60 peratus Exco Johor muka baharu - Utusan Malaysia

60 peratus Exco Johor muka baharu

Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor Mac lalu akan membentangkan belanjawan negeri esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 60 peratus muka baharu akan dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Johor baharu yang akan mengangkat sum­pah esok.

Komposisi itu bukan sahaja akan diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pertama kali menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri pada 12 Mac lalu, malah wakil rakyat yang sudah memasuki dua penggal perkhidmatan di kawasan mereka turut tersenarai.

Mengikut amalan, seramai 10 Exco akan dilantik untuk mengetuai portfolio yang dikhususkan di samping Menteri Besar yang kebiasaannya memegang Hal Ehwal Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, kesemua ADUN yang akan dilantik sebagai Exco sudah melepasi tapisan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan akan diumumkan Sabtu ini.

Mereka juga sudah mengisytiharkan harta masing-ma­sing seperti yang dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebaik sahaja BN memenangi PRN.

“Senarai mungkin sudah ada tetapi sudah pasti tidak boleh didedahkan lagi sehingga dimuktamadkan menjelang Majlis Angkat Sumpah di hadapan Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene, esok (Sabtu).

“Tetapi beberapa nama yang diteka pelbagai pihak sebelum ini tidak mustahil dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri yang baharu mengambil kira keperluan tenaga muda seperti yang dihasratkan,” kata sumber itu.

 

Muka baharu

Sebelum ini, nama Ketua Pemuda UMNO Johor dan Naibnya iaitu Mohd. Hairi Mad Shah dan Mohd. Fared Mohd. Khalid disebut antara muka baharu yang akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor setelah kedua-dua mereka menang di Larkin dan Semerah.

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon (Yong Peng) dan Ketua Pemuda MIC Pusat, K. Raven Kumar (Tenggaroh) yang kali ketiga bergelar wakil rakyat turut dilantik semula dengan mengambil kira kuota kepada parti komponen BN.

ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli yang sudah mema­suki dua penggal pula dikatakan calon sesuai bagi mengisi portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setelah penyandangnya, Zaiton Ismail tidak bertanding pada PRN lalu.

Bagaimanapun, nasib Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad Hasni yang menjadi Menteri Besar ke-18 sejak Februari 2020 belum diketahui sama ada beliau berada dalam senarai Exco baharu atau sebalik­nya.

Namun, Hasni dilihat terus memainkan peranan terhadap Johor apabila mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Kuala Lumpur semalam untuk berbincang mengenai pembukaan semula sempadan Johor-Singapura.

 

Gandingan

Sementara itu, seorang pemimpin UMNO yang tidak mahu dinamakan memberitahu, gandingan muka lama dan baharu perlu menjadi resipi dalam pelantikan barisan Exco kerajaan negeri.

“Tiada masalah Menteri Besar baharu, tetapi pasukan beliau (Exco) seharusnya perlu ada beberapa wakil yang berpengalaman atau pemimpin lebih senior dalam parti agar perancangan dapat diterjemahkan sebaiknya.

“Namun, apa-apa pun kita akan akur dengan senarai yang diperkenan Sultan Johor dalam memilih pemimpin yang akan bekerja untuk memakmurkan kembali negeri Johor ke landasan yang betul setelah berdepan kekangan sebelum ini,” katanya.

Ketika ini, hanya dua pe­nyandang Exco ketika era pentadbiran Hasni masih menjadi ADUN iaitu Datuk Samsolbari Jamali (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar) dan R. Vidyananthan (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar) selain Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dua lagi ADUN yang pernah menjadi Exco pada 2013 hingga 2018 juga menang pada PRN Johor lalu iaitu bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zulkurnain Kamisan dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama, Abd. Mutalip Abd. Rahim.

Dalam PRN Johor, BN memenangi 40 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga, Pakatan Harapan (PH) 12 kerusi, Muda satu kerusi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×