SUNGAI PETANI: Dua anggota polis berpangkat koperal direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM300 daripada seorang juru kimpal, minggu lalu.
Mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani, di sini petang semalam.
Perintah reman ke atas kedua-dua anggota polis yang bertugas di Unit Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda itu dikeluarkan oleh Majistret Nadhirah Abd. Rahim di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Difahamkan kedua-dua anggota polis itu telah meminta suapan untuk tidak diambil tindakan ke atas juru kimpal berusia 21 tahun kerana tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika pemeriksaan dilakukan di Jalan Aman Jaya 2, berdekatan Kolej Vokasional Sungai Petani di sini pada 20 Mac lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan dua anggota polis terbabit dan siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.- UTUSAN











