Peningkatan gaji minimum bagus untuk kebajikan pekerja am

Gaji naik, harga barang juga akan naik

Kenaikan gaji pekerja di negara ini, turut mendorong kenaikan harga barangan keperluan di pasaran. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia perlu bersedia menerima kenaikan harga barangan terutamanya makanan di restoran berikutan kenaikan kadar gaji minimum bermula 1 Mei depan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, secara teori, peningkatan gaji minimum adalah bagus untuk kebajikan pekerja am, khususnya daripada keluarga kategori B40 kerana ia membantu memperbaiki taraf hidup mereka.

“Ia juga sedikit sebanyak membantu menaikkan kuasa beli mereka, apatah lagi ketika berhadapan dengan kadar inflasi yang semakin meningkat.

“Bagaimanapun, kita harus menerima kenaikan harga barang kerana para majikan pasti akan menaikkan harga misalnya makanan di restoran untuk menampung pembayaran gaji pekerja.

“Selain itu, kerajaan perlu mengambil pendekatan meluas supaya pekerja yang menerima gaji harian dan mingguan juga turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan kenaikan gaji minimum ini,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.

Pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berpendapat, kerajaan wajar menangguhkan pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum kepada PMKS sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini bagi membolehkan mereka mengubah struktur kos operasi perniagaan.

Kata beliau, para pengusaha PMKS masih dalam fasa pemulihan selepas penutupan ekonomi kerana pandemik Covid-19 dan banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

“Kebanyakan majikan PMKS pula bergantung kepada kontrak seperti pengusaha pembersihan, penjagaan keselamatan, kantin sekolah dan kilang, di mana mereka mempunyai margin keuntungan tetap berdasarkan tender yang dimenangi mereka.

“Oleh itu, gesaan untuk menaikkan gaji pekerja akan menjejaskan margin keuntungan mereka yang bersaing berdasarkan kos semasa memenangi tender.

“Justeru, situasi menang-menang antara majikan dan pekerja mesti dicapai terlebih dahulu supaya kenaikan kadar gaji tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×