Selamat tinggal James Bond - Utusan Malaysia

Selamat tinggal James Bond

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“The name is Bond, James Bond.”

Ayat ikonik itu ditutur dengan cukup maskulin. Gaya dan cara secocok dengan watak seorang penyelamat dunia. James Bond, satu legasi karakter yang cukup hebat. Seiring dengan kehebatan aktor pertama yang membawa watak itu ke layar perak, Sean Connery.

Namun dunia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada aktor hebat itu selepas dia menghembuskan nafas terakhirnya Sabtu lalu. Di tangga usia 90 tahun, dia menjadi legenda hebat yang tidak akan bertukar ganti.

Selayaknya bergelar antara bintang Hollywood terhebat sepanjang zaman, Sean menghembuskan nafas terakhirnya ketika nyenyak tidur ditemani keluarganya. Pastinya, berita duka itu sukar untuk diterima peminat setianya.

Menjejaki muka surat diari kerjaya seninya, Sean memulakan karier langkah kecil. Namun, peluang demi peluang menjadikan dia antara pelakon lelaki terulung yang diminati oleh peminat satu dunia.

Membawakan watak James Bond untuk tujuh filem, anak kelahiran Scotland ini pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja United Kingdom (UK) selama tiga tahun sebelum bernafas sebagai anak seni bermula tahun 1954.

Walaupun bermula sekadar watak kecil, namun Sean berjaya menempatkan diri di bawah sutradara-sutradara hebat era itu antaranya Alfred Hitchcock, Sidney Lumet dan John Huston. Tidak hairan, namanya terus mendaki puncak Hollywood dengan pantas berbekalkan bakat dan rupa kacaknya.

Filem No Road Block (1957) berjaya memahat nama Sean sebagai antara aktor lelaki pilihan peminat ketika itu sehingga melayakkan dirinya bergelar James Bond.

Mula memegang watak Bond menerusi filem pertama, Dr. No pada tahun 1962, Sean terus mengekalkan kehebatan menerusi lima siri filem James Bond sehingga meletakkan noktah dalam dunia Bond menerusi filem Never Say Never Again pada tahun 1983.

 

Gambar terkini Sean bersama anaknya, Jason yang mewarisi legasi bapanya sebagai pelakon dan pengarah filem berjaya.

Sepanjang kerjaya, Sean membuktikan kehebatan dengan menggenggam sebuah trofi Oscars, dua Bafta Awards dan banyak lagi. Malah, dia telah dikurniakan darjah kebesaran United Kingdom pada tahun 1999 di atas sumbangannya dalam dunia perfileman.

Bergelar Bond paling hebat di antara semua pelakon yang pernah menjayakan watak ikonik itu, Sean menjadikan karakter itu seperti miliknya. Sukar untuk peminat mengalihkan memori Bond di tangan Sean.

Sean mendirikan rumah tangga dengan Diane Cilento pada 1962 namun hanya bertahan untuk 11 tahun. Hasil perkahwinan, Sean dikurnia sekarang putera, Jason Connery yang kini bergelar antara pengarah dan penerbit filem berjaya. Tahun 1975, Sean kembali berjanji setia dengan Micheline Roquebrune hingga akhir hayatnya.

Pada usia 53 tahun, Sean meletakkan titik noktah dalam kerjaya seninya dan mula berehat menikmati hidupnya sebagai ketua keluarga. Selepas 37 tahun, dia pergi meninggalkan kita bersama memori dan kenangan indah.

Rata-rata pemain industri tidak kira pelakon, penyanyi, penerbit waima krew produksi turut berduka dengan berita yang cukup pahit untuk ditelan. Namun, hayat manusia tidak lama. Sampai masa kita akan pulang ke negeri abadi.

Selamat tinggal ‘James Bond’, legasi yang tidak akan pernah padam dalam sejarah dunia Hollywood. Terima kasih kerana telah menjadi antara anak seni hebat yang tiada galang ganti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×