Di sebalik politik kegagalan Kit Siang

Di sebalik politik kegagalan Kit Siang

WALAUPUN berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin boleh dilihat pada sisi DAP yang pada masa itu masih berada dalam kuasa Lim Kit Siang (dua dari kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Lim Kit Siang mengundurkan diri dalam dunia politik adalah suatu penghargaan kepada beliau sama ada lawan mahupun kawan. Bukan mudah untuk seseorang yang bermula dengan parti tiada nilai dan akhirnya mendapat kedudukan dalam politik perdana negara ini.

Jika diamati setiap perancangan dan tindakan beliau, boleh dikatakan memberi kegagalan kepada DAP. Walaupun boleh dikaitkan kejayaan merealisasikan tsunami Cina bermula 2008 disusuli tsunami India yang memperlihatkan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga dalam kerusi Parlimen, tetapi situasi realitinya hari ini, setiap tindakan Kit Siang sebenarnya memberikan manfaat kepada BN semula.

Malahan idea kerjasama dengan parti pembangkang Melayu telah memberikan nilai tambah kegagalan kepada DAP yang selama ini menjadi juara dalam kalangan masyarakat bukan Melayu. Mungkin tidak boleh dinafikan idea sosialisme yang menjadi permulaan kelangsungan DAP sebenarnya berakar umbi pada 1970-an.

Permulaan kelangsungan DAP adalah bergantung kepada sokongan bukan Melayu di kampung baharu yang diwujudkan oleh BN dalam melawan fahaman komunis, sedikit sebanyak telah mempengaruhi hala tuju DAP dalam masa 30 tahun akan datang. Ini disebabkan keahlian DAP pada masa itu majoritinya adalah anak-anak muda yang baru memulakan kehidupan di kampung baharu.

Tetapi apa yang berlaku apabila dekad 1990-an mendatang, Kit Siang memulakan usaha reformasi dengan memfokuskan kerjasama dengan parti Melayu bagi memperkukuhkan barisan pembangkang.

Usaha pengukuhan barisan pembangkang dimulakan sejak 1969 tetapi terhenti dengan penubuhan BN. Permulaan usaha kerjasama dengan Pas dan lain-lain parti pembangkang Melayu agak kurang mencapai matlamat beliau dalam DAP.

SAMY VELLU

Seterusnya, idea Kit Siang untuk menafikan dua pertiga majoriti BN dilancarkan apabila Barisan Alternatif ditubuhkan. Idea Kit Siang ini berkubur apabila gabungan tersebut berakhir. Walaupun berlaku kegagalan, sekali lagi beliau mencuba dengan PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhirnya, gabungan DAP dengan parti Melayu berjaya dan ini memberikan tenaga baharu untuk beliau menjatuhkan kerajaan BN. Dalam perancangan gerakan ini, beliau menggariskan tiga langkah tsunami yang akhirnya mampu menumbangkan BN di negeri-negeri tertentu.

Kit Siang keluar dari Johor dan bergerak ke Sarawak dan Pulau Pinang. Malahan usaha beliau melihat parti Gerakan yang menguasai Pulau Pinang mampu dikalahkan disebabkan ketiadaan tokoh berkaliber selain (Tan Sri Dr.) Koh Tsu Koon. Gerakan pada masa itu didukung kuat oleh golongan Cina berpendidikan, bukan Cina dan juga sebilangan golongan berpendidikan India.

Bermula dengan tsunami India di Perak yang akhirnya memberikan impak kepada kekalahan Gerakan di Pulau Pinang. Kekalahan Gerakan turut dirasai oleh MCA tetapi MCA pada masa tersebut masih mampu bertahan.

Tetapi kepimpinan (Tun) S. Samy Vellu dalam MIC berkubur dengan kekalahan teruk di kerusi kubu kuat di Sungai Siput dan beberapa kawasan Parlimen di Perak. Apa yang berlaku adalah DAP di bawah kepimpinan Kit Siang masih gagal menarik sokongan Melayu.

Perancangan untuk menjayakan realisasi tsunami Cina bermula dengan kejayaan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan kebangkitan DAP buat pertama kali dalam sejarah politik negeri itu. Kejayaan di Sarawak akhirnya mendorong kepada kejayaan tsunami Cina dalam pilihan raya umum 2013 yang mana hampir keseluruhan kubu kuat BN di kerusi Parlimen majoriti Cina bertukar kepada DAP.

LIM GUAN ENG

Kejayaan ini telah menafikan dua pertiga kedudukan BN dalam Parlimen. Pelbagai janji dan persepsi propaganda dibangunkan bertujuan melemahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat ke atas BN. Perpecahan yang berlaku dalam kalangan ahli-ahli politik BN juga akhirnya memberikan suatu kelebihan kepada gabungan antara DAP dan PKR. Cubaan penguasaan DAP ke atas Pas akhirnya menemui kegagalan apabila sekumpulan ahli-ahli politik yang pro-DAP telah dikeluarkan dalam krisis 2015.

Disebabkan krisis 2015, maka Pas telah keluar secara rasmi daripada gabungan Pakatan Rakyat. Terkeluarnya Pas sebenarnya memberikan satu isyarat kegagalan kepada Kit Siang sebagai pemimpin nombor satu DAP. Kit Siang juga dilihat gagal membawa makna yang jelas dalam perancangan gagasan Malaysia Baharu. Sinonimnya slogan Malaysia Baharu gagal kerana kelemahan kepimpinan Lim Guan Eng yang dibayangi oleh Kit Siang.

Tetapi apa yang berlaku adalah disebabkan kewujudan Malaysia Baharu ini secara automatik masih membayangi konsep Malaysian Malaysia. Ini membawa kepada penolakan ke atas Pakatan Harapan (PH) untuk menyatukan gabungan barisan pembangkang dalam melawan dominasi BN dalam semua PRN sejak 2020.

Sepertimana yang diketahui bahawa tujuan penyatuan gabungan PH dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan berpanjangan kerana kedua-dua komponen parti tersebut mempunyai matlamat yang berbeza. Walaupun berjaya menumbangkan penguasaan BN tetapi kerajaan yang terbentuk oleh PH juga tidak berpanjangan.

Akhirnya kerajaan PH runtuh kerana kegagalan untuk mempertahankan konsep kepercayaan dan saling berkongsi kuasa. Kegagalan kerajaan PH ini mungkin boleh dilihat pada sisi DAP yang pada masa itu masih berada dalam kuasa Kit Siang. Boleh dikatakan Kit Siang adalah pemimpin yang gagal untuk merealisasikan Malaysian Malaysia. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×