Kemelut minda kepemimpinan

Kemelut minda kepemimpinan

ADA pemimpin negara kaya raya memesan jumlah vaksin berlipat kali ganda mengatasi keperluan sebenar. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA baru sahaja menyaksikan pilihan raya sebuah negeri. Kini terdengar pula desakan untuk diadakan pilihan raya umum. Apa pun, tujuan utama pilihan raya, negeri atau umum adalah untuk memilih parti yang paling mampu memimpin negara. Dengan tidak langsung merujuk kepada seorang pemimpin yang berwibawa dalam menyempurnakan amanah rakyat.

Ramai yang menyangka ini adalah suatu perkara mudah. Dari satu segi, ada kebenarannya. Kelaziman, ketua parti yang menang akan dilantik sebagai pemimpin. Beres!

Namun hakikatnya, apa yang dipilih bukanlah seorang ‘pemimpin’, lebih tepat lagi suatu bentuk ‘kepemimpinan.’ Yakni, bukan sangat seseorang individu, tetapi bakat dan sifat yang ada padanya untuk memimpin dengan cemerlang dan berhemah. Serta mampu menunai segala janji ditaburkan sebagai suatu amanah yang dipikul. Di sinilah timbulnya permasalahan yang sering dihadapi banyak pihak terutama pengundi yang telah memberi kepercayaan sepenuh jiwa raga. Ada yang berasa kecewa kerana tertipu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suatu kajian tentang pemimpin hebat mendapati soal kepemimpinan keseluruhannya kini sering dihantui oleh sifat-sifat kurang keterampilan, ketamakan serta keremehan.

Pandemik Covid-19 turut memperjelaskan hal ini apabila ramai ‘terkorban’ ekoran sifat yang diperkatakan tadi. Amerika Syarikat dengan segala kecanggihan paling terpalit berbanding negara-negara Timur seperti Korea Selatan, Jepun mahupun Taiwan.

Mereka lebih patuh dan mesra perlakuannya. Lantas, kepemimpinan yang diutarakan membawa lebih banyak pengaruh kepada perilaku masyarakat dalam mengawal rebakan pandemik sekurang-kurang pada peringkat awal kejadiannya. Apa yang mencacatkan adalah tahap kemiskinan serta kesedaran berbanding anggota Barat yang sebaliknya. Mahu tidak mahu, kepemimpinan wajar mengorak langkah untuk menyelamatkan keadaan sebaik mungkin. Inilah cabaran kepemimpinan hari muka.

Dewasa ini, pemimpin acap kali menggunakan corak kepemimpinan transaksi untuk mengatasi kebuntuan melalui tindakan ‘jual beli.’ Yakni, sesuatu penyelesaian yang dipinta ada ‘harganya.’

Corak kepemimpinan ini dikatakan paling rendah tahapnya kerana ia terdedah kepada pelbagai bentuk rasuah dan skandal yang sering disebut sebagai politik wang.

Bahkan kita tahu yang wang ringgit turut digunakan untuk membeli ‘undi’ terang-terangan. Oleh itu, kerajaan yang terbentuk secara ini kesudahannya lebih mudah diruntuhkan oleh ketamakan serta keremehan berpunca daripada keterampilan yang teruk! Soal nilai, etika serta adab turut dijual beli dalam perebutan kuasa dan kedudukan. Matlamat menghalal cara.

Keadaan ini amat terserlah tatkala vaksin muncul menawarkan penyelesaian. Apatah lagi dalam usaha membentengi serangan Covid-19. Maka sepak terajang berasaskan politik terpanggil sehingga tercetusnya apa yang dikenali sebagai nasionalisme vaksin – yakni rebutan vaksin untuk memenuhi kehendak kelompok mengatasi kehendak sejagat. Pemimpin negara kaya raya memesan jumlah vaksin berlipat kali ganda mengatasi keperluan sebenar. Semua ini menampakkan betapa kepemimpinan tersebut kurang terampil, malah tamak dan remeh. Asalkan pembekal vaksin yang ditaja mereka mendapat laba besar, pembaziran vaksin tidak dipedulikan langsung, walaupun ini bermakna lebih banyak nyawa akan dipersia-siakan.

MINDA

Tidak semua boleh dijual beli atau diperdagangkan bulat-bulat. Oleh demikian, setiap pemimpin berwibawa perlu kepada pengertian kepemimpinan yang lebih mendalam untuk keluar dari kepompong berjual beli! Serentak keluar dari apa yang sering dikaitkan dengan set minda yang berasas kefahaman serta pengertian amat terhad sekali.

Apatah lagi ‘minda’ merupakan kata pinjaman makna yang sempit tadi.

Tambahan, ia bukannya istilah Melayu asli yang mengakari nilai dan makna tradisi budaya kita sendiri. Tidak syak lagi ‘minda’ tidak akan menyampaikan maksud kepemimpinan kemelayuan seluhurnya.

Untuk memudahkan bicara. ambil sahaja istilah leadership berbanding ‘kepemimpinan.’ Satu terbit daripada kata lead dan satu lagi ‘pimpin’ dalam bahasa masing-masing.

Dalam bahasa Inggeris, ia merujuk kepada individu yang berada di hadapan dan mendahului yang lain.

Sedangkan dalam bahasa Melayu tidak begitu, tetapi berpegangan tangan dan berjalan seiring. Tiada yang hadapan dan mendahului, malah melangkah bersama-sama sederap ke suatu arah tujuan. Ini jelas menggambarkan keadaan yang lebih musyawarah dan sepakat bentuknya.

Ringkasnya, kepemimpinan sedemikian lebih mendekati satu sama lain, lebih mesra serta peduli manusia dan masyarakat, malah lebih berjiwa rakyat lagi demokrasi sosoknya.

Kebetulan ini jugalah sifat dan corak kepemimpinan yang dituntut sepanjang pandemik dalam dua tahun lalu. Apabila rakyat dijarakkan antara setiap individu, keluarga dan masyarakat, kepemimpinan cuba mendekati mereka dengan cara dan gaya yang tidak mengganggu gugat. Dasar digubal agak menenangkan perasaan yang mungkin terkesan daripada jangkitan koronavirus ataupun menderita kerana kematian yang tersayang, keluarga dan sanak saudara.

Tidak ketinggalan ketelusan bicara serta penjelasan terbuka dalam menyantuni hati sanubari rakyat dalam memberi faham tanpa berselindung di belakang telunjuk.

Ataupun berpura-pura dalam menyampaikan maklumat yang kononnya menggembirakan. Semua ini pernah terjadi apabila pemimpin ditunggangi oleh pelbagai pihak berkepentingan yang boleh dijual beli. Misalnya, ada bukti menunjukkan terjadinya virus Omicron kerana tipu helah para pemimpin kerana tidak berhati perut terhadap mereka yang dipimpinnya.

Ini membawa kita kepada kunci kehebatan seseorang pemimpin itu. Jika haiwan dikatakan hebat kerana lima pancaindera zahir yang ada, manusia pula pada pancaindera batin yang bertempat di hati sanubari yang tiada pada haiwan. Bahkan ini yang membezakan manusia dengan makhluk lain kejadian Tuhan. Apatah lagi kepemimpinan bijaksana yang terbit daripada hati sanubari bersih lagi suci. Yang melihat bukan sahaja dengan mata zahir tetapi mata hati.

Tersentuh bukan jasad tangan dan kaki, tetapi sentuhan hati. Seterusnya mendengar, merasa dan mengesan dengan naluri serba halus. Namun, semua ini tidak akan terhasil sekiranya krisis minda tidak terlerai, berpunca daripada kemelut dalam istilah ‘minda’ itu sendiri seperti dikatakan di atas tadi. Selagi ini berterusan, selagi itu jugalah kehebatan pemimpin dan kepemimpinannya mengalami kemelut demi kemelut. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini