Dalam isu zakat emas di ar-rahnu, ada dua keadaan perlu diperhatikan. Pertama, orang yang terdesak yakni tidak mempunyai kemampuan kewangan. Emasnya dicagarkan dan sepanjang tempoh emas itu di dalam simpanan ar-rahnu, dia tidak mampu menebusnya kembali kerana tidak mempunyai wang.
Di sini dia tidak mempunyai satu syarat wajib zakat, iaitu sempurna milik. Maka, tidak wajiblah dia berzakat atas emas yang disimpan di ar-rahnu itu.
Wang yang didapati hasil pinjaman itu juga, jika habis dibelanjakan untuk keperluan asasi yang terdesak itu tadi, maka tidaklah wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.
Kedua, orang yang membuat gadaian di ar-rahnu dalam keadaan dia sebenarnya kaya dan tidak memerlukan wang atau bukan dalam keadaan kecemasan.
Sebaliknya dia menggunakan ar-rahnu sebagai tempat untuk menyimpan emas perhiasannya dengan selamat atau sebagai tempat pelaburan dan sengaja membiarkannya tanpa ditebus.
Apabila genap setahun disimpan, maka semasa itu harga emas mungkin sudah naik dan dia pun mendapat untung atas emas yang digadaikannya.
Bagi keadaan kedua ini, sebenarnya orang itu mampu untuk menebus tetapi sengaja enggan menebus. Hakikatnya dia mempunyai syarat sempurna milik, maka wajiblah ke atasnya mengeluarkan zakat ke atas emas yang disimpan di ar-rahnu atas keseluruhannya.
Andai dia membiarkan hingga setahun dan selepas itu dicairkan, dan pihak penggadai memberikan untung kepadanya, maka dia juga wajib mengeluarkan zakat ke atas keuntungan berkenaan.
Bagi wang pinjaman yang dia perolehi dari pihak ar-rahnu, jika dia melaburkannya atau menyimpannya di mana-mana institusi, maka hendaklah dikeluarkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus apabila mencapai haul. Melainkan jika dia menggunakannya sehingga habis maka tiadalah zakat lagi ke atasnya.
Apa yang penting, kita perlu melihat kepada dua keadaan iaitu adakah orang yang berhutang di ar-rahnu itu adalah mereka yang dalam kesempitan kewangan, yakni terpaksa berhutang.
Dengan itu mereka pun dapat melunasi keperluan-keperluan yang berbangkit dengan segera juga; ataupun mereka yang bergadai dengan maksud menjadikan ar-rahnu sebagai satu tempat melabur demi mencari keuntungan berganda di masa hadapan? Sudah pastilah natijahnya adalah berbeza.
Walau bagaimanapun, menurut keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor tahun 2013, emas perhiasan yang digadaikan (walaupun atas alasan terdesak), masih wajib dizakatkan, yakni dikenakan zakat ke atas baki emas perhiasan yang masih menjadi milik sempurna penggadai.
Ini kerana, pihak ar-rahnu hanya akan memberikan hutang sekitar 70 peratus daripada nilai emas perhiasan, maka baki 30 peratus itu masih milik sempurna penggadai dan wajib dizakatkan (setelah mengambil kira kos upah simpan).
Di samping itu, di Selangor mulai tahun 2017 telah difatwakan zakat atas gabungan harta nisab emas dengan syarat haul.
Maka, jika baki emas di ar-rahnu itu di bawah nisab, ia perlu digabungkan dengan harta lain miliknya (emas perhiasan yang melebihi uruf + emas bukan perhiasan + wang simpanan + pelaburan).
Melainkan orang itu memang tiada lagi harta-harta lain dan baki emas di ar-rahnu juga adalah di bawah haul, maka tiadalah zakat atasnya.
Kesimpulannya, biar pun fuqaha khilaf mengenai kedudukan zakat emas di ar-rahnu, namun umumnya masih wajib zakat bagi emas yang digadai di ar-rahnu.
Apatah lagi jika ia digadai demi pelaburan semata-mata (mencari keuntungan) dan penggadainya juga mempunyai kemampuan untuk menebusnya bila-bila masa. Wallahua’lam.
- Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang kemusykilan zakat sila emel ke [email protected].










