PASIR GUDANG: Stesen Janakuasa Southern Power Generation (SPG) yang dimasyhurkan sebagai Sultan Ibrahim Power Plant merupakan loji janakuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas berteknologi paling cekap dihasilkan General Electric (GE).
Teknologi pembakaran bahan api gas asli di stesen janakuasa itu mampu menghasilkan 60 peratus tenaga elektrik di mana kecekapan turbin gas berteknologi tinggi itu mampu menyumbang kepada pengurangan jejak karbon.
“SPG yang berkonsepkan kitar padu itu melibatkan kos pembinaan RM4.7 bilion yang merupakan gabungan usaha sama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SIPP Energy Sdn. Bhd.,” jelas kenyataan di Facebook rasmi Sultan Johor, semalam.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan stesen janakuasa itu yang telah siap sepenuhnya dan memulakan operasi komersial pada 1 Januari 2021.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti.
Tambah kenyataan itu, projek berkenaan turut akan menjadi satu mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air.
“Dengan beroperasinya stesen ini, ia secara tidak langsung merancak dan menggalakkan lagi usaha pelaburan dari dalam dan luar negara.
“Stesen ini juga menyediakan infrastruktur pembekalan tenaga elektrik yang mencukupi, berdaya harap serta stabil, sekaligus mampu meyakinkan pelabur untuk mengeluarkan modal bagi menjalankan perniagaan di Johor,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin dalam ucapannya berkata, stesen berkenaan adalah bukti komitmen TNB dalam menyumbang ke arah merealisasikan ekonomi rendah karbon, tanpa berkompromi dalam membekalkan tenaga elektrik yang stabil ke kawasan selatan dan seluruh Semenanjung.
Jelasnya, pembangunan stesen berkenaan “adalah selari dengan matlamat dan agenda nasional dalam mencapai Hala Tuju Kelestarian negara iaitu mencapai 45 peratus pengurangan intensiti Gas Rumah Hijau (GHG) pada 2030.”
Dalam pada itu, TNB dalam kenyataan memberitahu, pembinaan stesen adalah gabungan usaha sama antara TNB dan SIPP Energy dengan masing-masing memegang 70 peratus dan 30 peratus kepentingan.
Jelasnya, Sultan Ibrahim Power Plant menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada Grid Nasional menerusi dua loji janakuasa turbin gas kitar padu (Combined Cycle Gas Turbine), masing-masing berkapasiti 720 MW mulai awal 2021.
“Ia menjadi satu daripada mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air dengan mengukuhkan lagi kapasiti penjanaan di Semenanjung Malaysia kepada 26,744.8MW,” katanya.
Penjanaan tenaga dengan kaedah kitar padu Sultan Ibrahim Power Plant ini adalah teknologi alternatif mesra alam (cleantech) yang selaras dengan aspirasi TNB dalam mementingkan pembangunan mampan (sustainability) dan keharmonian alam.
Ia juga selaras ke arah masa hadapan tenaga mampan serta memastikan bekalan tenaga yang berdaya harap dan mesra alam.
Sultan Ibrahim Power Plant telah mendapat pengiktirafan sebagai Plant of the Year 2021 oleh penerbitan industri penjanaan kuasa antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, POWER Magazine pada Julai 2021. – UTUSAN









