Mencari perpaduan gabungan pembangkang

Mencari perpaduan gabungan pembangkang

DUA sosok yang berseteru selama 18 tahun bertemu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September 2016. Dr. Mahathir Mohamad (kanan) hadir bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar Ibrahim bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 10 April 2021, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan menyebut istilah ‘khemah besar.’ Kenyataan yang dikeluarkan selepas pemukiman PH di Port Dickson, Negeri Sembilan itu boleh dilihat sebagai cerminan semangat baharu kepada kebangkitan semula perpaduan dan iltizam bagi pucuk pimpinan gabungan politik berkenaan dalam meneruskan usaha reformasi negara.

Pucuk pimpinan PH berazam untuk terus gigih menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan khemah besar bagi menyatupadukan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

Kenyataan tersebut ditandangani oleh tiga pimpinan tertinggi PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng.

Perpaduan dalam kalangan parti pembangkang seterusnya jelas kelihatan ketika mereka bersama-sama berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2021 selepas dikatakan dilarang memasuki Parlimen.

Antara yang hadir ialah Anwar, Mat Sabu, Guan Eng, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Tidak lama selepas itu, parti berpangkalan di Sabah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyertai gabungan PH selaras semangat khemah besar sekali gus menjadikan jumlah komponen gabungan tersebut kepada empat parti.

Selain empat parti komponen PH, turut dalam blok pembangkang adalah Warisan, Pejuang, Parti Sarawak Bersatu (PSB), MUDA dan Bebas.

LESU

Namun begitu, momentum khemah besar tersebut selepas itu dilihat seakan-akan lesu. Beberapa pilihan raya negeri (PRN) lepas memperlihatkan betapa jauh lagi gagasan khemah besar untuk direalisasikan.

Terbaharu di PRN Johor, kekurangan perpaduan sesama pembangkang dapat dilihat dengan kegagalan mereka menggunakan logo bersama, visi bersama atau sebarang perbincangan calon Menteri Besar. Ini ditambah dengan faktor pecahan sokongan pengundi susulan banyak parti pembangkang yang bertanding sesama sendiri.

Walhal sebelum berlangsungnya PRN Johor, beberapa pemimpin PH awal-awal lagi menyuarakan peri pentingnya perpaduan pembangkang.

PENYELESAIAN EFISIEN

Sehubungan itu, pasca PRN Johor menuntut semua parti pembangkang bersama mencari penyelesaian efisien agar semua mereka dapat berada dalam satu blok bagi mengelak berlaku pertembungan.

Ini seterusnya membuka pentas pertandingan melibatkan tiga blok terbesar iaitu pembangkang, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pada ketika ini, parti-parti pembangkang perlu menunjukkan keterbukaan masing-masing dalam merealisasikan khemah besar. Meja rundingan perlu sentiasa terbuka bagi semua parti pembangkang.

Dengan penggemblengan usaha, idea dan semangat serta ditambah sikap bertolak ansur, khemah besar itu mungkin dapat direalisasikan dan sekali gus mempersiapkan gabungan pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Menerusi logo, visi dan gerak kerja yang seragam, gabungan pembangkang boleh bergerak sederap dalam membawa aspirasi dan suara rakyat.

Sudah tiba masanya parti-parti terbabit mengetepikan perbezaan yang membelenggu mereka sejak sekian lama dan memulakan era baharu dalam aspek kerjasama. Bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.

SEMANGAT PRU14

Sepertimana disebut oleh Mat Sabu, PH perlu kembali kepada khemah besar yang digunakan sewaktu PRU14, sehingga membawa kepada kemenangan PH. Perpaduan PH dalam memenangi PRU14 perlu dijadikan rujukan dalam pembentukan khemah besar hari ini.

Segala perselisihan dan salah faham perlu diselesaikan sebaik-baiknya menerusi perbincangan. Meskipun komposisi parti komponennya sudah berbeza susulan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dan membentuk gabungan PN, hakikatnya PH sentiasa mempunyai tempat untuk parti-parti pembangkang yang lain.

Jangan dilupakan apa yang berlaku pada 5 September 2016. Pada tarikh tersebut, satu peristiwa bersejarah berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menyaksikan dua sosok yang sebelum ini berseteru selama lebih 18 tahun akhirnya bertemu.

Dua sosok itu tidak lain tidak bukan ialah Dr. Mahathir dan Anwar. Kehadiran Dr. Mahathir itu adalah bagi menyatakan sokongannya terhadap permohonan Anwar yang mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Bagi banyak pihak, ia dilihat sebagai satu fasa baharu dalam kerjasama dan pensejajaran politik untuk menewaskan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pertemuan itu berlaku setelah Dr. Mahathir sepentas dengan pimpinan parti pembangkang melalui kempen Deklarasi Rakyat.

Selepas peristiwa itu, bak kata pepatah Inggeris, the rest is history. PH yang digerakkan secara bersama oleh kedua-dua tokoh ini berjaya memenangi PRU14 dan menjatuhkan kerajaan BN.

Maka adalah jelas, semangat permuafakatan dan kebersamaan yang terbit pada 5 September 2016 perlu dicari semula. Diharap parti-parti pembangkang membulatkan iltizam masing-masing dalam merealisasikan khemah besar tersebut untuk menghadapi PRU15 kerana perpecahan hanya akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Jika pada PRU14 pembangkang boleh berganding bahu bersama-sama, kenapa tidak pada PRU15? – UTUSAN

SOFIAN BAHAROM ialah pemerhati politik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×