Fasa baharu DAP berdepan PRU15

Fasa baharu DAP berdepan PRU15

BARISAN kepimpinan baharu DAP bagi penggal 2022 hingga 2025. – FACEBOOK DAP MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHAD lalu berlangsungnya Kongres Kebangsaan Ke-17 DAP di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam yang menyaksikan pemilihan pucuk kepimpinan parti yang baharu bagi penggal 2022 hingga 2025. Daripada 93 calon, sebanyak 30 calon telah dipilih untuk membarisi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.

CEC seterusnya melantik Ahli Parlimen Seremban yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung parti yang baharu sementara bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik Pengerusi Kebangsaan. Sebelum ini, Guan Eng memegang jawatan Setiausaha Agung selama kira-kira 18 tahun.

Dalam DAP, jawatan Setiausaha Agung bertaraf ketua pegawai eksekutif (CEO) sesebuah organisasi manakala Pengerusi Kebangsaan adalah setaraf pengerusi lembaga pengarah. Pengerusi bertugas memastikan wujud semak imbang ke atas CEO melalui mesyuarat lembaga dan dalam kes DAP, mesyuarat ini adalah mesyuarat CEC.

Setiausaha Agung atau CEO tidak mempunyai kuasa mutlak. Beliau mempunyai kuasa eksekutif untuk tujuan operasi, namun perlu mengikut keputusan bersama CEC dalam soal-soal dasar.

Pada kongres kali ini, veteran parti, Lim Kit Siang mengumumkan persaraannya dari dunia politik dan tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan dalam kongres DAP kali ini serta di mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa akan datang.

Dalam barisan CEC baharu itu juga, buat julung kalinya memperlihatkan 30 peratus penyertaan kaum wanita selaras dengan pindaan perlembagaan parti sebelum ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; Ahli Dewan Negara, Lim Hui Ying; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang.

Barisan baharu CEC tersebut akan mengemudi parti dalam tempoh tiga tahun akan datang termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang disebut-sebut bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Anthony dalam kenyataannya sebagai Setiausaha Agung DAP berkata, pemilihan kali ini merupakan pembuka tirai era kepimpinan baharu dalam DAP yang rata-ratanya terdiri daripada generasi ketiga (3G) kepimpinan parti. Pimpinan 3G ini terdiri daripada beliau sendiri, Gobind Singh, Nga Kor Ming, Liew Chin Tong, Chong Chieng Jen, Teo Nie Ching, Tengku Zul, Sivakumar, Ng Sze Han, Ng Sue Lim dan Khoo Poay Tiong.

Dalam masa sama, pimpinan generasi kedua (2G) DAP yang akan terus memberi sokongan kepada pimpinan baharu ialah seperti Guan Eng, Tan Kok Wai, Chow Kon Yeow, M. Kulasegaran, Teresa Kok dan Fong Kui Lun.

Malah, kongres tersebut juga telah memilih pemimpin generasi keempat (4G) dalam DAP seperti Steven Sim, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh, Wong Shu Qi, Young Syefura, Kasthuri Patto, Alice Lau, Teo Kok Seong dan Tan Hong Pin.

TRADISI

“Kami berharap kepimpinan 3G ini akan membentuk pasukan teras (core team) yang akan memimpin DAP untuk 10 tahun akan datang dan apabila sampai masanya, generasi seterusnya pula bersedia memikul tanggungjawab untuk memimpin perjuangan parti,” katanya.

Tambah Anthony, beliau akan meneruskan tradisi parti bagi menyediakan peluang sebanyak mungkin pada anak-anak muda dalam parti yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan gender untuk memaksimumkan bakat kepimpinan mereka termasuk peluang mewakili parti dalam pilihan raya.

Anthony menjelaskan, pendekatan kepimpinannya akan menekankan aspek inklusif dan konsensus. Segala keputusan penting dan hala tuju parti akan ditentukan melalui konsensus selepas perbincangan teliti dijalankan.

Secara umumnya, DAP sebagai parti pembangkang merupakan sebuah parti yang kuat dengan 41 ahli Parlimen dimilikinya. Bilangan ahli-ahli Parlimen DAP sejak 2018 tidak susut meskipun selepas berlakunya ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Melihat kepada keputusan DAP pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, boleh dikatakan prestasi parti tersebut merosot tetapi tidak jatuh merudum. Meskipun berdepan gelombang kebangkitan Barisan Nasional (BN), keputusan DAP dilihat lebih baik berbanding rakan-rakannya dalam PH.

Prestasi DAP di PRN Sabah pada September 2020 disifatkan sebagai meyakinkan dengan hanya kalah satu kerusi, iaitu di Bingkor daripada tujuh kerusi yang ditandinginya. Keputusan PRN Melaka bagaimanapun menyaksikan DAP hanya menang empat kerusi berbanding lapan ketika PRU14.

Pada PRN Sarawak pula, DAP hanya berjaya mengekalkan kerusi Pending dan Padungan, hilang lima kerusi lain. Dan terbaru di PRN Johor, DAP memenangi 10 kerusi daripada 14 yang ditandinginya. DAP mempunyai 14 kerusi sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.

Memandang ke hadapan, barisan kepimpinan baharu DAP perlu fokus kepada PRU15 termasuk membuat pascanilai (post-mortem) secara menyeluruh bagi mengatasi kelemahan-kelemahan sedia ada.

Barisan kepimpinan baharu DAP perlu menjadi pelopor kepada gerakan menyatukan parti-parti pembangkang. Apa yang berlaku di PRN Johor menyaksikan kekurangan perpaduan sesama pembangkang disebabkan kegagalan menggunakan logo bersama, visi bersama atau sebarang perbincangan calon menteri besar perlu dielakkan pada masa depan.

Ini ditambah pecahan sokongan pembangkang dengan banyak parti pembangkang yang bertanding sesama sendiri.

Hanya DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menggunakan logo PH manakala PKR, Parti Warisan Sabah (Warisan), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masing-masing menggunakan logo sendiri. Ada juga kawasan di mana parti-parti tersebut saling bertanding.

Barisan CEC yang baharu mesti berperanan untuk mengelakkan perkembangan tidak strategik seumpama itu daripada ‘merebak’ pada PRU15. Ujian terbesar bagi barisan CEC DAP baharu pastinya adalah PRU15 yang disebut-disebut sebagai ibu segala pilihan raya. Justeru, mereka perlu segera bertindak dan memulakan kerja masing-masing.

Selamat bekerja! – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati politik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×