Kenaikan melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Februari 2022

Inflasi Malaysia naik 2.2% pada Februari 2022

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Februari lalu meningkat 2.2 peratus kepada 125.2 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kenaikan itu melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Februari 2022, sebanyak 1.9 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 3.9 peratus dan makanan dan minuman bukan alkohol (3.7 peratus).

“Ia diikuti oleh kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.2 peratus), restoran dan hotel (2.6 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.6 peratus).

“Kenaikan inflasi makanan yang merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi negara,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Mohd. Uzir, peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh bahan mentah bagi penyediaan makanan seperti ayam (14.2 peratus) dan telur (13.5 peratus).

Selain itu, katanya, makanan di luar rumah juga meningkat 3.6 peratus berbanding 3.1 peratus yang dicatatkan pada Januari lalu.

“Kesemua subkumpulan bagi makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan. Subkumpulan daging terus menjadi penyumbang utama dalam kenaikan kumpulan ini dengan peningkatan sebanyak 9.0 peratus.

“Ia diikuti oleh kenaikan susu, keju dan telur (5.1 peratus), sayur-sayuran (4.3 peratus), minyak dan lemak (4.1 peratus) dan ikan dan makanan laut (3.6 peratus).

“Kumpulan pengangkutan pula meningkat 3.9 peratus berikutan kesan asas yang lebih rendah disebabkan oleh penetapan harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 bermula Mac 2021 (RM2.05) dan masih tinggi berbanding harga purata RM1.96 per liter pada Februari 2021.

“Tambahan pula, harga purata Petrol Tanpa Plumbum RON97 turut meningkat kepada RM3.21 per liter berbanding RM2.26 per liter pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut Mohd. Uzir, peningkatan harga minyak dunia dan susulan konflik Ukraine-Rusia mungkin menjejaskan rantaian bekalan merentasi ekonomi global dan memberi implikasi ke atas kos pengangkutan serta inflasi negara.

Bagi perbandingan bulanan, Mohd. Uzir memberitahu, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Januari 2022.

Beliau berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh peningkatan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.4 peratus), restoran dan hotel (0.4 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (0.3 peratus).

“IHP kesemua negeri mencatatkan kenaikan di mana dua negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 2.2 peratus. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.9 peratus).

“Sementara itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.9 peratus), Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.8 peratus) dan Negeri Sembilan (1.8 peratus) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×