Selepas Sanusi, Mahdzir pula sokong eksport ketum

Selepas Sanusi, Mahdzir pula sokong eksport ketum

MAHDZIR Khalid menyampaikan sumbangan khas sekolah kepada pelajar dalam majlis Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmurdi Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tanaman ketum mampu menjana pendapatan pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sekiranya kerajaan membenarkannya dieksport.

“Kalau sudah legal dan jika boleh beri pendapatan, kenapa tidak? Kalau jual satu kilogram daun ketum boleh mendapat pendapatan berpuluh-puluh ringgit dan dari segi undang-undang ia sah, saya fikir tak menjadi kesalahan,” katanya.

Katanya, pekebun Risda boleh menjadikan tanaman itu untuk menjana pendapatan sampingan memandangkan daun ketum mempunyai permintaan dan harga yang tinggi di luar negara.

Malah katanya, kajian ketum dalam bidang perubatan juga telah dilakukan di seluruh dunia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmur di Masjid Tengku Sharafuddin Badli Shah, Kuala Nerang di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 330 pelajar yang kurang berkemampuan di daerah ini menerima sumbangan khas persekolahan dengan nilai RM200 setiap seorang.

Pada masa ini terdapat seramai 552,000 pekebun kecil Risda di seluruh negara yang mengusahakan tanaman getah di kawasan seluas 1.1 juta hektar.

Bagaimanapun, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pihaknya masih menunggu keputusan kerajaan berhubung kebenaran mengeksport ketum ke luar negara.

“Tapi perkara itu biarkan Kementerian Kesihatan yang uruskan. Cumanya saya fikir sampai masanya nanti kita tengok bagaimana keputusan kerajaan,” ujarnya.

Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 23 Mac lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, kerajaan negeri meminta Kerajaan Persekutuan meneliti dengan mendalam kertas cadangan yang bakal dikemukakan sebelum membuat keputusan untuk tidak meluluskan eksport ketum ke Thailand.

Beliau berkata, pihaknya akan akur dengan apa sahaja keputusan kerajaan selepas pembentangan kertas cadangan tersebut setelah mengadakan sesi libat urus dengan agensi penguatkuasa serta pekebun dan penanam ketum.

Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan kementeriannya tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand.

Hamzah berkata, perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

Sementara itu, pada tahun 2016, Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga pernah memohon kebenaran kerajaan bagi menanam ketum untuk tujuan eksport ke luar negara, namun ditolak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×