KUALA LUMPUR: Tiada ketetapan Pakatan Harapan (PH) setakat ini berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti meskipun Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai September lalu akan terbatal esok jika tidak dibentangkan.
Kegagalan membentangkan dan meluluskan undang-undang itu di Parlimen selewat-lewatnya esok akan menyebabkan persefahaman antara kerajaan dan PH berkenaan ditamatkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, ketetapan berhubung perkara itu akan dibuat pada minggu depan selepas pertemuan dibuat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menjelaskan, kesan pembatalan MoU tersebut memberikan risiko kepada kestabilan politik tanah air apabila membabitkan sokongan kepada kerajaan hari ini.
“Kita hendak jumpa Perdana Menteri pada minggu ini, tetapi Datuk Seri Anwar kena Covid-19, lagi pun Perdana Menteri di luar negara, jadi minggu depan baru jumpa. Dalam pertemuan itu, barulah kita tahu kata putus yang mutakhir.
“Kalau RUU tidak dibentangkan Khamis ini, akan terbatal MoU, maka timbullah implikasi seperti yang disebut dalam MoU. Maksudnya akan timbul undi percaya, soal undi ketika belanjawan termasuk akta perbekalan nanti,” katanya semalam.
Sebelum ini, Guan Eng menegaskan, MoU PH dengan kerajaan akan ditamatkan jika RUU antilompat parti tidak diluluskan pada bulan ini seperti mana yang dijanjikan menerusi persefahaman berkenaan.
RUU itu berkemungkinan dibentang pada Sidang Khas Parlimen mengambil kira sidang Dewan Rakyat kali ini akan berakhir esok.
Selain itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, kegagalan kerajaan untuk membentangkan undang-undang Anti Lompat Parti merupakan perkara serius kerana ia adalah indikator terpenting yang terkandung dalam MoU tersebut.
Berikutan itu kata Ahli Parlimen Shah Alam tersebut, kerajaan wajib melunaskan janji tersebut tanpa melengahkannya dalam sidang Dewan Rakyat kali ini seperti terkandung dalam MoU berkeaan.
“Semua pihak bersetuju.oleh itu kita tandatangan atas janji Perdana Menteri akan luluskan dalam waktu persidangan ini sedang berjalan. Jika tidak dibentang, ia dilihat sebagai satu pelanggaran MoU yang serius. Jika itu berlaku, maka MoU ini akan terbatal kerana ia bersandarkan kepada persetujuan yang dibuat bersama.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pilihan raya merupakan jalan terbaik sekiranya kerajaan tidak stabil ekoran pembatalan MoU setelah kedudukan pimpinan Ismail Sabri goyah dan tipis dengan hanya sokongan 114 ahli Parlimen kerajaan. – UTUSAN










