Ketum: Ubat atau mudarat?

Ketum: Ubat atau mudarat?

MENURUT kata orang tua-tua, daun ketum mampu merawat dan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. – UTUSAN/BADRUL HAFIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU daun ketum kembali hangat. Polemik yang pernah tercetus tidak lama dahulu reda seketika setelah kerajaan membuat keputusan untuk tidak meletakkan tumbuhan ini di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebaliknya kekal Akta Racun 1952.

Secara tradisinya, ramai menganggap tumbuhan ini cukup istimewa. Kata orang tua-tua, ia mampu merawat dan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, sakit perut, cirit-birit, keradangan, demam, kanser, kemurungan, kegelisahan, sakit sendi dan banyak lagi.

Daun ketum boleh ditumbuk dan disapu pada anggota badan. Ia juga boleh dikunyah begitu sahaja. Ramai pengguna tradisi merebus daunnya untuk dijadikan teh atau air minuman setiap pagi sebelum keluar bekerja. Hanya dengan secawan, seseorang itu khabarnya mampu bekerja di ladang dan sawah sepanjang hari tanpa rasa penat atau lelah.

Bagi yang mengalami masalah ketagihan opiat, daun ketum mampu menjadi penyelamat. Tidak perlu berbelanja lebih, petik sahaja beberapa helai di belakang rumah, rasa gian dan sakit-sakit badan dapat diubati.

Sekiranya untuk kegunaan itu sahaja, akta sedia ada ternyata sudah memadai, tidak lagi perlu dipinda. Namun, bagi sesetengah pihak, daun ketum dilihat sebagai satu komoditi bernilai dan berpotensi tinggi. Oleh yang demikian, undang-undang sedia ada perlu dirombak, diperhalusi, digubal semula atau diperbaiki.

Tuntutan tersebut mungkin juga ada asas dan justifikasi. Komposisi tanah dan keadaan semula jadi beberapa negeri khabarnya amat kondusif untuk menghasilkan gred daun ketum bermutu tinggi. Kualiti sebegini dicemburui oleh negara lain termasuk jiran kita, Thailand. Justeru, daun ketum menjadi buruan banyak syarikat farmaseutikal di luar negara khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Dengan nilai jualan yang dikatakan mampu mencecah puluhan ringgit setiap kilogram, tidak hairanlah kenapa penyeludupan daun ketum dari negara kita sukar dikawal dan diatasi.

Jadi, kenapa tidak dihalalkan sahaja? Indonesia telah lama melakukannya. Thailand pernah mengharamkannya beberapa tahun lalu tetapi kini sudah berubah hati dan turut mengikut jejak sama. Jika kerajaan setuju untuk meminda akta sedia ada, sudah pasti ramai dalam kalangan kita akan dapat faedahnya.

Saranan sesetengah pemimpin agar membenarkan pokok ketum ditanam secara besar-besaran, tidak perlu dirisau tentang pengawalan kerana setiap peringkat bakal diselia dan dipantau oleh agensi kerajaan. Jika pengumpulan dan pengeksportannya diselaraskan, aktiviti penyeludupan pasti dapat dibanteras dengan berkesan.

Langkah sedemikian tentunya mampu membuahkan hasil cukup lumayan, bukan sahaja kepada peladang dan petani, malah kerajaan. Tenaga pihak berkuasa pula tidak perlu dibazirkan. Satu prosedur operasi standard (SOP) boleh diwujudkan bagi memastikan segala-galanya dilaksana dengan telus dan mengikut lunas undang-undang ditetapkan. Menarik bukan?

Alasan perubatan turut diguna. Ketum digambarkan sebagai ubat herba pelbagai guna yang tidak ada cacat cela. Di luar negara, kata mereka, produk ketum sangat popular. Di AS, dianggarkan lima juta penduduk telah mencuba dan mendapat manfaatnya. Di sana, produk ketum diberitakan dapat diperoleh di merata-rata secara dalam talian atau bersemuka. Penjualannya pula tidak memerlukan preskripsi, pemantauan atau kelulusan pihak berkuasa.

ANUGERAH TUHAN

Adakah ketum pada realitinya satu anugerah Tuhan yang serba sempurna atau kebaikannya cuma diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu dengan harapan dapat meraih keuntungan berganda?

Realitinya, pokok ketum atau mitragyna speciosa bukanlah satu tumbuhan yang baharu dikenali. Bermula daripada penemuannya pada awal 1800 oleh Pieter Willem Korthals, seorang ahli botani Belanda, pokok ini sebenarnya telah lama dikaji. Cuma hingga kini, majoriti kajian terhad di peringkat praklinikal dan melibatkan haiwan.

Boleh dikatakan tidak ada ujian khusus melibatkan manusia. Yang ada pun kebanyakannya bersifat anekdotal, iaitu berdasarkan pandangan, pemerhatian dan pengalaman peribadi. Bukannya bersandarkan fakta yang kukuh serta tidak boleh diragui.

Jadi, tidak hairanlah, kenapa mereka yang menyokong ketum masih gagal meyakinkan komuniti perubatan bahawa herba atau tumbuhan ini benar-benar memberi manfaat kepada manusia.

Bagaimanapun, harus diakui pokok ketum tergolong dalam kategori tumbuhan psikoaktif yang unik dan agak luar biasa. Daunnya pada kuantiti sedikit atau dos rendah mampu merangsang sistem saraf pusat manusia. Ia menimbulkan rasa ceria, menguatkan tenaga, membantutkan selera serta menghilangkan rasa malu buat seketika. Ciri-ciri stimulan ini dikatakan seolah-olah menyerupai dadah jenis kokain yang terkenal di serata dunia.

Pada dos sederhana, ia umpama opiat yang mampu menghilangkan rasa sakit (analgesia) dan berupaya mencetus euforia atau perasaan yang sangat gembira.

Jika diambil pada kadar lebih tinggi, penggunanya akan menjadi pasif, diam dan perlahan kerana kesan sedatif sudah mula menampakkan diri. Inilah perbezaannya dengan opiat biasa dan sering menjadikan pengguna keliru dengan kesan dialami. Lebih tinggi dos, tidak bererti lebih euforia. Sebaliknya, boleh bertukar kepada kesan lain.

Bukan itu sahaja kelebihannya. Harga daun ketum tidak ada tandingan. Jauh lebih murah daripada semua dadah berbahaya termasuk heroin, kokain, syabu dan ganja.

Namun, dengan kos begitu rendah, anda akan mencapai kenikmatan yang melangkau jangkaan. Tidak hairanlah kenapa ketum dinobat sebagai gateway atau permulaan terbaik untuk remaja yang ingin berjinak-jinak ke alam penagihan.

Ada lagi ciri-ciri ketum yang menjadikannya lebih menarik. Setakat ini, kebanyakan ujian urin (yang lazim digunakan pihak berkuasa) tidak mampu untuk mengesan kehadirannya. Sebaliknya, proses itu memerlukan ujian makmal yang lebih canggih dan mahal tetapi tidak praktikal untuk digunakan di lapangan. Oleh yang demikian, pihak berkuasa dengan mudah dapat dikelirukan.

Jika ditangkap sekalipun, mereka tidak bimbang atau gundah gulana. Hukuman maksimum di bawah Akta Racun 1952 hanyalah denda RM10,000, penjara empat tahun atau kedua-duanya. Tidak seperti dadah lain yang boleh dikenakan hukuman lebih berat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesimpulannya, pokok ketum adalah tumbuhan menarik tapi bukanlah ajaib. Ia mempunyai kelebihan dan kekurangan, juga kebaikan dan keburukan. Alasan daun ketum boleh menjana keuntungan lumayan perlu diimbangi dengan kesan negatif dari segi psikososia. Perlukah kita bersubahat semata-mata kerana ingin memuaskan nafsu sesetengah pihak atau mengejar ganjaran yang belum tentu status dosa dan pahalanya?

Lihatlah juga dari segi hukum. Menjual sesuatu yang difatwakan sebagai haram, boleh menimbulkan pelbagai persoalan.

Akhir kata, keputusan kerajaan menolak saranan untuk menjadikan ketum sebagai komoditi harus dipuji dan dihormati. Maslahah umum yang lebih besar perlu diambil kira berbanding rungutan sesetengah pihak yang mungkin masih belum terbuka minda untuk menerima kebenaran, walaupun buktinya jelas berada di depan mata. – UTUSAN

DR. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud ialah Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Pusat Perubatan Kedah (KMC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×