Kepulangan pakar kardiologi terkemuka dari Universiti Oxford, United Kingdom (UK) ini bagaikan sirih pulang ke gagang demi menabur bakti dengan berkongsi kepakarannya kepada tanah air.
Dr. Masliza Mahmod yang mencatat sejarah selepas dilantik sebagai Prof. Madya Perubatan Kardiovaskular di universiti tertua di UK itu, dijadualkan berada selama lima hari di dalam negara sehingga hujung bulan ini.
Kembalinya beliau kali ini bagi memenuhi jemputan sebagai Profesor Pelawat, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Antara amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya adalah untuk memberi khidmat nasihat dan rundingan dalam bidang akademik dan penyelidikan di UPM.
“Ini adalah perlantikan terbaharu saya sebagai pembangun infrastruktur serta strategi penyelidikan di universiti ini. Sebelum ini, saya hanya memberikan syarahan saja secara maya sejak dua tahun lepas tetapi kali ini saya berpeluang menemui pelajar dan penyelidik di sini.
“Amanah lain yang diberikan kepada saya adalah untuk membangunkan jaringan usahasama dengan pihak terbabit bagi mengetengahkan pelbagai hasil penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik di UPM,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini turut dijadualkan membuat lawatan ke fasiliti penyelidikan dalam kesan jangkitan Covid-19 terhadap jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Pengalaman menjalankan kajian di Oxford yang mengaitkan sakit jantung dengan genetik atau keturunan itu mungkin boleh dimanfaatkan untuk pembangunan fasiliti berkenaan.
Terbaharu, beliau bersama pasukannya di Oxford sedang mengkaji mengenai penebalan otot jantung yang boleh memberi risiko sesak nafas, rentak jantung yang laju (aritmia) dan kematian mengejut.
“Kumpulan penyelidikan saya sedang mengkaji rawatan terbaharu yang boleh mengurangkan ketebalan otot jantung dan juga simptom sesak nafas. Pesakit akan menjalani ujian darah, memantau rentak jantung, ujian senaman dan MRI jantung,” katanya.
Jadual yang ketat sepanjang berada di ibu kota tidak menghalang Dr. Masliza memperuntukkan sedikit waktu untuk ditemuramah. Malah beliau cukup sporting sepanjang sesi penggambaran dan tidak kekok bergaya di depan kamera. Cuaca redup dan berangin menjadikan sesi penggambaran itu berjalan lancar.
Sedekad berjuang di Oxford
Lebih 10 tahun di Oxford, Dr. Masliza mengakui selesa dan terbiasa dengan cabaran dihadapinya dalam bidang akademik dan penyelidikan di sana kerana ia sangat berdaya saing.
Justeru, sebagai rakyat Malaysia, beliau amat berbesar hati apabila diberikan kepercayaan oleh pihak Universiti Oxford untuk mengetuai pelbagai projek penyelidikan yang dijalankan bersama pasukannya.
“Sebagai seorang doktor, penyelidik dan tenaga pengajar di Oxford, terlalu banyak cabaran saya lalui. Penat, putus asa, kecewa dan sebagainya, normal serta lumrah manusia tetapi yang penting jangan mudah putus asa.
“Jangan jadikan cabaran sebagai penghalang untuk terus maju. Apa yang penting, kena berani dan ikhlas dalam melaksanakan semua tanggung jawab diberikan selain berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan.
“Saya sentiasa berazam untuk menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada untuk membantu Malaysia supaya setanding dengan negara maju lain dalam bidang penyelidikan perubatan terutama yang berkaitan jantung,” katanya.
Berpegang kepada falsafah, sekiranya ia adalah perkara yang betul untuk dibuat, beliau tidak akan teragak-agak melakukannya.
Tiada yang boleh menghalangnya kerana hanya langit saja menjadi batasnya.
Jadi inspirasi anak-anak, keluarga
Sebagai ibu, Dr. Masliza mahu menjadikan kejayaan yang dicapainya termasuk kegagalan sebagai sumber inspirasi kepada tiga anaknya, keluarga dan seluruh masyarakat.
“Sebagai wanita, kita patut berbangga sebab kita masih lagi mampu menjalankan tanggungjawab pada keluarga dan kerja apatah lagi dalam keadaan Covid-19 sejak dua tahun lalu di mana kes Covid tinggi di UK.
“Sebagai ibu, saya jarang beri nasihat pada anak-anak atau membebel dengan mereka. Saya lebih suka mereka lihat apa yang saya lakukan dan mencontohinya. Anak-anak akan mengikut secara tak langsung. Anak-anak lebih mudah belajar melalui pemerhatian bukan mendengar saja,” katanya.
Tegasnya, sebagai ibu, dia sentiasa cuba mengimbangkan masa antara kerjaya dan anak-anaknya dengan memastikan bekerja secara efisyen iaitu melaksanakan kerja dengan bijak.
Selain itu, beliau juga sentiasa memastikan ada masa berkualiti untuk mereka.
“Rasanya anak-anak lebih menghargai kita sebagai ibubapa jika kita selalu memberikan sokongan kepada mereka dalam apa saja yang mereka minati. Masa berkualiti tidak semestinya perlu keluar bersama mereka tetapi banyak aktiviti lain seperti makan bersama dan bertukar pandangan mengenai isu semasa yang membabitkan mereka,” katanya.
Ibu kepada seorang anak perempuan dan dua lelaki yang berusia antara 20,19 dan 16 tahun ini juga gemar menghabiskan waktu lapang dengan bermain muzik, menghadiri kelas tarian dan bercucuk tanam di halaman rumahnya.
Beliau cukup ceria ketika berkongsi cerita mengenai pokok ceri yang ditanamnya dan paling menarik adalah bunga tulip yang disemainya sedang tumbuh segar serta semakin gemuk.
Rahsia cantik
Sebagai wanita, Dr. Masliza tetap mementingkan penjagaan kecantikan bagi memastikan penampilannya sentiasa rapi biarpun sering sibuk dengan pelbagai penyelidikan yang dijalankannya.
Melihat wajahnya yang putih bersih tanpa cela mahupun jeragat ketika dioles bedak oleh jurusolek, Sara Sazili, beliau tidak lokek berkongsi rahsia kecantikan dan tubuh langsingnya itu.
“Penat macam manapun, saya akan pastikan kulit wajah saya sentiasa dibersihkan selepas pulang ke rumah. Pastikan kulit wajah betul-betul dibersihkan daripada sebarang kesan solekan sebab ia boleh menyebabkan masalah jeragat atau jerawat.
“Biasanya selepas bersihkan wajah dengan pencuci muka, saya gunakan pupur atau masker jenis peel off selama 20 minit sambil berehat. Saya cuba gunakan masker setiap tiga hingga empat hari untuk memastikan kotoran di wajah diserap dan wajah benar-benar bersih,” katanya.
Katanya antara masker yang menjadi kegemarannya adalah yang diperbuat daripada charcoal dan madu Manuka yang dibeli di Amazon.
Bagaimanapun, beliau cuba mengelakkan menggunakan penyental kerana ia boleh merosakkan kulit wajah yang lembut dan sensitif. Bagi solekan pula, beliau jarang menggunakan bedak asas, sebaliknya cukup sekadar pelembap selepas dicuci yang turut mengandungi pelindung matahari.
“Pastikan anda minum air masak mencukupi iaitu lapan gelas sehari, tidur yang cukup sekurang-kurangnya lapan jam setiap hari dan paling penting jangan malas lakukan senaman.
“Saya gemar melakukan senaman menggunakan dumb bell di rumah. Paling mudah untuk mengeluarkan peluh adalah dengan menyertai kelas tarian untuk kekal langsing,” katanya.










