PUTRAJAYA: Lebih 10 juta penerima vaksin Sinovac di negara ini berisiko tinggi disekat dari memasuki mana-mana 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) berikutan dikatakan tidak diiktiraf Agensi Perubatan Eropah (EMA) .
Jenama vaksin keluaran firma dari China, Sinovac Biotech itu langsung tiada dalam senarai vaksinasi yang diberikan pentauliahan rasmi oleh EMA.
Ia susulan daripada tindakan pihak berkuasa Jerman mengusir dua warga Malaysia daripada memasuki negara itu kelmarin hanya kerana dos primer mereka ialah Sinovac.
Keadaan tersebut akan mengakibatkan ramai warga Malaysia gagal memasuki beberapa negara EU sama ada bercuti, belajar atau bekerja kerana vaksin berkenaan tidak diiktiraf.
Semakan Utusan Malaysia ke beberapa laman web mendapati antara negara-negara yang tidak mengiktiraf vaksin itu termasuklah Perancis, Itali, Portugal, Belgium, Greece dan Jerman.
EMA malah setakat ini hanya memperakui lima jenama vaksin Covid-19 iaitu keluaran Pfizer BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan terbaharu ialah Novavax.
Dalam kejadian melibatkan dua adik-beradik warganegara Malaysia itu, mereka dilayan seperti penjenayah di terminal lapangan terbang antarabangsa Dusseldorf.
Mereka bahkan tidak dibenarkan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Berlin atas alasan konon ditutup hari minggu walhal ada talian kecemasan disediakan khas bagi rakyat Malaysia.
Ironinya, ramai warga Malaysia termasuk pihak agensi pelancongan tempatan juga langsung tidak sedar mengenai isu ini dan hanya tahu apabila telah ditahan di sana sebelum diusir keluar.
Kementerian Kesihatan menerusi portal CovidNow melaporkan 31.2 peratus penerima vaksin di negara ini disuntik dos Sinovac iaitu kedua terbesar selepas Comirnaty keluaran firma Pfizer.
Sementara itu, semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi Kedutaan Besar Jerman di Kuala Lumpur mendapati vaksin keluaran Sinovac itu memang tiada dalam senarai yang diluluskan.
Sebaliknya, negara Eropah itu hanya menerima gabungan enam jenis vaksin Covid-19 yang diiktiraf sebagai selamat oleh EMA bagi mengekang jangkitan wabak itu di kesemua negara EU.
Jerman sebagaimana kebanyakan negara Eropah yang lain cuma menerima vaksin jenama Comirnaty, Spike Vax, Vax Evria, Jansson dan Nuvavoxid atas pelbagai faktor keselamatan ketat.
Britain yang bukan lagi menjadi anggota blok Eropah itu, bagaimanapun memperakui Coronavac, termasuk vaksin jenama Sinopharm keluaran China dalam senarai kecemasan.
Insiden yang berlaku itu hampir menyerupai pengalaman dilalui sekumpulan tujuh pelancong Malaysia pada 13 Februari lalu apabila sijil vaksinasi digital MySejahtera ditolak oleh kerajaan Filipina.
Mereka bahkan terkandas seharian di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila dan terpaksa bermalam di lantai terminal ketibaan itu selain nyaris dihalau balik ke Malaysia.
Insiden ini gagal ditangani baik meskipun Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota negara itu campur tangan tetapi akhirnya berjaya diselesaikan Wisma Putra melalui pengiktirafan timbal balas. – UTUSAN










