Berpolitik secara sejahtera

Berpolitik secara sejahtera

DI negara demokrasi seperti Malaysia, parti politik bersaing antara satu sama lain dalam pilihan raya untuk mengekalkan atau menguasai sesebuah kerajaan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), politik bermaksud ilmu tentang cara pemerintahan atau ilmu kenegaraan atau ilmu siasah. DBP turut mentakrifkan perkataan itu sebagai ilmu pengetahuan berkenaan cara pemerintahan berkaitan dasar-dasar pemerintahan atau ilmu kenegaraan.

Di Malaysia, dijangkakan 22.5 juta pemilih layak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setelah diambil kira pertambahan pengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik. Sekiranya dirujuk kepada takrifan DBP itu tadi, maka 22.5 juta pemilih ini terkait dengan istilah politik. Selain itu, yang paling utama dengan istilah politik itu sendiri ialah parti yang ditakrifkan oleh ensiklopedia DBP sebagai sekumpulan orang yang teratur atau tersusun yang mengawal atau cuba mengawal sesebuah kerajaan.

Di negara demokrasi seperti Malaysia, parti politik bersaing antara satu sama lain dalam pilihan raya semata-mata untuk mengekalkan atau menguasai sesebuah kerajaan. Sekiranya mereka tidak bertanding, parti yang berkuasa tidak dapat mengekalkan kuasa pemerintahan manakala yang tidak berkuasa pasti mustahil untuk mengalahkan lawannya seterusnya merampas tampuk kekuasaan. Tidak ada parti politik memasuki mana-mana pilihan raya untuk ‘mengalahkan’ kumpulan atau parti mereka sendiri.

Secara ringkasnya, kaedah berpolitik boleh difahami dengan dua cara. Pertama, terlibat dengan parti politik sama ada menjadi pendukung dan ahli politik kerajaan atau pendukung serta ahli politik pembangkang dalam sebuah negara demokrasi moden. Kedua, mengambil tahu dan berbicara tentang politik termasuklah penglibatan sebagai pengundi. Perkara kedua memerlukan penglibatan semua orang sama ada atas nama memilih pemimpin politik untuk berkuasa atau memberi pandangan, nasihat serta kritikan sebagai tindakan semak dan imbang.

Dalam kedua-dua cara atau kaedah terbabit, berpolitik bagi umat Islam hendaklah dengan matlamat menegakkan agama Allah dan mentadbir negara juga dengan agama-Nya agar kebajikan serta keadilan tersebar kepada seluruh rakyat jelata sesuai dengan sifat Islam itu yang sejahtera. Hal ini dipetik daripada konsep khalifah dalam Islam sebagaimana dibincangkan oleh para sarjana politik Islam, iaitu khilafah atau imamah pemerintahan ialah menggantikan kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Tiba masanya ahli politik Malaysia berbicara tentang gagasan politik sejahtera yang menggariskan hubungan antara parti-parti politik berbeza. Ia adalah gagasan bagi menyelesaikan kemelut politik negara. Asasnya ialah kematangan parti-parti politik dan ahli-ahlinya dalam membuat keputusan selain tindakan sehingga menghasilkan suasana berpolitik yang sejahtera dan damai ke arah memastikan pembangunan negara dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Politik sejahtera hendaklah berasaskan prinsip yang akan memandu tindakan sesebuah parti dalam menghadapi pelbagai kemelut. Setiap parti yang merujuk kepada Islam tentunya berpegang dengan prinsip Islam dalam membuat sebarang pertimbangan berasaskan siasah syariah dan maqasid syariah. Prinsip Islam adalah prinsip global ke arah kemaslahatan hidup manusia dengan kepelbagaian bangsa dan agamanya.

Politik sejahtera juga hendaklah dengan tujuan berdakwah mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan melaksanakan tugasan amar makruf dan nahi mungkar. Kebaikan perlu disebarkan. Keburukan mesti dibetulkan. Akhlak Islam menjadi hiasan dalam berpolitik.

TANAH MELAYU

Politik sejahtera juga hendaklah bertujuan menyelesaikan permasalahan umat dengan merujuk kepada penyelesaian Islam yang sudah tentunya adalah kaedah terbaik kerana ia datang daripada Allah yang mencipta alam dan manusia.

Dalam sejarah politik Tanah Melayu seterusnya Malaysia, tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 1945, UMNO (1946), Hizbul Muslimin (1948), Pas (1951), Parti Negara (1954), DAP (1965), Berjasa (1978), Semangat 46 (1988), Parti Hizbul Muslimin Malaysia atau Hamim (1983), PKR (2003), Amanah (2015), Warisan (2016), Bersatu (2017), Pejuang dan MUDA pula pada 2020.

Menerusi politik, kuasa dicapai dengan pembentukan parti politik yang memasuki pilihan raya dan menawarkan kuasa untuk melaksanakan Islam seterusnya melebarkan luaskan kebajikan kepada rakyat menerusi pilihan raya dalam konteks negara demokrasi semasa.

Berkempen untuk menawarkan kuasa kepada Islam diambil daripada sunnah Nabi Muhammad SAW, antaranya apa yang dilakukan oleh baginda ketika di Mina selepas tahun ke-10 kenabian. Sabda baginda melalui hadis Hasan dalam Dalail an-Nubuwwah: “Siapa yang boleh melindungiku, siapa yang boleh membantuku sehingga aku sampaikan risalah-risalah Tuhanku dan baginya syurga.”

Perjuangan membawa risalah Islam tidak boleh dibawa bersendirian sebaliknya memerlukan pembantu dan penyokong yang dipanggil hawariyyun bagi membentuk wadah serta landasan perjuangan pada jalan Allah. Allah bercerita tentang Nabi Isa a.s dalam surah Ali Imran ayat 52 yang bermaksud: “Tatkala Isa menyedari daripada kaumnya keingkaran tersebut, dia berkata, siapakah pembantu-pembantuku kepada Allah? Berkata hawariyyun (penyokong-penyokong): Kamilah pembantu-pembantu Allah. Kami beriman dengan Allah dan berilah kesaksian bahawa kami adalah Muslim yang menyerah diri.”

Justeru, mana-mana pihak yang berkuasa mempunyai kewajipan melaksanakan Islam dalam semua urusan pentadbiran kerajaan di semua kementerian dan jabatan. Urus tadbir berasaskan perintah dan larangan Allah perlu dipatuhi.

Sangat besar ganjaran pahala bagi para pemerintah dan pentadbir yang melaksanakan Islam seterusnya mentadbir menurut prinsip Islam. Takutlah pada ancaman Allah SWT terhadap mereka yang mentadbir menurut hawa nafsu lalu menyebabkan kezaliman berkembang dan keadilan kepada rakyat dinafikan.

Ganjaran menjadi pemerintah yang adil disebut dalam hadis Rasulullah SAW sebagai antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan selain daripada-Nya. Maka setiap umat Islam tetap mempunyai tanggungjawab untuk berpolitik sama ada dengan menjadi pemerintah dan pendukung pemerintah untuk terus melaksanakan keadilan atau berpolitik dengan menjadi rakyat yang menasihati kerajaan atau pembangkang yang melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada kerajaan. – UTUSAN

DATUK Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×