Mengenali 10 lokasi bersejarah di bumi Mekah

Mengenali 10 lokasi bersejarah di bumi Mekah

GUA al-Thur menjadi tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq selama tiga malam sewaktu peristiwa hijrah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melaksana­kan ibadah umrah atau haji tidak akan terasa lengkapnya sekiranya jemaah umrah dan haji tidak menjejaki lokasi-lokasi penting di Mekah yang mempunyai sejarah yang berkait rapat dengan Rasulullah SAW.
Peluang ke tanah suci tidak sewajarnya disia-siakan dengan tidak mengunjungi lokasi-lokasi berkenaan yang pastinya akan menambahkan lagi kecintaan serta kekaguman terhadap Rasulullah SAW. Walaupun begitu banyak lokasi dan monumen yang mempunyai hubungan rapat dengan sejarah Rasulullah SAW sudah tidak dapat dilihat lagi kini.

Rumah Kelahiran Rasulullah SAW
Rumah kelahiran Rasulullah SAW yang pada hari ini dikenali sebagai Maktabah Mekah al-Mukarromah. Rumah ini adalah rumah ayahanda baginda iaitu Saidina Abdullah bin Abd al-Muttalib. Rasulullah SAW terus tinggal di rumah ini sehinggalah baginda berkahwin dengan Saidatina Khadijah binti Khuwaylid.

Rumah Saidatina Khadijah
Rumah Saidatina Khadijah sudah tiada pada hari ini. Lokasi rumah ini terletak berhampiran pintu keluar bukit al-Marwah. Kawasan rumah ini ditandai dengan jubin-jubin kecil yang berbeza dengan jubin-jubin yang ada di pekarangan Masjidilharam.
Rumah yang penuh dengan keberkatan ini menyaksikan kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW bersama dengan Saidatina Khadijah. Rumah ini juga menyaksikan kelahiran seluruh putera dan puteri Rasulullah SAW dengan Saidatina Khadijah.
Di rumah ini jugalah diturunkan ayat pertama sehingga ayat kelima daripada Surah al-Muddathir setelah Rasulullah SAW menerima sebelumnya ayat pertama sehingga ayat kelima daripada surah al-Alaq. Bahkan Saidatina Khadijah menghembuskan nafas terakhirnya di dalam rumah ini pada Ramadan tahun ke-10 Kenabian ketika baginda berusia 49 tahun.
Rasulullah SAW selepas kewafatan Saidatina Khadijah terus tinggal di rumah bersejarah ini sehinggalah baginda meninggalkan kota Mekah dalam peristiwa hijrah pada malam 27 Safar tahun pertama hijriah ketika berusia 52 tahun.

Rumah Saidina Al-Arqam

Rumah Saidina al-Arqam bin Abu al-Arqom juga sudah tiada hari ini. Rumah ini terletak di bawah bukit al-Safa. Jarak antara rumah ini dengan bukit al-Safa adalah 36 meter. Pada hari ini lokasi rumah Saidina al-Arqam terletak di pintu pertama setelah seseorang menuruni bukit al-Safa.
Pintu tersebut telah dinamakan dengan nama Bawwabah al-Nabiyy (Al Nabi Gate). Rumah inilah yang telah menjadi lokasi penyebaran Islam pada fasa pertama di Mekah. Rumah ini jugalah yang telah menyaksikan pengislaman Saidina ‘Umar al-Khattab.

Rumah Saidina Abu Bakar

Rumah ini adalah lokasi bersejarah yang penting di dalam sejarah Rasulullah SAW. Ini kerana Rasulullah SAW sering menziarahi Saidina Abu Bakar al-Siddiq di sini bahkan pada malam penghijrahan Rasulullah SAW iaitu pada malam 27 Safar tahun pertama hijriah, Baginda telah bergerak keluar dari rumah Saidatina Khadijah menuju ke rumah Saidina Abu Bakar. Lalu mereka berdua keluar dari rumah ini menuju Gua al-Thur.
Di rumah ini jugalah Abu Bakar dilahirkan bahkan seluruh putera dan puteri beliau iaitu Saidatina Asma’, Saidatina Aishah, Saidina Abdullah dan Saidina Abd. al-Rahman dilahirkan. Kini rumah ini telah dirobohkan dan lokasinya adalah di kawasan sekitar restoran KFC yang berada di pekarangan Masjidilharam.
Sebagai mengingati nostalgia rumah ini, bahagian tingkat ketiga yang berada di atas bangunan restoran KFC ini dijadikan sebagai masjid dan dinamakan dengan nama Masjid Abi Bakr.

Gua Hira’

Gua Hira’ terletak di bahagian atas Gunung al-Nur (Jabal al-Nur). Gua Hira’ menjadi lokasi penurunan wahyu kali pertama kepada Nabi SAW iaitu penurunan lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq.
Rasulullah SAW telah bersunyi-sunyian di gua ini semasa sebulan demi untuk beribadah kepada Allah. Apabila bekalan makanan baginda habis, baginda akan turun dari Gunung Al-Nur untuk menemui Saidatina Khadijah. Setelah sang isteri membekalkan makanan kepada Rasulullah SAW, baginda akan kembali semula mendaki Gunung al-Nur untuk bersunyi-sunyian semula di gua tersebut.
Akhirnya Allah menurunkan wahyu kali pertama kepada Rasulullah SAW sewaktu baginda sedang berada di dalam Gua Hira’. Peristiwa ini berlaku pada malam al-Qadr yang jatuh pada malam Isnin 17 Ramadan atau 24 Ramadan. Tahun penurunan wahyu pertama ini adalah tahun ke-41 Gajah iaitu ketika baginda berusia 40 tahun.

Gua Al-Thur

Gua al-Thur menjadi tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq selama tiga malam sewaktu peristiwa hijrah iaitu malam 27 Safar sehingga malam 29 Safar tahun pertama hijriah semasa baginda berusia 52 tahun.
Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar keluar dari gua ini menuju kota Madinah sebelum Subuh pada Isnin, 1 Rabiulawal tahun pertama hijrah.

Masjid Al-Shajarah

Masjid al-Shajarah (Masjid Pokok) terletak di bahagian hulu kota Mekah. Masjid ini berada setentang dengan Masjid al-Jinn. Dikatakan bahawa Rasulullah SAW pernah memanggil sebatang pokok yang terletak di lokasi asal masjid tersebut lalu pokok itu bergerak berjalan di atas tanah sehingga berada di hadapan Rasulullah SAW.
Lalu setelah itu baginda memerintahkan pokok itu kembali ke tempat asalnya lalu ia pun kembali semula ke lokasi asalnya. Masjid al-Shajarah pada hari ini telah dinamakan dengan nama Masjid al-Jandarowiyy.
Masjid ini akan ditemui dalam perjalanan dari Masjidilharam ke perkuburan al-Ma’la. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Mat’am Bakistaniyy (Restoran Pakistan).

Masjid Al-Jinn

Masjid al-Jinn terletak di bahagian hulu kota Mekah. Dikatakan bahawa lokasi asal masjid ini adalah kawasan yang ditandai oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abdullah bin Mas’ud agar beliau tidak melepasi garisan tersebut demi supaya beliau tidak diapa-apakan oleh golongan jin.
Rasulullah SAW telah berdakwah kepada golongan jin pada malam tersebut. Apabila seseorang dari Masjidilharam ingin menuju ke perkuburan al-Ma‘la, dia akan menemui masjid al-Jinn setelah dia menemui terlebih dahulu masjid al-Shajarah.

Masjid Al-Aqabah

Masjid ini dibina di lokasi perjanjian antara Rasulullah SAW dengan para sahabat daripada golongan al-Ansar sebelum peristiwa hijrah. Perjanjian tersebut telah dikenali dengan Perjanjian al-Aqabah.
Perjanjian al-Aqabah kali pertama berlaku pada malam Zulhijjah tahun ke-12 kenabian manakala Perjanjian al-‘Aqabah kedua berlaku pada malam 12 Zulhijjah tahun ke-13 kenabian. Masjid ini terletak di kawasan melontar batu semasa musim haji.

Masjid Al-Ji’ranah

Masjid al-Ji‘ranah adalah lokasi Rasulullah SAW berihram menunaikan umrah pada bulan Zulkaedah tahun 8 hijriah selepas Baginda selesai membahagikan harta rampasan perang Hunayn di al-Ji‘ranah.

————
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×