumpuan kepada peristiwa yang membuktikan budaya penyayang dan amalan bantu-membantu dalam masyarakat majmuk.

“Baru-baru ini, adik ipar, suami dan anaknya yang berumur lima tahun didapati positif Covid-19. Adik ipar mengalami demam dan sakit badan yang sangat teruk,” Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor berkongsi cerita.

Memandangkan rumahnya berdekatan dengan rumah adik ipar, maka Anuradha dan emak mentuanya menyediakan makanan berkhasiat. Hal ini dilakukan selama seminggu sehingga keluarga adik iparnya disahkan sembuh sepenuhnya.

Turut berkongsi pengalaman ialah V.K. Ezhilarasi, seorang pesara guru dari Cheras, Kuala Lumpur. Pada akhir Februari lalu, dia menerima berita, cucunya berumur sebulan disahkan positif Covid-19.

“Saya bergegas ke rumah anak saya di Rawang untuk membantu menjaga cucu sulung itu. Malang tak berbau, lima hari kemudian saya dan anak pula disahkan positif,” kata Ezhilarasi.

Bagaimanapun, dia gembira dan lega kerana berpeluang menjaga diri, anak dan cucu sehingga pulih sepenuhnya. Perkongsian kisah ini sama dengan pengalaman Anuradha di mana ahli keluarga sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan pada saat amat diperlukan.

Penolong pustakawan dari Alor Setar, Kedah, Noraini Abd. Rahman pula disahkan positif Covid-19 pada awal Mac lalu.

“Saya ada semua simptom seperti sakit dan sukar bernafas. Lebih teruk kerana saya alah kepada paracetamol,” dia berkongsi pengalaman dalam perbincangan kami.

Noraini diarah ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Kuala Kedah dengan segera. Cucu saudara, Nur Syamimi Hasri yang sedang bercuti semester membantu menghantar makanan dan barangan keperluan. Rakan-rakan sekerja pula mengirim air cap badak untuk membantu ikhtiar menurunkan panas badan.

“Kiriman mesej bertanya khabar, berkongsi petua serta doa tidak putus-putus daripada keluarga dan rakan-rakan. Saya amat terharu dengan kasih sayang dan budaya penyayang yang ditunjukkan,” katanya.

Selain kisah berhubung pandemik, beberapa rakan berkongsi pengalaman berkaitan banjir besar yang melanda beberapa tempat pada Disember 2021. Semangat perpaduan dan saling membantu tanpa mengira kaum dan agama turut disaksikan sendiri oleh Vinnie Low Wei Hsing, seorang pemandu pelancong dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Sebaik sahaja mendapat berita tentang banjir besar di Shah Alam, Selangor, saya menyertai sekumpulan sukarelawan membantu mangsa. Kami tidak ambil tahu nama, keturunan, agama dan latar belakang mangsa.

“Semua sumber yang ada dikerah untuk membantu sesiapa sahaja pada saat kritikal itu,” dia menceritakan.

SEBAK

Apabila melihat keadaan dan penderitaan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Vinnie mengaku tidak mampu menahan sebak. Para sukarelawan terbabit bekerja lebih 72 jam tanpa tidur atau kenal lelah.

Realiti budaya penyayang dan budaya membantu dalam kalangan masyarakat majmuk turut disaksikan Hafiz Syarafi Samsudin, seorang perunding unit amanah dari Shah Alam.

“Ramai orang berganding bahu membersihkan rumah dan sekolah yang terjejas akibat banjir. Ramai juga menyumbang keperluan asas.

“Ramai yang datang dengan kelengkapan sendiri tanpa mengharap balasan,” kata pemuda orang kurang upaya (OKU) itu yang turut membantu membersihkan rumah saya di Taman Sri Muda.

Tentulah kita mengharapkan semangat bantu-membantu tanpa mengira kaum dan agama menjadi budaya dan amalan seharian rakyat Malaysia berterusan. Dalam hal ini, Malini Lakshmi Bai, seorang guru dari Cheras berkongsi pengalaman pada November 2019.

“Saya dan rakan dalam perjalanan ke kelas tae kwan do. Kami ternampak dua lelaki bermotosikal menyamun seorang wanita Cina.

“Kepala wanita itu dihentak dengan besi sebelum penyamun meragut beg tangan dan telefon bimbit,” Malini berkongsi cerita.

Tanpa berfikir panjang, Malini dan rakannya bergegas ke arah mangsa yang sedang bergelut dengan penyamun. Penjenayah melarikan diri manakala mangsa pengsan dan kepalanya berdarah.

“Kami hubungi polis dan ambulans. Beberapa pelajar dari sebuah universiti berdekatan juga datang membantu. Salah seorang pelajar membeli air batu dari kedai berdekatan untuk ditekap pada kepala mangsa.

“Kemudian, saya dan rakan membuat laporan di balai polis,” katanya agak teruja dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan orang ramai.

Sementara itu, pada awal tahun lalu, selepas Irene Tan Ai Ling dan suaminya yang berketurunan Iban selesai membeli-belah di pasar raya, mereka menghadapi masalah untuk menghidupkan enjin kereta.

“Melihat keadaan kami yang agak resah, datang beberapa pemuda Melayu. Tanpa berlengah dan tanpa mengharapkan ganjaran, mereka menyambung wayar dari bateri kereta salah seorang itu ke bateri kereta kami.

“Maka, enjin kereta kami berjaya dihidupkan,” pesara jururawat itu yang tinggal di Kota Bharu, Kelantan menceritakan.
Perkongsian pengalaman seperti ini membuktikan budaya penyayang dan semangat tolong-menolong masih menebal dalam jiwa masyarakat majmuk di Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×